" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Wednesday, October 13, 2010

Pemimpin Bn Terus Kunyah Lobak

Oleh: Shirzad Lifeboat

“What’s up doc?”

Mungkin ramai masih ingat ungkapan di atas. Ia merupakan trademark watak kartun Bugs Bunny sambil mengunyah lobak bertanyakan jika ada sesuatu yang baru. Walaupun begitu popular satu ketika dulu namun akhirnya Bugs Bunny yang pernah disenaraikan oleh majalah TV Guide di tempat pertama pada tahun 2002 akur kepada peredaran zaman.

Ia bukanlah kerana penerbitnya, Warner Bros ketandusan idea tetapi tidak banyak perkara dalam dunia ini mampu mengekalkan popularitinya setelah wujud lebih daripada50 tahun.

Di Malaysia, antara sesuatu paling popular satu ketika dulu ialah UMNO-BN. Selama 53 tahun jika dikira dari Merdeka, setiap hari rakyat Malaysia melihat dan menyaksikan wajah pemimpin parti ini di pelbagai media

Bermakna kata, setiap hari selama kira-kira 20,000 hari ada sahaja pemimpin mereka yang mengeluarkan kenyataan mengenai itu dan ini termasuk kenyataan yang menepati pepatah Melayu ‘masuk bakul angkat sendiri.’

Bukanlah setiap yang dikatakan oleh setiap pemimpin UMNO-BN dalam kerajaan itu semuanya salah. Ada juga yang betul. Tapi selera rakyat hari ini bukan sekadar betul atau salah. Apa yang mereka mahukan ialah perubahan.

Tak logiklah kalau kita katakan tempoh tersebut UMNO-BN tidak membawa sebarang pembangunan. Betullah kita nampak begitu banyak infrastruktur dibangunkan. Tapi itu urusan dan tanggungjawab kerajaan. Kalau bukan UMNO-BN sekalipun tetapi parti atau pakatan parti lain yang memerintah, tak kan lah parti lain berkenaan akan berpeluk tubuh dan bersantai-santai selama 53 tahun tanpa membina hatta sebatang jalan raya pun.

Demikianpun, kepada UMNO-BN, hal ini merupakan budi yang ditaburkan kepada rakyat dan rakyat perlu memahami dan menerimanya sebagai sedemikian.

Dulu, yelah, orang boleh termakan dengan sogokan cakap-cakap UMNO-BN berbudi ini. Hari ini, minta maaf sahajalah. Tempoh masa menjangkau setengah abad itu sudah cukup untuk rakyat membuat ukuran moral politik dan menilai semula keberkesanan pemerintahan UMNO-BN.

Rasa tidak puas hati rakyat adalah bak kata ungkapan Inggeris, ‘across the board’, bermaksud ‘menyeluruh’. Pada satu ekstrim, rakyat dari golongan kurang pendidikan dan rakyat biasa mempersoalkan sekiranya UMNO-BN bagus sangat (sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin parti tersebut), mengapakah terlalu banyak isu dan permasalahan membabitkan rakyat seperti kemiskinan, penarikan balik subsidi, kenaikan harga barang, pendapatan per kapita rendah (sekadar menyebut segelintir) gagal diatasi oleh kerajaan UMNO-BN.

Pada ekstrim lain, golongan rakyat lebih berpendidikan dan lebih terdedah kepada media alternatif mempersoalkan mengapakah negara masih terperangkap dalam kategori pendapatan-pertengahan, mengapa begitu banyak dana awam dibazirkan dalam projek yang gagal disempurnakan atau yang kosnya yang dinilaikan secara berlebihan sehingga ia tidak lagi membawa makna kepada faedah-kos dan mengakibatkan ‘pendarahan’ kepada sumber dana awam dan sekaligus menjejaskan ekonomi negara.

Tidak dinafikan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri terdapat banyak janji-janji baru sehinggakan sekiranya kalau ditanyakan ‘Whats up doc?’, pemimpin UMNO-BN boleh menceritakan 1001 janji baru. Kali ini janji baru adalah mengenai ekonomi.

Tapi di bawah pentadbiran lalu pun 1001 janji lain dicurahkan kononnya mahu memajukan kawasan tertentu sehingga disebut sebagai koridor ekonomi. Dan dulu lagi janji mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang setaraf dengan Singapura dan Switzerland.

Akhirnya semua janji itu hanya menjadi catatan sejarah belaka. Hari ini akhbar Utusan Malaysia sendiri pun tidak lagi menyiarkan rencana berupa puji-pujian mengenai koridor ekonomi. Tentang Wawasan 2020, jauh sekali.

Benar, cerita Najib mengenai ekonomi lebih gempak dari cerita PM lalu. Tapi ia tak akan membawa sebarang makna selagi ia tidak dibuktikan dan selagi rakyat tidak merasai faedahnya baik secara langsung atau tidak.

Justeru, moral ceritanya adalah ‘dua kali lima’.

Maka inilah sebabnya rata-rata hanya terlalu sedikit yang masih menaruh keyakinan BN boleh kembali menguasai kerajaan Persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang. Seperti orang tua yang gemar bernostalgia, BN dan UMNO masih lagi menggunakan nostalgia ini untuk menawan hati rakyat sehingga tidak ada sesuatu lagi yang baru.

Lihat sahaja pra-kempen pilihanraya kecil Dun Galas yang bakal diadakan. Pada mulanya Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim mengeluarkan kenyataan kononnya BN mempunyai kelebihan atas alasan keberkesanan pentadbiran Najib (Bernama 29 September 2010). Ia diikuti pula dengan kenyataan Naib Presiden Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengandaikan BN akan menang kerana bara pemilihan pucuk pimpinan PKR yang pada hematnya merupakan kemelut dalaman parti yang bakal menjejaskan prestasi keseluruhan Pakatan.

Tanpa perlu mengulas logik dan ketajaman pemikiran politik Razali atau Hishamuddin, bahkan mengulas kemelut dan krisis dalaman UMNO yang jauh lebih besar, sama ada dulu atau pun kini serta masalah UMNO dan parti komponen lain BN, kita begitu maklum, betapa ini adalah kenyataan lama dan basi yang diulang-tayang menjelang sesuatu pilihanraya. Ia ibarat Bugs Bunny yang memakan lobak selama setengah abad dan gagal membawa sesuatu pembaharuan walaupun sentiasa bertanya tentang sesuatu yang baru.

Maka atas sebab inilah andai kata PAS memenangi semula kerusi tersebut, maka ia adalah kemenangan berlegitimasi. Tetapi sekiranya BN yang menang, rakyat Malaysia dan dunia luar tetap melihat kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang dibantu oleh unsur-unsur tidak sepatutnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111