Terkejut lihat gerai terbakar
Sinar Harian 25 Okt 2010
PEDAS - Seorang ibu tunggal terkejut apabila melihat gerai makannya sedang terbakar, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Norlia Ramli, 34, berkata, kejadian itu disedari jiran tinggal berhampiran dengan gerainya, lalu memaklumkan kepada dia yang ketika itu tidur di rumah ibunya.
Menurutnya, ketika itu, api sedang marak, bagaimanapun mujurlah beberapa jiran mengambil tindakan berani berusaha memadamkan kebakaran sebelum bomba datang memadamkan sepenuhnya kebakaran terbabit.
“Selepas selesai memadam api saya masuk semula ke dalam gerai dan mendapati peralatan dapur, barang makanan dan tong gas habis terbakar. “Dinding kedai yang diperbuat daripada kayu papan turut terbakar tetapi hanya sebahagian sahaja,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Batu 2, Pedas Hilir, dekat sini.
Norlia berkata, akibat kejadian itu, dia sedih kerana kebanyakan peralatan dan perkakasan terbakar. Katanya, secara jujur, dia tidak memiliki wang untuk membeli semula barang dapur kerana kesempitan hidup.
“Dengan keadaan diri yang hanya bergantung kepada pendapatan hasil meniaga goreng pisang untuk membesar dan menyekolahkan anak-anak memang wang sedia ada belum cukup menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Malah, katanya, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa dibahagi dua dengan bekas suami kerana tiga daripada lapan anaknya dijaga bekas suami. Menurutnya, dia pula perlu menjaga lima anak dan empat daripadanya sudah bersekolah.
“Pendapatan meniaga goreng pisang ini tidak menentu terutamanya jika musim hujan hasil jualan tidak memberangsangkan. Kejadian kali ini juga menyebabkan saya tidak dapat berniaga jika barang dapur tidak dapat dibeli,” katanya.
Lebih merunsingkan, katanya, rumah mesra rakyat yang diduduki kini juga tidak berbayar sejak beberapa bulan lalu kerana hasil jualan digunakan untuk menampung kehidupan mereka anak beranak.
No comments:
Post a Comment