Oleh Abd Shukur Harun
Konvensyen Pakatan Rkyat pada 19 Disember ini sangat wajar memberikan perhatian kepada trend pemikiran anak muda dalam perkembangan politik tanah air dan trend pengundi atas pagar, yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’, selain isu lain.
Trend itu ialah: Pertama, trend pemikiran anak muda masa kini yang dilihat sangat kritikal terhadap parti pemerintah atas beberapa sebab.
Kedua, kemunculan apa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang.
Golongan atas pagar yang baru ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.
Dua perkembangan terbaru dalam arena politik di Malaysia ini sangat wajar diberikan perhatian oleh Konvensyen Pakatan Rakyat nanti kerana ia tentunya mempengaruhi keputusan PRU Ke-13 nanti.
Dengan itu konvensyen ini wajar melihat secara objektif akan hal ini dan bagaimana menanganinya dengan bijaksana.
Penulis politik terkenal, yang juga Ketua Pengarang Harakah dalam satu tulisannya di Harakahdaily baru-baru ini mengulas mengenai trend anak muda sekarang. Beliau menulis bahawa demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik.
Menurutnya, penyertaan pro-aktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatiannya.
Tanpa kehadiran mereka, kata Lutfi, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk. Saya amat bersetuju dengan pandangan Lutfi bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik.
Kata Lutfi lagi, selain merumuskan deraf manifesto awal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.
Bagi saya, perkembangan dan suasana politik baru di Malaysia menuntut kebijaksanaan yang sungguh-sungguh dari pemimpin dan warga Pakatan Rakyat seluruhnya, terutama hasil dari kehadiran pelbagai media baru melalui internet dan media cetak alternatif.
Suasana tentunya sungguh berbeza dengan trend politik ketika PRU Ke-12 di tahun 2008 dulu. Ini semua, antaranya, disebabkan Umno/BN cuba ‘bangun’ kembali dari kekalahan teruknya dulu, isu perkauman yang begitu disemarakkan oleh golongan berkepentingan.
Juga tidak dapat dinafikan mengenai persepsi orang ramai kesan dari krisis yang melanda PKR – walaupun kini sudah reda, juga isu pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat serta beberapa isu lain.
Dengan itu Pakatan Rakyat, pertamanya perlu memberi perhatian sungguh-sungguh kepada golongan muda justru pengaruh mereka menyerlah kembali.
Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini mungkin boleh menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mereka ini sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
Bagi kedua golongan ini mereka hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, kurangnya potensi – atau tidak berpotensi sama sekali - untuk melompat, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Juga calon yang bukan menjadi ‘tukang sorak’ semata-mata di Dun atau Dewan Rakyat.
Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan atas pagar yang baru ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mereka ini adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya.
Seperti dikatakan tadi, kedua-dua golongan ini sangat terdedah kepada pelbagai maklumat dan sama sekali bukan ‘pelanggan’ media tradisional baik akhbar ataupun TV. Mereka golongan yang berfikir dan terbuka.
Mereka hanya mengundi calon yang boleh membawa negara ini benar-benar mengamalkan demokrasi dan adil, bersih dari segala bentuk rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya serta mereka mahukan negara ini bebas dari elemen perkauman dan kelompok.
Oleh itu jika Pakatan Rakyat dapat memberikan jaminan dan menunjukkan kemampuan melaksanakan idealisme mereka ini, tidak syak lagi kedua golongan ini akan memberikan undi kepada mereka.
Di samping itu, Pakatan mestilah juga memberi perhatian sungguh-sungguh kepada pengundi tegar PAS, DAP dan PKR selama ini supaya mereka tidak lari dan dalam masa yang sama rakyat mahukan jaminan dari Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen sungguh-sungguh melaksanakan sebuah kerajaan yang terbaik untuk rakyat jika menang.
Sementara itu, adalah sesuatu yang tepat keputusan PAS melarang semua pihak memberi kenyataan, ulasan dan sebagainya mengenai isu negara Islam.
Kepada saya semua pihak juga perlu berhenti dari menimbulkan isu timbalan perdana menteri jika Pakatan berkuasa serta isu yang memperlihatkan perbezaan pendapat di antara pemimpin dalam dalam Pakatan, isu perkauman dan lain-lain.
Kenyataan yang keluar selama ini, walaupun tidak selalu, banyak mencederakan kewibawaan Pakatan Rakyat justru ia menjadi ‘bola tanggung’ kepada pemimpin Umno/BN dan media yang mereka kuasai untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
Apa yang diharapkan ialah semua parti dalam Pakatan memberikan tumpuan serius kepada PRU Ke-13 dan tidak lagi menghabiskan masa dengan melayani masalah dalaman berlarutan.
Inilah persoalan dan hala tuju yang sangat wajar difikirkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ini. Agenda, usul, rumusan dan rangka bertindak Konvensyen ini sewajarnya tepat dan bijaksana justru rakyat sedang menanti hasilnya
No comments:
Post a Comment