" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Saturday, December 11, 2010

Kenapa hanya Khir Toyo?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya bercadang menyinggung isu bekalan air Selangor yang mendorong demonstrasi besar-besaran Ahad lalu. Kontroversi kenaikan kadar taraf air di negeri termaju itu, sebanyak 37 peratus, saya kira, ada kaitan dengan beberapa aduan awal saya kepada Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) membabitkan bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo, hampir sepuluh tahun lalu, berkaitan kos melampau pembekalan dan pemasangan pair air.

Di negara ini, pelbagai projek kemudahan awam, seperti bekalan air bersih dan tenaga elektrik, juga pembinaan jalan (termasuk longkang), sekolah, klinik kesihatan dan hospital kerap dimanipulasi sebagai sumber utama memperkayakan kroni dan suku-sakat elit penguasa

Nilai pembiayaan projek berkenaan melalui wang rakyat meningkat berkali ganda daripada kos sepatutnya, apatah lagi segalanya diuruskan melalui rundingan terus, sedangkan "gemuruh" tender terbuka hanya gimik politik untuk menunjukkan keterbukaan dan ketelusan.

Dalam kes di Selangor, kos membiayai proses penggantian paip air lama sepanjang 6000km membabitkan lebih RM2 bilion. Malangnya, Syabas (melalui pengerusinya, Rozali Ismail, yang bergaji hampir RM500,000 sebulan) melihat kesempatan itu untuk menimbunkan lagi kekayaan, apatah lagi syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif air yang tinggi oleh kerajaan persekutuan. Bukan saja perjanjian untuk mendapatkan bekalan paip buatan tempatan tidak dipatuhi, malah Rozali sendiri dikatakan bertindak sebagai pembekal paip kepada Syabas!

Bagaimanapun, semasa mengikuti latihan fisioterapi di HUKM, Cheras -- lanjutan pembedahan pintasan jantung tujuh bulan lalu -- pagi Isnin, 6 Dis, saya menerima banyak panggilan telefon dan SMS. Aneh sekali, kebanyakan mereka mengucapkan tahniah kerana Dr Khir bersama seorang lagi (yang juga pernah saya sebutkan nama beliau, Shamsuddin Hayroni, dalam satu aduan kepada BPR) ditahan SPRM untuk didakwa di mahkamah. Ramai mengaitkan dakwaan rasuah membabitkan Dr Khir dengan saya, walhal mungkin kesnya berbeda sama sekali.

Meneliti kes yang dipilih Peguam Negara untuk mendakwa Khir, ia mungkin di antara kes paling kecil yang pernah diadukan.

Saya akui usaha membongkar penyalahgunaan kuasa Khir, tidak sampai setahun selepas beliau dilantik Menteri Besar Selangor, memang mendebarkan dan agak "luar biasa". Tidak cukup dengan puluhan aduan kepada BPR, saya turut mengedarkan risalah, memorandum dan kenyataan akhbar (termasuk mengadakan sidang akhbar di lobi sidang Dun Selangor ketika Khir membentangkan bajet Selangor); menerbitkan akhbar tidak berkala (tetapi semua 43,000 naskhah dirampas di kilang percetakan sebelum sempat diedarkan); menganjurkan forum awam di sebuah hotel dekat Stadium Merdeka; berkempen dalam pilihan raya kecil di Anak Bukit (Kedah) dan Indera Kayangan (Perlis); merakamkan video (dengan bantuan Dinsman dan Nasir Jani), juga berceramah di Tanjung Karang (termasuk di sebelah rumah Khir di Simpang Lima)!

Meneliti kata pengantar dalam buku terbaru saya, yang mengumpulkan kolum Catatan Hujung di Harakah, Dinsman mengungkapkan: "Waktu itu dia (Ahmad Lutfi) semacam obses dengan isu rasuah Khir Toyo itu, hinggakan dalam pilihan raya kecil pun, Kedah, dia menyebarkan maklumat rasuah Khir Toyo ini dalam kempen-kempen pilihan raya di kawasan berkenaan. Barangkali tidak ada orang lain yang sedemikian komitednya dengan sesuatu isu yang diperjuangkan, seperti halnya Ahmad Lutfi dalam isu tersebut."

Petang 6 Dis itu, seorang wartawan TV Selangor minta reaksi awal saya memandangkan Khir ditahan bukan di atas laporan yang saya kumpulkan dahulu. Memang kes yang dipilih SPRM itu tiada kaitan langsung dengan lebih 20 aduan yang pernah saya kemukakan. (Penat saja saya turun naik pejabat SPRM berulang kali, di Putrajaya dan juga Shah Alam). Sebenarnya, saya sendiri sudah lupa perincian kes-kes lama itu. Saya hanya menjalankan tugas selepas dibekalkan dengan begitu banyak dokumen daripada bukan saja sumber yang layak dipercayai, malah cukup dekat dengan Khir. Apa pun, saya cukup gembira dengan pengalaman berharga membongkar kes salahguna kuasa yang membabitkan sejumlah besar dana awam).

Namun, semua pihak maklum dengan fenomena "pendakwaan terpilih kes jenayah" di negara ini khususnya apabila membabitkan tokoh-tokoh politik BN. Saya juga pernah mengkritik penganugerahan darjah kebesaran Selangor kepada seorang pegawai tertinggi SPRM, yang dikhuatiri mempunyai muslihat tertentu. (Difahamkan bahawa di antara tokoh-tokoh yang "dijaga" elit penguasa Umno adalah mereka yang berkaitan pendakwaan dan penguatkuasaan, termasuk pegawai-pegawai kanan polis).

Sesungguhnya "nasib" aduan saya itu tidak penting. Dari awal saya menyedari, usaha membongkar penyelewengan orang besar yang masih berkuasa tidak semudah difikirkan. Pegawai SPRM, dalam banyak hal, bukannya mahu membantu, apatah lagi untuk menghargai usaha kita, malah tambah menyukarkan inisiatif bagi menyelamatkan wang rakyat dan mengangkat integriti. Pihak penyiasat terutama SPRM cawangan Selangor lebih berminat untuk mengorek rahsia siapa yang membocorkan dokumen sulit kepada saya. Beberapa usahawan dan peniaga yang disyaki menyalurkan maklumat itu telah disenaraihitamkan.

Saya telah melakukan segalanya dalam kes tersebut sehingga perniagaan penerbitan saya pun terpaksa ditutup ekoran terlalu banyak halangan melanda. Tidak kurang juga pelbagai "misteri" yang ditimbul sepanjang tempoh yang cukup tegang itu. Biarlah, saya tidak berhasrat untuk mengungkit segala kes lampau. Seperti saya tegaskan dahulu, memang banyak kes Khir yang tersenarai, namun ia tidak pernah beliau merupakan tokoh Umno paling bermasalah dari segi rasuah. Ramai lagi melakukan kesalahan sama, malah mungkin dalam skala lebih besar, tetapi tiada pendedahan dilakukan. Sebagai orang media, saya lebih berpeluang untuk "mensensasikan" laporan rasuah terhadap Khir itu.

Kini, tanpa perlu menunggu tindakan lanjut SPRM, Khir sudah pun dihukum rakyat dalam pilihan raya lalu. Beliau bukan saja kehilangan kuasa dan pengaruh (bukankah posisi MB Selangor itu cukup mengiurkan dan sumber segala kemewahan, selain berpotensi besar menggerakkan sokongan politik dalam Umno kepadanya), malah ditinggalkan kawan-kawan yang dahulunya rapat dan intim. Secara tiba-tiba, tiada lagi kata sanjungan dan pujian seperti dahulu. Itu semua satu bentuk penderaan, yang mungkin lebih dahsyat berbanding diheret ke mahkamah.

Umno sendiri secara terbuka menolak Khir, malah Perdana Menteri Najib Razak mengambil seteru politik beliau, Noh Omar menjadi orang penting dalam perhubungan Umno negeri. Najib adalah ketua perhubungan Umno Selangor dan Noh timbalannya. Walaupun Khir masih dilantik Ketua Pembangkang dalam sidang Dun, seperti nasib bekas dua Menteri Besar lain, iaitu Mahadir Khalid di Kedah dan Tajol Rosli Ghazali di Perak (sebelum rampasan kuasa), namun masa depan kerjaya politiknya ternyata hitam-pekat. Khir menjadi liabiliti besar buat Umno Selangor. Tiada siapa yang rugi jika beliau terpaksa dikorbankan. Selangor merupakan negeri terpenting untuk direbut kembali Umno walau dengan apa kos sekalipun.

Najib pula seperti mahu menjadikan kes Khir sebagai bukti bahawa BN benar-benar serius menangani rasuah dan bersungguh mahu membanteras penyelewengan. Bagaimanapun, saya yakin tidak ramai percaya, malah majoriti rakyat akan memperolok-olokkannya. Tindakan kosmetik seumpama itu sudah ketinggalan zaman dan begitu mudah dibaca motifnya. Umno bukan sahaja memerlukan lebih banyak kes berprofil tinggi dibawa ke mahkamah sebelum imejnya perlahan-lahan dapat dipulihkan, malah perlu melakukan usaha reformasi memperkasakan SPRM.

Abdullah Ahmad Badawi pun melakukan hal sama -- tindakan kosmetik untuk mengelabui mata rakyat -- tujuh tahun lalu. Kali pertama, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya umum 2004, memang ramai tersilau dan memberi kepercayaan kepadanya. Rekod hitam 23 tahun Dr Mahathir Mohamad, dari segi ketelusan dan amalan memerangi rasuah, membuatkan rakyat menaruh sedikit keyakinan buat Abdullah untuk melakukan perubahan. Walaupun berbekalkan sokongan luar biasa pada PRU11, Abdullah cepat lupa diri dan banyak kes rasuah yang dibawa ke mahkamah "gugur" begitu sahaja. Justeru, beliau dihukum pada Mac 2008.

Yang pasti pendakwaan Khir ini tidak mampu menyelamatkan Najib. Oleh itu saya tidak yakin ia ada kaitan dengan pilihan raya awal yang diuar-uarkan banyak pihak. Apatah lagi jika rakyat melihatnya sebagai kes sandiwara atau lakonan semata-mata. Itu hanya menyebabkan orang ramai berasa tertipu dan diperbodohkan. Kalaupun Jabatan Peguam Negara serius mahu "mengenakan" Khir, saya kurang faham mengapa kes-kes lain yang lebih kuat bahan buktinya tidak dipilih. Lebih penting, banyak lagi aduan membabitkan VVIP lain seperti tidak pernah dipedulikan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111