Oleh SM Mohamed Idris
Kerajaan Malaysia pada minggu lalu telah merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) - melalui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP - dan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Rundingan ini diadakan serentak di Auckland, New Zealand (daripada 6 Disember hingga 10 Disember) dan di Brussels, Belgium (6 Disember hingga 9 Disember).Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai implikasi FTA ini ke atas pelbagai aspek pembangunan Malaysia.
Rundingan dua hala FTA Malaysia-AS yang bermasalah sebelum ini pernah terbantut, tetapi AS cenderung untuk menuntut perkara yang sama dalam TPP dalam pusingan rundingan semasa.
Sejak rundingan dua hala FTA Malaysia-AS bermula, dunia mengalami krisis ekonomi dan kewangan paling teruk sejak Kemelesetan Besar pada 1930-an, krisis makanan yang kelihatan akan berlaku semula akibat kenaikan harga makanan dan dengan perlunya untuk mengambil tindakan ke atas perubahan iklim menjadi semakin penting.
Berdasarkan FTA mereka yang lalu, sebagai tambahan kepada pembukaan ekonomi Malaysia kepada syarikat asing (termasuk perolehan kerajaan – yang bermakna kerajaan kurang mampu untuk membantu Orang Asli dan komuniti lain yang terpinggir memandangkan klausa “Layanan Negara” akan dituntut dari Malaysia), EU dan TPP FTA akan memburukkan lagi semua krisis ini dan membuatkan ia lebih sukar bagi Malaysia untuk melaksanakan langkah yang diperlukan untuk mencegah krisis seperti itu berulang semula.
Mengunci negara dan rakyat dengan mengulangi kesilapan lalu bukanlah apa yang perjanjian abad 21 perlu lakukan.
Contohnya, Suruhanjaya Pakar Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembaharuan Sistem Kewangan dan Mata Wang Antarabangsa, termasuk Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menyarankan beberapa langkah peraturan yang perlu diambil untuk mencegah krisis kewangan, sama seperti yang berlaku pada masa kini daripada berulang, dan menjadikannya lebih mudah untuk menangani krisis itu apabila ia berlaku.
Banyak daripada langkah ini, seperti Glass-Steagall type firewalls dan kawalan modal untuk tempoh yang cukup panjang bagi kemasukan dan keluar, tidak mungkin dibenarkan, apatah lagi untuk diterima oleh EU dan AS dalam rundingan FTA ini.
Tambahan pula, krisis makanan baru-baru ini telah menunjukkan kepentingan makanan mampu diri. Walau bagaimanapun, pesawah dan petani lain Malaysia tidak akan mampu untuk bersaing dengan makanan yang diimport dari AS dan EU jika mereka memaksa Malaysia supaya menghapuskan tarif pertanian – manakala mereka mengekalkan subsidi yang besar – dalam rundingan FTA ini.
Petani Malaysia juga akan mendapati lebih mahal untuk menghasilkan tanaman makanan kerana perlindungan harta intelektual yang lebih kuat terhadap biji benih dan input pertanian lain yang menjadi tuntutan AS dan EU dalam rundingan ini.
FTA ini juga dijangka akan meningkatkan harga ubatan di Malaysia kerana perlindungan harta intelektual (IP) yang lebih kuat dituntut oleh AS dan EU.
Apabila Guatemala melaksanakan FTA dengan AS, data eksklusif jenis IP yang dituntut dalam FTA menjadikan ubatan 845600 peratus lebih mahal. (Versi generik boleh diperolehi dengan kos AS$0.01 dan versi yang dilindungi oleh data eksklusif dengan kos AS$84.56).
Harga tinggi yang diramalkan untuk hanya lima ubatan di Australia akibat monopoli IP dilanjutkan kepada dua tahun di bawah FTA dengan keuntungan AS 28 kali lebih besar berbanding keuntungan yang dianggarkan oleh Jawatankuasa Senat Parlimen Australia untuk seluruh FTA Australia-AS.
Dalam kes TPP, AS cenderung untuk menuntut monopoli lima tahun dari Malaysia.
Minggu lalu, pendirian kerajaan New Zealand berhubung bahagian IP dalam TPP telah bocor.
Memandangkan New Zealand merupakan pengimport IP bersih seperti Malaysia, ia menyedari bahawa ia tidak benar-benar mendapat manfaat daripada perlindungan IP yang lebih besar, dan ia juga khuatir akan kesan perlindungan IP yang lebih besar ke atas harga ubatan di negara itu, di mana kerajaan memberikan subsidi ubatan. Oleh sebab itu, New Zealand pada dasarnya berkata ia tidak sanggup untuk bersetuju kepada IP yang lebih besar dalam TPP.
Tambahan pula, AS dan EU juga cenderung untuk menuntut hak yang lebih besar untuk pelabur mereka. Hak ini akan menjadikan lebih sukar untuk mengawal syarikat, contohnya untuk mengurangkan pelepasan gas yang menyebabkan perubahan iklim, atau untuk mengambil langkah mengurangkan risiko krisis kewangan. Dalam satu kes sahaja di bawah peruntukan jenis ini, pelabur menuntut ganti rugi kerosakan lebih daripada AS$50 bilion.
Berdasarkan pertikaian pelabur yang membabitkan isu pelaburan yang hampir sama dalam FTA-AS lain, perlindungan pelabur ini mungkin akan menghalang Malaysia daripada melaksanakan peraturan alam sekitar dan kesihatan, seperti pengharaman bahan kimia beracun atau melaksanakan langkah kawalan tembakau.
Contohnya apabila kerajaan Kanada mahu mengubah pembungkusan rokok untuk tidak menggalakkan orang ramai daripada menghisap banyak rokok, Philip Morris mengancam untuk menyaman Kerajaan Kanada di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (melibatkan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat). Selepas menerima ancaman ini, kerajaan Kanada tidak melaksanakan perubahan yang dicadangkan itu.
Kira-kira 10,000 rakyat Malaysia dianggarkan mati akibat penyakit berkaitan dengan merokok menurut Kementerian Kesihatan yang membelanjakan hampir separuh daripada belanjawannya untuk merawat penyakit berkaitan tembakau. Bagaimana kita mampu untuk menghentikan tragedi ini jika kita menandatangani FTA seumpamanya?
Memandangkan bahaya dan risiko yang terlibat apabila menerima FTA, kami menggesa kerajaan untuk tidak memulakan usaha FTA yang akan menjejaskan dan tidak seimbang kepada kepentingan rakyat Malaysia dan orang ramai.
Kami juga menggesa kerajaan supaya menjalankan kajian kuantitatif dan kualitatif terhadap implikasi dan kesan daripada sebarang FTA yang diterimanya.
SM Mohamed Idris ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment