Jabatan pendaftaran negara mendedahkan bahawa setiap tahun kita melahirkan seramai lebih daripada 52,000 anak luar nikah. Jumlahnya adalah melebihi 10% daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak yang dilahirkan di negara kita.
Pada tahun 2010 sahaja seramai 52,982 kanak-kanak luar nikah didaftarkan di negara kita dan pada tahun 2009 pula seramai 52,378 anak luar nikah didaftarkan.
Jika setahun seramai 52,000 anak luar nikah dilahirkan, dalam tempoh 10 tahun negara kita dipenuhi oleh seramai setengah juta anak luar nikah, secara rambangnya kita akan mempunyai populasi seramai 4% yang terdiri daripada anak luar nikah dalam tempoh 20 tahun.
Memandangkan masalah sosial dan pergaulan serta seks bebas akan berkembang biak lagi dengan rancaknya di negara kita dan sebelum ini juga memang telah ramai yang melahirkan anak luar nikah, jumlah 4% daripada populasi dipenuhi anak luar nikah berkemungkinan adalah lebih tinggi lagi. Tidak mustahil kita mempunyai 10% anak luar nikah daripada jumlah keseluruhan populasi.
Satu hal baru yang mula menjadi masalah masyarakat di negara kita mula timbul apabila jumlah anak luar nikah ini menjadi terlalu ramai adalah peraturan Jabatan Pendaftaran Negara yang tidak membenarkan anak yang lahir kurang dari 6 bulan tempoh perkahwinan berbinkan nama ayahnya, walaupun si ayah mengaku dialah ayah sebenar kepada anak tersebut hasil daripada hubungan zina.
Beberapa ulama mula mempertikaikan syarat yang dikenakan oleh Jabatan Pendaftaran untuk tidak mendaftarkan anak berbinkan nama ayah. bagi mereka ini bakal menimbulkan satu lagi masalah besar terhadap anak tersebut apabila ia membesar nanti. Kita tidak boleh menghukum anak yang suci itu, alasan mereka. Baca laporannya di sini.
Ulama yang mempersoalkan syarat itu menasihati negara kita mengambil fatwa tidak popular dari beberapa Mazhab yang membenarkan anak dibinkan kepada ayahnya jika ayahnya mengaku bahawa dia yang bertanggung jawab.
Ulama serta majlis fatwa negara kita mengambil fatwa yang lebih popular dalam menolak kebenaran mengbinkan si ayah jika tempoh kelahiran kurang daripada 6 bulan. Akibatnya ramailah anak yang akan berbinkan Abdullah kerana ayahnya tidak diiktiraf dalam syarak sebagai ayah yang sah.
Memang kita patut mempertimbangkan saranan para ulamak tersebut memandangkan alasan mereka adalah bagi mengurangkan kerosakan yang bakal berlaku pada anak-anak luar nikah jika hak penjagaan dan lain-lain terputus apabila tidak berbapa. Ini kerana segalanya telah berlaku dan kita perlu menyelesaikan masalah di depan mata sebaik mungkin.
Tetapi dalam masa yang sama kenapa para ulama tersebut tidak mempersoalkan kenapakah kita hanya memejam mata dan membiarkan para ibubapa yang terang-terang mengaku berzina sehingga melahirkan anak tersebut. Sedangkan ia merupakan satu masalah besar yang perlu ditangani bagi mengelakkan ianya berulang dan diikuti oleh lebih ramai lagi manusia lain.
Penyelesaian jangka pendek memang wajib ditangani, tetapi penyelesaian jangka panjang bagaimana pulak?. Kenapa mereka tidak menangani dahulu sistem hukuman zina yang lansung tidak memberikan pengajaran kepada penzina. Bukankah itu merupakan salah satu punca besar kenapa merebaknya aktiviti zina di negara kita?
Kita ansyik membahaskan penyelesaian jangka pendek dengan mengambil berbagai-bagai fatwa tidak popular sedangkan fatwa yang sahih seperti hukuman terhadap penzina tidak pernah kita jalankan. Maka semakin lama semakin kusut jerutan masalah mencengkam masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment