" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, January 5, 2010

ABUinPAS : Si Buta Nak Mengajak Orang Lain Buta Sepertinya

Ada orang berpendapat isu kalimah Allah tidak boleh ditangani seperti orang buta meraba gajah. Gambaran gajah bagi orang buta bergantung kepada mana satu anggota gajah yang dipegangnya.

Pendapat itu benar. Namun, ada beberapa persoalan yang berlegar di kepala.

Adakah orang Islam di Malaysia masih seperti orang buta meraba gajah? Adakah tidak ada di sana orang celik yang mampu menjelaskan kepada orang buta mengenai hakikat sebenar gajah?

Benar, kita bimbang keputusan mahkamah yang terbaru bakal menjadi duluan mengikat kepada keputusan mahkamah pada masa hadapan. Soalnya, adakah kita yakin bahawa keputusan mahkamah yang lebih tinggi selepas ini bukan seperti sekarang?

Kalau seperti sekarang juga, bagaimana?

Dan, katakan keputusan mahkamah selepas ini adalah berbeza dengan keputusan mahkamah sekarang, adakah orang Islam sudah tidak lagi menjadi sibuta yang meraba gajah?

Justeru, isu kalimah Allah bukan dapat dirungkai oleh mahkamah. Apa pun keputusan mahkamah, tanggungjawabnya tetap terpulang ke atas pundak orang Islam juga.

Raja-raja kita adalah orang Islam. PM, TPM, sebahagian besar menteri, sebahagian besar timbalan menteri, MB, sebahagian besar KM, sebahagian besar exco, sebahagian besar pegawai kanan kerajaan, general tentera, Ketua Polis Negara, Tim KPN, dan… adalah orang Islam.

Kita ada berbelas mufti, timbalan mufti, jabatan agama, JAKIM, YADIM, IKIM, puluhan universiti Islam, fakulti pengajian Islam dengan ratusan profesornya, semuanya adalah orang Islam.

Itu belum termasuk panelis Halaqah, Forum Perdana Ehwal Islam,… mana mungkin ada yang tidak Islam.

Dengan semua itu, masih ramai lagi orang Islam yang menjadi sibuta meraba gajah?

Kita boleh marah kepada orang bukan Islam menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi adakah kemarahan kita itu menguntungkan Islam atau kemarahan itu menjadikan wajah Islam semakin hodoh?

Wajah Islam bukan menjadi hodoh kerana diconteng oleh orang bukan Islam yang menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi menjadi hodoh kerana orang Islam sendiri. Dia menyangka dia menyolek Islam dengan tindakannya, pada hal dia menconteng arang ke muka Islam.

Lupakah kita kepada penjelasan al-Quran bahawa Allah akan mengganti kaum lain sebagai pembawa Islam sekiranya kaum yang sedia ada tidak lagi berkemampuan membawa Islam?

Apa kita ingat Islam adalah hak mutlak orang Melayu? Atau, kita syok sendiri kerana dilahirkan sebagai orang Islam? Atau, kita ingat Islam adalah hak mutlak dan ekslusif orang Islam sahaja?

Bagaimana kalau ada orang bukan Islam ingin mengamalkan Islam dalam kehidupannya? Kita ingin melarangnya? Kalau ada orang bukan Islam ingin mengaku Allah sebagai Tuhannya, kita menafikannya?

Harap-harap kita tidak menjadi penghalang petunjuk Islam daripada sampai kepada orang lain. Jangan kerana kita buta, kita juga mahu orang lain turut buta seperti kita. -Ustadz Zorkharnain Abidin

Ulasan GB

Memang betul apa yang dikatakan oleh Ustadz Zorkhanain di atas.

Esok, berkemungkinn keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi akan diterbalikkan oleh mahkamah Rayuan, dan bersorak sorailah Melayu di dalam UMNO dan geng Perpaduang dalam PAS.

Namun setidak-tidaknya PAS telah pun menyuarakan kebenenaran dengan lantang bahawa tidak ada kesalahan untuk ssiapa pun menggunakan kalimah Allah. Sekalipun keputusan Jawatankuasa Lajnah Politik malam tadi mengambil dalil bahawa penggunaan kalimah Allah telah digunakan oleh penganut agama samawi, namun ini tidak bererti bahawa kalimat itu dibataskan hanya untuk mereka, jauh sekali hanya untuk umat Islam.

Islam adalah untuk semua, begitulah Allah adalah Tuhan untuk semua, bukan hanya untuk penganut Islam kerana kalimat itu bukan milik umat Islam tetapi milik mutlak Allah.

Allah adalah satu nama bagi Zat Yang Maha Agong dan Maha Mulia. Ia tidak boleh direbut dan dibataskan mengikut kehendaki hati sesiapa kecuali Dia. Allah akan memerangi mereka yang melampaui batas yang cuba mengurung kalimat itu hanya untuk menjadi pesakanya.

Yang disembah bukan kalimat "Allah" itu tetapi adalah Zat yang empunya nama tersebut.

ABUinPAS : Jangan Terlalu Laju, Bahaya!

Oleh Zolkharnain Abidin

Ada orang Umno yang marah kalau saya kata Umno memang seronok dengan keput[Ustazidrisahmad.jpg]usan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah.Macam mana pula, bu kankah ada gambar orang Umno mengangkat tangan membantah penggunaan nama itu oleh akhbar berkenaan?Dan, jangan lupa, gambar yang mengangkat tangan itu adalah orang Umno Pulau Pinang. Mengapa Pulau Pinang?

Agaknya begini…

SATU - Umno berharap sangat supaya PAS bangun menentang keputusan mahkamah itu, kalau boleh bermati-matian, berdemontrasi besar-besaran.

Harapan mereka bila PAS bertindak sebegitu, sedikit sebanyak akan menyumbang kepada rasa tidak puas hati di kalangan pendokong PKR yang beragama Kristian.

Rasa tidak puas hati itu mungkin akan diluahkan. Pada waktu itu Umno berjaya memasukkan jarumnya untuk memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Kalau ini berlaku, perangkap Umno memang mengena. Hasrat Umno untuk memburukkan PAS pada mata orang-orang bukan Islam dikira berjaya.

DUA - Katakan pula PAS menyokong keputusan mahkamah iaitu membenarkan penerbitan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Umno memasukkan pula jarumnya di kalangan orang Islam.

PAS tidak lagi berjuang Islam kerana menyokong keputusan mahkamah itu. Pada masa itu, imej PAS di kalangan orang Islam sendiri diburukkan oleh Umno.

Umno boleh mencanang kemana-mana, PAS bukan berjuang Islam sebab menyokong keputusan tersebut. Perangkap Umno mengena lagi kalau PAS mengambil sikap begini.

TIGA - Katakan PAS diam sahaja, ini pun akan dicanangkan juga oleh Umno. Tengok, PAS sudah jadi kuda tunggangan DAP, tidak berani membela agama sendiri kerana menjaga hati DAP.

Kalau PAS berani mengapa diam? Belalah agama…! Kesitu pulak perginya Umno.

PAS ada keutamaannya, membela agama. Mana satukah makna membela agama yang sebenar? Berkelahi dengan orang bukan Islam atas isu penggunaan nama Allah? Atau, tampilkan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan rahmat untuk semua termasuk kepada orang bukan Islam?

Mana lebih besar mudaratnya? Orang Kristian guna nama Allah dalam penerbitan mereka? Atau, membiarkan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, perampasan hak berleluasa?

Saya sering terpandang di cermin-cermin kenderaan stiker yang bertulis, ‘Speed Kills’ . Saya harap Ustaz Idris dan Ustaz Nasharudin jangan terlampau laju. Bahaya ustaz…!

ABUinPAS : Di mana silap dan betulnya Hakim Lau Bee Lan?

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

Sebagai seorang peguam dan pemimpin PAS saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan saya di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.



Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.

Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .

Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri ( MDN ) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.

Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum saya memulakan ulasan saya terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut saya perlu menyatakan di sini sebagai seorang peguam saya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan saya benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.

Di sini saya ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca saya hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka saya berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.

Bagi saya Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa saya kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah saya bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.

Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil ouster clause.

Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Pengalaman saya mengendalikan kes kebebasan beragama iatu kes tiga pelajar dibuang sekolah kerana memakai serban menyakinkan saya bahawa kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.

Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka ( to practice and propagate their religion ) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Saya berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam . Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.

Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

Saya juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun saya berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama..

Saya berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam ( public disorder ).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Saya tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun saya tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 ( 5 ) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat saya berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligius berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.
Yang peliknya pada masa itu kita tidak dengar pula mana-mana pemimpin UMNO yang berkokok seperti ayam jantan seperti sekarang ini.

ABUinPAS : Isu Perkataan Allah Dan Golongan Munafik

Oleh YB Dr Mujahid Rawa

Keputusan 31 Disember tentang penggunaan kalimat Allah oleh Mahkamah Tinggi menutup tirai tahun 2009 dan membuka 2010 dengan penuh kontraversi. Mungkin tidak sehebat jet engine hilang atau gula naik 20sen. Tetapi isu ini telah menjadi sepak mula arena isu di negara ini semenjak 1 Jan lagi.Saya boleh memahami mengapa ianya menjadi isu yang menarik, kerana di Malaysia apa sahaja yang berbau sensitif pasti akan menarik minat pihak tertentu, apatah lagi pihak tertentu mempunyai agenda tersendiri dalam keadaan mereka mendapati diri mereka sempit dan tidak boleh bernafas dengan kemunculan wajah baru politik Malaysia.


Malangnya ramai yang menjadi mangsa kepada golongan desperado ini. Walaupun mangsa golongan tersepit yang menggunakan isu kalimah Allah ini untuk survival politik mereka dieksploitasikan namun, garisan penghujahan jika diteliti berbeza antara yang berkepentingan dan mereka yang melihat secara objektif dalam permasalahan yang timbul.

Saya meneliti garis penghujahan yang menentang keputusan Hakim Lau tempoh hari mempunyai rasionalnya tersendiri dan perlu diambil kira pandangannya. Apa yang saya tidak berminat untuk melihat ialah pihak tertentu yang hanya mengambil kesempatan dengan apa yang ada dan sekaligus menunjukkan sikap hipokrasi mereka dan double standards yang memualkan lagi menjijikkan.

Kerana golongan hipokrit ini bahaya kepada pembentukan masa hadapan politik Malaysia saya terpaksa dedahkan topeng sebenar mereka yang jelas tidak konsisten dalam “perjuangan” mereka.

Antaranya ialah golongan inilah yang yang satu ketika dahulu pernah mencadangkan supaya nama Islam dibuang dari dikaitkan kepada mana-mana pertubuhan kerana “menggunakan Islam” untuk kepentingan. Cadangan ini menjadikan umat Islam marah kerana menganggap nama Islam itulah yang memberikan keistimewaan sesebuah pertubuhan untuk dikenali identitinya, sama jika ianya sebuah pertubuhan yang identitinya Kristian atau Buddha.

Alhamdulillah, Raja-Raja Melayu menolak cadangan ini bahkan menggalakkan supaya nama Islam dalam pertubuhan digunakan. Asal cadangan ini kerana mereka mahu mengharamkan PAS dari menggunakan nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu Parti Islam Se Malaysia, mungkin mereka cemburu kerana Umno tidak ada sinonim itu.

Golongan ini jugalah yang tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja dan Persatuan Peguam Syari’e serta para ulamak tergesa-gesa membuat keputusan tentang hak penjagaan anak yang ibubapanya tukar agama mengikut agama asal ibu-bapa. Arahan ini adalah satu kebiadaban kepada undang-undang yang sedia ada kerana mereka telah mencampuri urusan Legaslatif yang tidakpun dibawa untuk berbincang.

Akhirnya Raja-Raja Melayu menolak untuk dibawa ke perbahasan kerana ia bertentangan dengan enakmen-enakmen yang tersedia ada di negeri masing-masing dan bertentangan dengan kehendak perlembagaan.

Begitu juga golongan ini yang menjadi parti pemerintah di peringkat Federal, masih belum mampu “menyebat” Kartika yang sudah puas menanti bilakah dia akan disebat, mereka mempertahankan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, tetapi peruntukan undang-undang Islam yang sedia ada iaitu sebatan enam rotan ke atas Kartika yang rela disebat pun hingga hari ini tak dapat dijalankan?

Berlatarbelakangkan sikap golongan opportunis ini, seseorang tidak dapat menahan diri untuk bertanya mengapa kali ini mereka seolah-olah menjadi juara pula nak mempertahankan kalimah Allah supaya tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, bukankah usaha satu ketika dahulu membuang nama Islam kepada pertubuhan satu cadangan yang lebih teruk daripada isu kalimat “Allah?”

Kalau melarang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, apa halnya melarang orang Islam sendiri untuk menggunakan nama Islam kepada pertubuhan mereka? Kalau mereka mendakwa nama Allah akan menghina umat Islam, apakah yang lebih hina kalau peruntukan syariat yang dah sedia ada pun mereka tak dapat laksanakan?

Jika mereka mendakwa penggunaan itu akan menimbulkan keadaan tidak sihat, apa pula yang sihatnya kalau Kabinet dari parti sempit ini melanggar sempadan Legaslatif tanpa dibawa perbincangan?

Manakala garis penghujjahan seolah dilihat sama oleh mereka yang menentang penggunaan kalimat Allah, tetapi jelas matlamat dan kesempatan yang dicari darinya berbeza. Saya memahami beberapa argumen dari PGSRM, contohnya, begitu juga JIM dan Abim, mereka ini berhujjah secara objektif dan jauh dari penghujjahan golongan sempit perkauman dan provokatis dan mereka yang sama waktu dengannya.

Respons kepada keputusan Hakim Lau secara spontan dibalas dengan logic perundangan. Saya memahami intepretasi artikel 3, artikel 11 (4), 12 (2), 130 dan 121 (1A), bagi saya itu adalah aspek penghujahan berperlembagaan yang praktikal dan ada local standinya. Terpulanglah sejauhmana hujah rayuan nanti yang akan dinilai secara perundangan dengan ruh perlembagaan dan adat resam sebagai latarnya.

Bagi saya kumpulan ini hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab cuba memahami intepretasi peruntukan Perlembagaan dengan cara yang professional. Ini akan membantu mematangkan kefahaman kita kepada Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya sentiasa terdedah kepada makna-makna baru bagi membuktikan ianya memang satu dokumen besar rakyat ini yang tanpanya tiadalah Malaysia hari ini.

Ada satu lagi masalah yang perlu digarap iaitu, apakah hukum Islam dalam penggunaan kalimat Allah bagi bukan Islam. Dalil yang menunjukkan keharusannya lebih kukuh daripada mengharamkannya. Ini adalah kerana untuk mengharamkan sesuatu ia perlu kepada ketegasan tanpa ta’wilan, manakala yang mengharuskannya, tidak pula ada ta’wilan kepadanya seperti dalam surah Az Zukhruf ayat 87-89. Oleh itu tanpa niat dan alasan menghina kalimat Allah hukum menurut Islam tiada halangan.

Adapun apakah makna dan mafhum Allah itu adalah akademik dan terdedah kepada wacana yang penghujungnya akan membuktikan konsep ketuhanan masing-masing jika ada pun perdebatan. Tanpa perdebatan pun pandangan tentang maksud “Allah” menurut fahaman masing-masing adalah dalam hal rumahtangga masing-masing “La Ikraha Fid Din”

Andaian-andaian tentang kekeliruan nanti, usaha menyebar dan pengaruh agama Kristian hanyalah kebimbangan-kebimbangan yang memang biasa kerana mahu mempertahankan agama masing-masing, namun kebimbangan tidak mampu menyelesaikan masalah, yang perlu ada kepada umat Islam ialah KEYAKINAN DIRI DAN KEIMANAN bahawa bukan penggunaan kalimat Allah oleh orang Kristian yang akan melemahkan kita tetapi persoalannya apakah Tauhid dan Penghayatannya telah benar meresap ke dalam jiwa umat Islam, bagi saya kelemahan untuk menghayati makna Tauhid dalam kehidupanlah yang perlu dibimbangi oleh umat Islam!

Apa sikap saya? Saya mengatakan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dari segi syara’ tiada masalah, tetapi saya turut menghormati perlembagaan dan peruntukannya dalam memberi hak kepada sesiapa untuk mempertahankan pandangannya secara perundangan, tetapi yang pasti saya amat membenci golongan “munafiq” yang berhujah “atas kebenaran” untuk matlamat kebatilan, iaitu mencapai maksud politik sempit, opportunis dan musang berbulu ayam.

Saya lebih sedih ramai yang menjadi mangsa. Lagipun pertembungan perundangan belum berakhir, kita tunggu dan lihat, pada waktu yang sama

“JAGA-JAGA DARI KUMPULAN MUNAFIQ YANG MENCARI MANGSA YANG TIDAK BERDOSA”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111