" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Sunday, March 14, 2010

Hujan Beri Rahmat Kepada Petani

Hujan yang turun mencurah selepas majlis solat Istisqa diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi kelmarin memberi rahmat kepada petani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kejadian hujan itu telah kembali menyuburkan tanaman petani yang kontang sejak sebulan lalu.

“Kejadian ini adalah satu perkara aneh kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan hujan hanya akan turun selepas dua bulan, bagi kami ianya doa orang mukmin yang dimakbulkan.

“Mereka yang paling gembira pada saat ini adalah golongan petani yang terjejas teruk pertumbuhan tanaman mereka sejak sebulan lalu terutamanya tanaman padi yang menjadi kontang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Terdahulu beliau merasmikan program motivasi remaja Jajahan Tumpat di Sekolah Menengah Agama Arab Mehelliah, Getting.

Che Abdullah berkata, sebagai orang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian negeri ini, beliau turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur beban yang ditanggung oleh golongan petani telah terurai dengan kejadian hujan ini.

Katanya, sebelum ini beliau menerima banyak aduan daripada petani tentang masalah kekurangan air yang menjejaskan tanaman mereka, namun tiada jalan penyelesaian sehinggalah Nik Aziz mengumumkan untuk mengadakan solat Istisqa meminta hujan.

“Bila Nik Aziz membuat pengumuman, saya cukup gembira apatah lagi dalam keadaan rakyat yang memberi sokongan padu kepada ikhtiar Kerajaan Negeri untuk mengadakannya.

“Kejadian hujan ini membuktikan bahawa doa umat Islam telah dimakbulkan dengan meminta kepadaNya berbanding usaha manusia sendiri untuk menangani perkara itu,” katanya.

Dalam pada katanya, beliau bertambah yakin Kerajaan Negeri akan mendapat royalti minyak kerana orang yang berdoa untuk meminta hujan juga adalah orang sama yang meminta agar Kelantan mendapat apa yang menjadi hak mereka.

“Sebagai umat Islam, kita perlu yakin dengan kuasa tuhan, dan doa daripada orang yang sama ini juga berkemungkinan besar akan dimakbulkan untuk Kelantan menerima royalti minyak,” katanya.

PERKAHWINAN 1 MALAYSIA

Perkahwinan dalam Islam merupakan satu ikatan yang suci dan murni. Islam mengajar keutuhan institusi kekeluargaan dan pembentukan syaksiyah anak anak bermula dari pemilihan jodoh yang menepati kehendak syarak. Bermakna bermula dari pemilihan pasangan hinggalah kepada pelaksanaan majlis perkahwinan itu sendiri.


ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ

"Satu keturunan yang sebahagiannya (turunan) dari yang lain" (Surah Ali-Imran 3: Ayat 34)


Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untuk menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertakwa kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

ثلاثة حق على الله عونهم المجاهد في سبيل الله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف

"Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad pada jalan Allah. Kedua: hamba mukatab (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayaran dan ketiga orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya". (Hadis riwayat Al-Tirmizi).


Sayang bila kemuliaan perkahwinan yang dimulai dengan ijab dan qabul yang menyatukan kedua pasangan kemudiannya dicemari dengan agenda yang tidak sepatutnya..(Sini) di (Sini)

Anwar Tolak Desas-Desus Adun Bakar Arang Bakal Lompat

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan desas-desus mendakwa bekas Exco Kedah, Tan Wei Shu, merajuk dengan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan berkira-kira mahu melompat parti.

Bercakap kepada media selepas ceramah perdana di Kota Sarang Semut semalam, Anwar menyampaikan kekesalan Tan Wei Shu diatas spekulasi jahat ini dan berkata Adun Bakar Arang itu kekal komited kepada PKR.

"Kita berterima-kasih dan menghargai khidmat beliau, dan saya katakan bahawa kita bagi sokongan kepada Menteri Besar Kedah untuk membuat penyesuaian yang beliau fikir perlu. Penguguran Tan Wei Shu tidak bermakna kita tidak berpuas-hati dengan khidmatnya. Setiap individu ada peranan dan tugasannya," kata Anwar.

Sebuah akhbar perdana baru-baru ini mewar-warkan cerita bahawa Wei Shu merajuk hingga sanggup tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah barisan Exco Negeri Kedah.

Di makan malam itu, Wei Shu memahami bahawa rombakan Exco Kerajaan Negeri adalah mengikut keperluan semasa, dibawah budi bicara Menteri Besar Kedah Azizan Abu Bakar.

LAKSANAKAN HUDUD HINDARKAN JENAYAH

Oleh:KetuaPolis

Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu meminta agar Kerajaan Negeri melaksanakan hukum Islam sebagai dasar pemerintahannya bagi mengurangkan kadar jenayah yang semakin berleluasa berlaku di negeri ini.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya mencontohi amalan yang dilakukan ketika zaman pentadbiran Pas sehingga memperlihatkan penurunan kadar jenayah dalam kalangan belia.

Dalam masa sama, beliau menganggap pengurangan kes jenayah yang berlaku pada zaman Pas disebabkan keberkatan pemerintahan berlandaskan tuntutan me-lalui al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Kita yakin kenaikan mendadak jumlah penglibatan belia dalam jenayah di negeri ini disebabkan ketiadaan keberkatan Allah SWT terhadap pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu tunduk kepada perintah Allah dalam hal pentadbiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Kerajaan Negeri perlu melakukan usaha bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan hukum Islam berdasarkan kepada Perlembagaan Negeri Terengganu yang di’islam’kan berdasarkan pada zaman pemerintahan Pas pada 1999 hingga 2004.

Mengulas lanjut beliau yang juga ADUN Bukit Payung berkata, pihaknya tidak berasa terkejut dengan statistik berdasar maklumat polis bahawa 60 peratus kadar jenayah yang berlaku di negeri ini membabitkan belia.

Namun, beliau amat kecewa apabila 6,000 pelajar sekolah menengah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dianggap kecil berbanding jumlah keseluruhan pelajar itu di negeri ini.

“Sepatutnya jumlah itu dipandang sebagai sangat membimbangkan kerana ia melibatkan perlakuan jenayah. Perbandingan sepa-tutnya dibuat berdasarkan kepada bilangan, bukan peratus,” katanya.

Beliau berkata, sepa-tutnya perkara tersebut dipandang serius dan khuatir dengan sikap memperkecilkan perkara seperti itu akan menyebabkan bilangan jenayah meningkat dari masa ke masa.

“Justeru, kami bersedia bekerjasama dengan pihak polis atau mana-mana badan pencegahan jenayah untuk membendung masalah ini agar tidak berterusan dan merebak dengan lebih meluas,” katanya.buletinonline

Enam Gambar Ahmedinijad Presiden Iran, seribu makna

Sarapan beliau ialah bekal yang di sediakan oleh Isterinya.

Lebih suka tidur di atas karpet walaupun keluar negara (foto oleh Adiknya)

Berada bersama dengan rakyat di dalam saf, lambat pergi masjid belakanglah duduknya

Akan sembahyang di mana sahaja apabila masuk waktu

Majlis perkahwinan anak lelakinya

Sedang di temuramah oleh wartawan termasuk dari Amerika

Pemimpin Islam sama saje tabiat dan perangai...kebesaran dan dunia hanya sementara

Pekerja kilang trauma dirogol lima lelaki

KOTA BHARU - Seorang pekerja kilang warga Indonesia berusia 20-an trauma selepas dipercayai diculik dan dirogol bergilir-gilir lima lelaki dalam kejadian di sini, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.35 pagi kelmarin ketika mangsa bersama lima kawannya sedang menuju ke tempat kerja dengan menaiki basikal.

Pengurus kilang tempat wanita itu bekerja, Ooi Liang Chye berkata, insiden itu dilaporkan kepadanya oleh salah seorang rakan yang ada bersama mangsa ketika diculik.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa bersama kawan-kawannya sedang mengayuh basikal secara berkumpulan apabila didatangi sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Mangsa ditarik masuk ke dalam kereta itu yang dipercayai dinaiki lima lelaki, disyaki lelaki tempatan,” katanya, semalam.

Katanya, mangsa tidak mengecam kumpulan lelaki itu memandangkan sebaik sahaja dia ditarik masuk ke dalam kereta, kedua-dua matanya ditutup.

“Selepas dirogol mangsa dibawa ke Bachok dan dalam perjalanan itu, dia terdengar perbualan suspek yang bercadang menjual mangsa," katanya.

Mangsa mula ketakutan dan mencari helah untuk menyelamatkan diri, lalu beberapa kali merayu dibenarkan pergi ke tandas.

"Salah seorang daripada suspek menemaninya ke tandas tetapi mangsa berjaya melarikan diri.

"Orang ramai menghantarnya ke Balai Polis Daerah Bachok sebelum mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan sudah menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Umno Tubuh, Biaya 70 NGO Untuk Fitnah Pakatan Rakyat

Umno di kesan melakukan satu lagi penyelewengan kuasa dan salah guna dana awam dalam cubaan merampas semula Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pemimpin Pemuda Umno diarah menubuh hampir 70 pertubuhan bukan kerajaan NGO untuk menabur fitnah di samping mempertikai setiap dasar dan kenyataan kerajaan negeri dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Kesemua NGO itu yang tumbuh ibarat cendawan sejak akhir tahun lalu di biayai oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Khalid mengesan 63 pertubuhan bukan kerajaan yang di bentuk oleh pemimpin Pemuda Umno dan dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan atas alasan mereka menjalankan program-program sosial.

Namun aktiviti utama NGO berkenaan ialah membuat laporan polis dengan tuduhan melulu terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Selain itu, mereka diarah memberi pelbagai kenyataan berbentuk tohmahan yang akan disebarkan menerusi media kawalan Umno seperti Utusan malaysia dan TV 3.

“60 laporan polis daripada NGO-NGO jelmaan, ini semua daerah Petaling, 63 NGO yang saya dapat dari Pejabat Umno. Semua NGO-NGO pemuda dan remaja yang ditubuhkan bertujuan untuk menerima bajet dari Kementerian Belia dan Sukan.

Khalid sendiri menjadi sasaran sebilangan daripada NGO berkenaan yang membuat laporan polis kononnya beliau tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Khalid berkata penubuhan NGO secara mendadak di sekitar Lembah Kelang dan kecaman terhadap Pakatan Rakyat di Selangor bukan berlaku secara kebetulan.

"Saya dapat pada hujung tahun 2009, ini merupakan suara-suara Umno dalam semuja isu, tiba-tiba timbul kutuk Ahli Parlimen Shah Alam, tiba-tiba timbul NGO minta JAIS ambil tindakan pada Ahli Parlimen Shah Alam, ini puak-puak Umno tidak perlu berpura-pura,"katanya.

Khalid berkata penubuhan NGO berkenaan dan penggunaan media seperti utusan Malaysia mempunyai tujuan khusus, iaitu menawan balik Selangor dengan apa cara sekali pun.

"Berita-berita ini, tujuan Umno jelas, Shah Alam ibu negeri, dia (Umno) hendak dapatkan balik Shah Alam dengan guna semua benda. Laporan sebegini adalah taktik murahan kerana orang di Batu 3 dan Seksyen 8 tahu ianya tidak betul,”katanya.

Khalid merujuk kepada laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang bersandarkan kepada komen pekerja asing mengenai prestasi kerajaan negeri sebagai contoh kewartawanan cetek dan tanpa kredibiliti.

"Kalau tuan-tuan tengok orang yang ditanya ni Agus Zaini, Tini Mustori, Sugiono Jamak. Saya difahamkan penduduk Seksyen 8, ketiga-tiga ini adalah warga Indonesia bila ditanya siapa Khalid Samad mereka tidak kenal, ini satu benda yang pelik.

"Yang diambil pekerja kedai, pekerja asing orang indonesia, ditanya jadi nampak niat jahat walapun tidak lah semuanya tertumpu pada saya tetapi ada disebut dalam perenggan pertama nama saya dan sebagainya. Nampak terdesak bila cuba menggunakan media,"katanya. TVS

Zahrain Terima Petisyen Rakyat Desak Letak Jawatan

Keadilan Cabang Bayan Baru hari ini mendesak agar Ahli Parlimen Datuk Seri Zahrain Hashim meletakkan jawatan kerana didakwa mencabuli amanat serta mengkhianati janji kepada rakyat.

Sehubungan itu ahli jawatankuasa serta ahli cabang itu menyerahkan memorandum yang mengandungi sebanyak 2,108 tandatangan kepada Zahrain di Dewan Tabung Haji bagi mengesa beliau mengosong kerusi Parlimen tersebut supaya satu pilihan raya kecil dapat diadakan.

Lawatan Zahrain ke kawasan Parlimen beliau hari ini dipercayai kali pertama dalam tempoh tiga bulan.

Desakan ini dibuat berikutan tindakan Zahrain bertindak keluar daripada KEADILAN dan menjadi anggota Parlimen Bebas 12 Februari lalu.

Menurut ahli jawatankuasa KEADILAN Cabang Bayan Baru, Ahmad Azrizal Tahir, Pakatan Rakyat tidak memerlukan Zahrain untuk memimpin rakyat Bayan Baru justeru tindakan beliau itu yang dianggap telah mengkhianati kepercayaan rakyat yang mengundi beliau pada pilihan raya umum 2008.

"Kami mahu Zahrain meletak jawatan sebelum sidang Dewan Rakyat berlansung 15 Mac ini.

"Rakyat mempertikaikan jawatan Ahli Parlimen yang disandang beliau ekoran kritikan keterlaluan beliau kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng," kata Ahmad Azrizal.

Pegawai JKK Permatang Damar Laut Sharonni Hasan pula berkata Pakatan Rakyat akan terus mendesak Zahrain meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana rakyat sudah bosan dengan kerenah beliau.

Ahli jawatankuasa Angkatan Muda KEADILAN Bayan Baru Afiq Ilfiq turut bersetuju dengan desakan tersebut sambil menyatakan ia adalah bertujuan membersih serta melancarkan pentadbiran politik dalam Pakatan Rakyat.

"Rakyat mahukan politik baru untuk membentuk pemimpin yang adil ke arah mencapai negara yang demokratik, progresif dan bersatupadu," kata Afiq.

Seorang pengundi Bayan Baru Sha’ari Md Salled berkata sebagai pengundi beliau amat kesal dan kecewa dengan tindakan Zahrain keluar parti memandangkan beliau telah diberikan tanggungjawab menjaga amanat rakyat pada PRU lalu.

"Tindakan Zahrain itu ternyata mengkhianati harapan rakyat di Bayan Baru yang memilihnya untuk perubahan dua tahun lalu. Ini juga membuktikan beliau tidak mempedulikan hak dan kebajikan rakyat.

Dalam reaksi beliau kepada media Zahrain berkata beliau tidak akan meletak jawatan kerana keputusan samada beliau berbuat demikian adalah haknya.

"Pendirian saya jelas dalam perkara ini, saya mahu meneruskan perkhidmatan saya kepada rakyat Bayan Baru sebagai wakil rakyat Bebas," kata Zahrain

Datuk NH Chan Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

Hakim yang bersara, Datuk NH Chan semalam menafikan beliau mencabar sistem kehakiman tetapi beliau sedikit pun tidak patah semangat dengan berdiam diri tentang penghakiman yang memutarbelit undang-undang.

"Saya bukan mencabar mereka tetapi saya akan terus mengkritik apabila mereka membuat penghakiman yang salah," beliau memberitahu The Malaysian Insider.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan ini menjawab sebuah karangan oleh aktivis sosial, Martin Jalleh di bawah tajuk "Dakwa NH Chan kerana menghina mahkamah atau letak jawatan, CJ?

Jalleh mempertikai sikap Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang berdiam diri dalam menghadapi kritikan Chan yang semakin menyengat ke atas kehakiman dan mencabar beliau mengambil tindakan undang-undang untuk memelihara reputasi kehakiman.

Dalam artikel bertarikh 10 Mac itu, Jalleh menulis: Komen NH Chan terhadap anggota-anggota kehakiman tidak dapat disangsikan lagi, bersifat begitu panas, berani dan berterus terang.

Beliau menuduh para hakim sebagai buta, berat sebelah dan menjadi sekumpulan manusia yang bodoh dan dungu. Beliau telah mencabar kita.

"Jika ketua hakim tidak bersetuju dengan kritikan NH Chan, beliau harus mendakwa bekas hakim Mahkamah Rayuan itu ke mahkamah dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh didakwa kerana menghina mahkamah!

"Adakah Zaki berani menyahut cabaran itu atau beliau lebih gemar membiarkan sarkas kehakiman terus berputar-putar?" soal Jalleh.

Bagaimanapun Chan, 74, tidak bersetuju dengan pandangan penulis itu tentang dakwaannya bahawa beliau "sedang mencabar" kehakiman.

"Martin Jalleh telah membuat cabaran itu. Saya secara peribadi tidak akan sekali-kali mencabar. Saya bukanlah orangnya yang akan membuat kerja bodoh," kata bekas hakim itu.

"Jika anda meletak tangan dalam mulut singa, anda mungkin berfikir anda berani, tetapi singa itu mungkin akan menutup mulutnya.

Apa akan terjadi? Anda mungkin kehilangan tangan anda," beliau menambah.

Pengarang dua buah buku, "Judging the Judges" dan "How to Judge the Judges" berkata, beliau tidak pernah takut untuk memberi pandangannya dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan diambil oleh pihak kehakiman terhadapnya.

Ditanya jika ketua hakim akan mendakwa beliau menghina mahkamah, Chan menjawab, "Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka, kerana mereka telah melakukannya sebelum ini."

Namun Chan berikrar akan terus bercakap tentang isu-isu yang beliau rasakan berlaku penyelewengan dalam undang-undang.

Beliau akan terus membongkar perihal Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang membuat penghakiman yang tidak konsisten dalam tempuh dua tahun lalu, terutamanya dalam kontroversi negeri Perak yang melibatkan penyingkiran menteri besar.

- Tulisan Debra Chong Terjemahan oleh Zainal Abidin Nor

(Terkini) SMS Hj. Tempirai untuk Ustaz Ahmad Awang !

Beberapa hari yang lalu, wak dihubungi sahabat berkaitan program solat hajat di Balai Tassawur, Gunong Semanggol sabtu ini. Solat Hajat Mega ! Rupanya ia berkaitan dengan 'amaran' keras mantan PJ PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.
Sebenarnya telah hampir seminggu solat hajat dan bacaan yaasin dilakukan oleh pengundi di Bagan Serai, dan malam ini diteruskan lagi selepas Maghrib di Masjid Tinggi. Gertak Ustaz Ahmad Awang rupanya sedikit melunakkan Hj. Tempirai untuk menghubungi beliau. Biarpun secara sms-san sahaja. Nak bercakap terus mungkin agak malu-malu 'ayam'. Banyak pulak malunya Hj. Tempirai kali ini.

SMS terbaru dari Hj. Tempirai. Nak tahu, klik dan zoomkan sebesar alam. Baca..! "..InsyaAllah saya akan hubungi ustaz bila tiba masanya nanti. Perjuangan tetap diteruskan untuk rakyat Bagan Serai. Ikhlas dari Hj. Mohsin Fadzli Samsuri.."itulah ayat terakhir yang dihantar melalui sms.

Wow ! Makin lunak nampaknya. Apakah Ustaz Ahmad Awang jadi 'lunak' dan membatalkan program 'solat hajat' primanya sabtu ini? Kulaan Bagan Serai akan menanti jawabnya. Andai dibatalkan, maka Ustaz Ahmad Awang memang mudah di'lunak-lunak'kan.

Apa macam ustaz, sahabat enta sudah sms sama enta, ada 'goyang' kah ? Kalau goyang, biar kami kulaan tolong 'pegang'. Kalau terus juga 'goyang', dengan ustaz nanti kena 'penerajang'. Tolong jangan bikin 'drama' ustaz, kulaan masih marah ni. Penyokong PAS, Keadilan yang kerja keras sampai lencun peluh telah dikhianati. " Dia jadi kaya, pengundi terus merana.."

Datuk Halik Jawab Tohmahan Penulis Upahan UMNO Terhadap PKR

Menjawab Tohmahan Penulis Upahan Umno Terhadap PKR

Oleh Datuk Halik Zaman

Terpanggil saya untuk menjeling tulisan penulis upahan ringgit, Ruslan Kassim yang disiarkan di Utusan Malaysia aka agent utama Umno-BN.

Begitu yakin beliau menyenaraikan satu persatu sinopsis dalam perjalanan politik Pakatan Rakyat.

Jadi ini tidak adil, ini serupa berat sebelah kalau tidak di jawab.

Maka untuk menyamatarafkan situasi, saya juga ingin merencanakan sinopsis perjalanan politik Umno-BN yang menjadi pujaan hati Ruslan Kassim itu.

Kupasan pertama, saya ingin menyentuh isu derhaka.

Jika diimbau kembali, siapa yang mula-mula menderhaka kepada Sultan?

Siapa? Ingatkah suatu ketika dahulu, Annuar Musa pernah menabalkan sendiri Sultan Kelantan pilihannya di Ketereh dahulu? Sehinggakan keadaan agak huru-hara di Kelantan. Adakah ianya tidak di kira menderhaka?

Siapa yang memansuhkan kuasa Raja-Raja Melayu? Bukankah Dr Mahathir? Siapa yang dengan lantang dan gagah perkasa (atau sengaja mahu tunjuk kuasa) membidas Sultan Kelantan dalam isu Lamborghini sedikit masa dahulu? Saya percaya jawapannya ada dalam genggaman Shahidan, Muhammad Mohd Taib dan Idris Jusoh.

Mereka arif dengan jawapannya. Apakah ini tidak di kategorikan sebagai penderhaka Raja atau Sultan?

Tapi tidak ternampak warna derhaka kerana mereka semua ini berlindung di bawah kekebalan kuasa veto Umno. Kerana itulah apa yang mereka lakukan terhadap Raja dan Sultan semuanya halal dimata masyarakat pada ketika itu.

Bila kes Nizar Jamaluddin, balaci-balaci Umno terus bangun dan kononnya merekalah penyelamat Sultan. Mereka lupa apa yang pemimpin Umno pernah lakukan terhadap Raja dan Sultan dahulu? Salah satu sikap hipokrit Umno!

Sudahkah anda lupa kemelut Umno Terengganu? Pemboikotan beramai-ramai ADUN Terengganu. Kenapa dan mengapa ianya berlaku? Sebab ketidaksefahaman antara MB dan ADUN-ADUNnya. Siap hantar SMS ugut mengugut lagi. Ini apa?

Umno ingin jadi Juara Rakyat? Mengambil contoh di Johor, adakah Umno lupa ada tanah yang telah tergadai kepada warganegara Singapura dan Hong Kong? Siapa punya angkara? Pakatan Rakyat? Tepuk dada tanya selera.

Kalau mahu bicara mengenai percakaran sesama sendiri dalam BN pun banyak untuk di senaraikan. Masih ingatkah kes perang-mulut Samy Vellu dan M. Kayveas sehinggakan bertukar-tukar kenyataan dimedia elektronik dan cetak? Itu apa? Bukankah pergeseran sesama parti komponen?

Kes Samy Vellu dan bekas timbalannya, S. Subramaniam. Sehingga timbulnya injunksi mahkamah. Krisis ini berlarutan sehingga Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini di mana ada proses pemilihan baru pucuk pimpinan parti untuk penggal yang baru. Berlaku juga insiden sindir-menyindir, sehinggakan Samy Vellu juga selaku Presiden turut ikut berkempen untuk G. Palanivel.

Bukankah ini sudah melanggar hak kebebasan perwakilan dalam memilih calon-calon yang mereka kehendaki. Ini kita panggil apa? Di manakah demokrasi?

Kes M.Kayveas dan T. Murugiah – insiden satu parti dua Presiden. Mengapa ianya berlaku? Ianya adalah kerana tiada kesepakatan dalam parti maka terjadinya dua puak. Puak Kayveas dan puak Murugiah. Bukankah ini juga di panggil konflik dalaman parti juga BN?

Kes Ahmad Said vs Idris Jusoh. Mengikut beberapa kenyataan rasmi dari Ahmad Said yang membidas beberapa projek yang dibangunkan di Terengganu semasa Idris Jusoh menjadi Menteri Besar yang mana menurut Ahmad Said amat merugikan rakyat.

Bukan setakat itu sahaja banyak lagi hasil tangan Idris Jusoh dipertikaikan oleh Ahmad Said. Ini cerita apa? Bukan kes senggol-senggolan sesama sendiri?

Kes pergolakan dalaman MCA sehinggakan berlakunya pemecatan dan perletakan jawatan beramai-ramai. Bukankah ini juga sebahagian daripada apa yang di gelarkan sebagai kemelut politik?

Ahli-ahli MCA telah hilang kepercayaan di atas kepimpinan Ong Tee Kiat. Berlaku beberapa kronologi kemelut yang amat bergelora dalam MCA. Ini bagaimana?

Begitu juga semasa Pak Lah masih menjadi PM. Rakyat sedar akan wujudnya komplot yang mahukan Pak Lah berundur sebelum tiba waktunya. Kumpulan ini mendapat restu dari bekas PM, Dr Mahathir sehinggakan beliau sendiri menunjukkan belang dengan tindakannya keluar dari Umno kerana tidak setuju dengan pentadbiran Pak Lah.

Malah ada lagi pemimpin yang berani membuat kenyataan supaya Pak Lah berundur dengan segera dan yang lebih menarik lagi, kenyataan itu di buat di negeri orang, di Singapura! Bagus betul tu, melanyak ketua sendiri di negeri orang. Itu pun masih ok ka?

Lihatlah mereka sesama Umno lagi hebat bila hentam-menghentam sesama sendiri. Tidak cukup di dalam negara mereka buat di luar negara. Hebat bukan pemimpin-pemimpin Umno? Cukup hebat.

Begitu juga dengan pembantahan PPSMI. Hampir rata-rata cendikiawan Melayu dan pencinta bahasa membantah PPSMI. Malah Datuk A. Samad Said juga turut bangkit menentang. Adakah Umno peduli semua ini? Jawapannya Umno tak kisah dan tidak ingin kisah kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada para pemimpin Umno dan kroni.

Justeru demi untuk menutup segala kepincangan dalaman Umno dan BN maka mereka bertungkus-lumus menjalankan agenda mereka bagi membasmi PKR dan Pakatan Rakyat. Mereka sedaya-upaya membeli wakil-wakil rakyat yang tipis imannya untuk melunaskan impian mereka melihat PKR pecah kerana menurut andaian mereka PKR dan Pakatan Rakyat ibarat retak menanti belah.

Dalam sibuk-sibuk dengan misi menjatuhkan PKR, rakyat telah di sajikan dengan kehilangan enjin jet tentera dan ketidakupayaan kapal selam negara untuk menyelam. Kenapa? Terkena badi PKR dan Pakatan Rakyat agaknya.

Sesungguhnya mereka terlupa, semakin PKR dan Pakatan Rakyat di aniaya semakin kental kepercayaan rakyat PKR dan Pakatan Rakyat perolehi. InsyaAllah. -SK

2 Tahun Memerentah: Kedah Semakin Pulun

Oleh Azizi Hj Abdullah

YAB Datuk Seri Us.Azizan Abdul Razak (selepas ini akan disebut Azizan-maafkan saya YAB) sudah menjadi Menteri Besar Kedah sudah 2 tahun ( 8 Mac 2008) beberapa hari. Selama dua tahun Pas menerajui Kedah, Azizan tetap mendapat jelling cemburu dari Umno/BN tetapi tidak sehebat yang dialami oleh PR Selangor, Pulau Pinang setelah Perak BN berjaya tumbangkan melalui kuasa yang dianggap oleh rakyat sebagai institusi ‘maha adil’.

Dalam keadaan pulun memulun ini, apakah kerana Azizan selaku Menteri Besarnya bijak menepis dan bersilat kuntau politik melalui kerajaan berhemah beliau?

Dengan 10 barisan exconya, beliau diapit oleh beberapa tenaga muda yang cukup bersedia melangkah membuka silat jika ada serangan dari pihak mana pun. Namun perisai utama yang disandang dan tenaga yang direngkuhnya tentulah ‘Akhlak Islam’.

Sama dengan pemerintahan Umno/BN selama puluhan tahun yang lalu, walaupun baru 2 tahun, Azizan berkewajipan memelihara dan mengjaga 1.9 juta rakyat Kedah berbagai kaum. Sama dengan Umno/ BN, Azizan pasti mengambil kira 75.4% Melayu, 14.4% Cina, 7.0% India dan 1.4% Siam. Bagaimanapun yang membezakan Azizan dengan Menteri-Menteri Besar sebelumnya ialah ‘Akhlak Islam.’ Walaupun mungkin ramai yang tidak setuju dengan gelaran ini, tetapi bagi penulis inilah sahaja gelaran yang sesuai buat sementara berdasarkan 2 tahun beliau memimpin Kedah sebagai Menteri Besar.

Selama dua tahun, perkara kebaikan yang dilakukan oleh Umno/BN dulu tetap dilakukannya. Lampu di jalan raya tetap menyala. Azan di Masjid Zahir tetap berkumandang. Pekan Rabu atau Che Det Mall tidak pernah ditutup. Tetapi ada pula Azizan tidak lakukan apa yang Umno/BN lakukan. Mungkin dulu rasuah perkara biasa tetapi Azizan telah memulakan dengan tender terbukanya. Dan Azizan tetap melakukan apabila Umno/BN tidak melakukan seperti meneruskan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebanyak 21 buah, aitu Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam dan Ma`had sebanyak RM595,000.00.

2 tahun Kedah Pas memerintah, dengan teraju utama Azizan yang dulu dan kini tetap berketayap (sesekali bersongkok) telah dianggap oleh Exco Kanannya, Ir. Fakhrurazi Hj Zawawi sebagai pusat pemerhati ke 2 selepas Kelantan.

Kerana itu juga Wan Nik Wan Jusoh Setia Usaha Jabatan Pilihanraya Pusat mengingatkan kepada seluruh jentera Pas Kedah pada 7 Mac 2010 yang lalu di Komplek Pas Kedah bahawa jentera Pas Kedah mesti waspada kerana sehingga kini tidak kurang 10 wakil Pas yang ditawarkan berjuta-juta ringgit supaya meninggalkan Pas. Maka kerana itu, Wan Nik selaku Setia Usaha Jabatan Pilihanraya berharap jentera peringkat bawah sangat mustahak memain peranan.

Azizan, jika mahu disusun ayat untuk mengenali wataknya sebagai Menteri Besar Pas selama dua tahun di Negeri Kedah ini, mungkin boleh disebut sebagai; Kelolo bertradisi, pemarah tapi pemaaf - cenge tapi tak lama -kasar dalam lembut -tegas tetapi berpasal- pemaaf tapi strik - kelakar tapi serius. Dalam mana-mana ucapan pun beliau tetap membawa tamsil misalan tradisi lucu tetapi sangat bermakna. Sebagai contoh, ucapan terkini pada 7 Mac 2010 ketika memberi ucapan penutup Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya ke 13 di Komplek Pas Kedah, beliau menyamakan mereka yang tidak senang dengan kepimpinannya seperti ‘ikan haruan kelupur dalam raga batang’. “Sampai habis sisik!” katanya.

2 tahun sebagai Menteri Besar yang meneraju ‘Kedah Sejahtera’ menggantikan slogan ‘Kedah Gemilang/ kedah Maju’ , Umno/BN yang Menteri Besarnya Mahadir Khalid, watak dan kepimpinannya telah digambarkan oleh Pengerusi Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dato’ Hj Abdul Halim Abd. Rahman sebagai:


Pas Kedah boleh berbangga kerana mendapat Pesuruhjaya yang berkualiti.
Kajian Merdeka Center sendiri meletak Azizan seorang yang bersih, bijak berkomunikasi dengan penuh persiapan. Berhadapan dengan media secara berhimah dan berhati-hati.
Bijak mematah hujah dan soalan provokasi dari wartawan.
Ekonomi Kedah meningkat.
Mampu membayar hutang Kerajaan Pusat, sehingga Audit Negara sendiri memuji tentang perbelanjaan pemerintahan Kedah.
Mempunyai hubungan mesra dan baik dengan exco-exconya.
Mampu meningkat pendapatan RM500 juta setahun menjelang 1015 kepada RM1 bilion.
Kalangan pemimpin luar memuji kewibawaan beliau.
Memberi keyakinan Pas Kedah akan terus menang.
Tidak seperti Menteri Besar lain, beliau mampu berbaik-baik dengan pemimpin lain. Dengan Mahathir baik, dengan pusat baik. Kerana itu projek-projek yang melibatkan bersama pusat berjalan lancar.
Bijak memelihara hubungan dengan istana.
Tidak berkonfrantasi dengan NGO-NGO.

Azizan yang menerajui Kedah sepanjang 2 tahun berkali-kali menekankan bahawa kemenangan Pas Kedah dan terus memerintah, ia bukanlah satu ‘ghanimah’ kepada ahli Pas. Ghanimah menurut beliau ialah harta rampasan dari musuh setelah menang dalam peperangan. Tetapi Pas Kedah memenangi pilihanraya dan hasil bumi Kedah adalah hak rakyat yang mesti diuruskan dengan amanah. Maka kerana itu selama dua tahun Azizan menerajui Kedah tender terbuka yang menjadi dasar pentadbirannya.

Barangkali rakyat boleh berbangga selama dua tahun Pas menerajui Kedah apabila setahun saja hasil balak yang pernah Azizan ‘gempaq’ Kerajaan Pusat berjaya memungut hasil RM28.14 juta sedangkan tahun sebelum Pas memerintah hasilnya hanya RM9.21 juta. Azizan pernah memberitahu jika sebelumnya primium balak sebanyak RM1 juta tetapi apabila Pas memerintah melalui tender terbuka, tahun ini sahaja telah mencapai RM38 juta.

Cukai Tanah memberi kelegaan kepada rakyat bilamana berjaya memungut RM30.79 juta. Royalti pengeluaran bahan batuan mencapai RM14.65 juta sedangkan sebelumnya ketika Umno/BN hanya RM15.32 juta dan RM13.57 juta.

Pembentukan dan pengisian rakyat Negeri Kedah bolehlah diumpamakan sebagai sebuah enjin. Enjin utama kesejahteraan ini ialah mencelikkan minda. Ia satu peroses berterusan bagi memahami Al-Qur`an. Azizan sebagai Menteri Besar yang meletakan Al-Qur`an dalam segala urusannya telah menyumbang kepada tenaga ini seramai 3,000 orang.

Pendidikan sangat penting. Selain dari meningkat Kolej Insaniah kepada Kolej Universiti, akan berdiri pula sebuah universiti lagi di Baling (KUIN) dengan menawarkan 41 program peringkat sijil,diploma,ijazah, sarjana dan PhD. Sebanyak 25 juta untuk kos operasi Maktab Mahmud. Sebanyak 2 juta untuk merealisasi hasrat melahirkan graduan dan RM4.2 juta bagi menyediakan bahan untuk perpustakaan.

Dari suka berkelolo sehingga kepada serius, dari tegas tetapi berpasal, dalam senyap Azizan telah mendapat persetujuan memotong 5% gaji exconya dan semua itu disalurkan pula kepada Tabung Tunku Mahmud. Dalam keadaan ‘cenge’nya, beliau tetap memiliki sifat lembut, lalu 30% projek pembangunan diberi tumpuan kepada projek yang mendesak.

Dengan dasar ‘Keadilan Untuk Semua’ beliau bertindak dalam tadbir urusnya bagi memperkukuh dan mengharmonikan rakyat. Dari kalangan orang-orang Siam, kerajaan Kedah sangat prihatin. Dilantiknya Exco Khas untuk menjaga kepentingan orang-orang Cina, India dan Siam. Mungkin itu model Kelantan tetapi apa salahnya jika itu kebaikan. Manakala soal prasarana pendidikan adalah tugas pusat tetapi Azizan telah meluluskan sebidang tanah kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Sungai Tok Pawang.

Di Selangor timbul isu kepala babi, lembu korban. Di Kedah selama dua tahun Pas menerajui, isu babi juga berlaku. Ia bukan kepala tetapi kandang. Kerajaan Kedah telah dapat mereda dan dapat diterima oleh kaum berkenaan. Cuma yang dihebuhkan ialah golongan apa yang dimisal tamsilkan oleh Azizan ‘ macam ikan haruan kelupur dalam raga kurung batang.’

Dengan berpandangan jauh demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat, Azizan dengan kesepakatan exco-exconya telah berusaha membangun Sungai Limau (kawasan pilihanraya beliau) Hidro Karbon Hub dengan nilai RM83 bilion lebih. Dengan populasi rakyat 1.9 juta, Azizan sangat nampak bahawa RM400 juta hasilnya akan memberi manfaat kepada rakyat apabila dilaksanakan nanti. Kulim Hi Tech Park diterajui oleh mereka yang arif dalam teknologi. Sektor pertanian juga tidak diabaikan. Pada 8 Mac 2010 kolam ternakan ikan keli telah dirasmi di dareah Baling. Bayangkan seorang yang dianggap lebai dan berkopiah lebai, telah melihat ikan keli dan sepat akan menjadi hasil ke peringkat antara bangsa. Kedah selama dua tahun diperintah Pas, siapa sangka ternakan ikan keli hanya dilakukan melalui proses kolam buatan, bukan kolam berselut lumpur. Bayangkan ikan keli akan dijadikan eksport sardin.

Kedah bukan saja membangun dari segi fizikal, prasarana. Azizan melihat ruh agama yang disuaipadankan dengan slogan ‘Kedah Sejahtera’ perlu dilaksanakan. Pentadbiran menurut Al-Quran disifatkan sebagai ‘Qaulan thaaqila,’ ialah nilai-nilai hakikat kehidupan yang mempunyai hala tuju. Maka disungguhkan praktikal ini dengan mewujudkan Qariah, Al Fahmi, At Tadabbur dan Al Amal wal uns (beriman dan merindui pelaksanaan Qur`an)

Itulah idaman Azizan dan pemerintahan Pas di Kedah. Bertolak dari pembinaan nilai di atas, berpaksikan kepada kefahaman yang jelas, Insyaallah Kedah yang telah mengharungi berbagai karenah akan terus di tahun-tahun mendatang. Kedah akan pulun ke arah kesejahteraan.

GST Menambah Bebanan Rakyat

Goods Service Tax (GST) adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dibeli setiap pengguna. Rang undang-undang GST telah dibentang dalam persidangan Parlimen pada 16 Disember tahun lalu. GST ini akan mengakibatkan 80 peratus rakyat negara ini mengalami penurunan dan kualiti hidup, ia juga akan mengakibatkan jurang antara kaya dan miskin semakin lebar. Persoalannya mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan GST ini sedangkan kesan pelaksanaan cukai itu akan terus membebankan rakyat ditambah pula iklim ekonomi negara yang tidak menentu. Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga salah seorang anggota pasukan petugas pemantau GST (Anti-GST Task Force), Azan Ismail ada hujah-hujahnya. Ikuti temubual beliau bersama wartawan Salmiyah Harun ketika dihubungi pada Rabu 3 Mac baru-baru ini.

Apakah kewajaran kerajaan melaksanakan GST dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini?

Saya bukan menolak kebaikan GST ini. Banyak negara sudah laksanakan cukai ini, yang mana akhirnya semua negara akan menuju kepada sistem yang sama. Jika banyak negara mengamalkan satu sistem pendapatan sebuah negara, kita tidak boleh mengasingkan diri mengamalkan satu sistem "obsolete' yang tidak sesuai bagi negara lain. Sebab itu kita mahu tidak mahu terpaksa mengikut. Kita setakat negara yang berskala ekonomi kecil yang 'open economy' terpaksa menyesuaikan diri kepada sistem yang ada dalam dunia untuk membolehkan kita dilihat sebagai sesuai kepada negara lain. Kita perlu ada rakan dagang.
Jadi daripada situ kita perlu buat persediaan. Persoalannya perlukah kita laksanakan GST sekarang ini? Inilah yang perlu kita teliti. Pengalaman negara-negara luar untuk melaksanakan GST ini memerlukan persiapan rapi. Struktur ekonomi dalaman kita perlukan satu kaedah penyesuaian supaya, apabila satu perkara baru dilaksanakan perlu sesuai dengan kemudahan yang ada dalam negara kita.

Pada pandangan YB sebab apa kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan GST. Apakah GST ini boleh membantu secara keseluruhan ekonomi negara ini?

Formular GST itu 'yes'. Tetapi masanya tidak! Kita sebenarnya ciplak formula ini. Asasnya bukan kita yang perkenalkan. Kita ciplak negara lain, justeru kita pun kena ikutlah apa persediaan-persediaan negara lain yang mempunyai pengalaman lepas mengenai perkara ini. Kita tidak mahu ikut. Macam kata di New Zealand, Australia, United Kingdom yang membuat persiapan yang rapi. GST ini melibatkan kutipan cukai bukan amalan meniaga saja. Kesan ia besar kepada keseluruhan ruang lingkup perniagaan. Dalam sesebuah negara itu semua akan kena, jadi perlukan persiapan yang rapi. Di mana persiapan yang kita buat. Adakah kita hendak buat proses penyesuaian perbankan negara kita pun tak terlaksana, dulu kita buat pun 'Islamik banking' berapa lama kita suaikan dengan sistemnya, kefahaman orang, banyak perkara yang harus diselesaikan dahulu sebelum kita laksanakan. Kita tidak mahu sistem yang baik akan menuju kegagalan sebagaimana kegagalan kita melaksanakan penswastaan, dasar persyarikatan Malaysia, dasar pandangan ke timur. Ini semua memberi kesan yang besar. Kenapa kita tidak belajar daripada pengalaman ini semua.
Sekarang pula kita hendak mengamalkan sistem yang jelas bukannya satu konsep seperti dasar pandang ke timur. GST ini satu formula yang mesti ikut dengan tepat. Peratus yang kena bayar berapa? Kaedah cukai berapa? Ini adalah satu formula yang jelas, tidak boleh ikut secara rambang atau ikut rasa kesesuaian. Ini tidak boleh! GST tidak ada pilihan seperti itu.

Apakah kerajaan boleh mencapai target untuk menambahkan pendapatan negara melalui GST?

Kerajaan mendakwa kalau kerajaan tidak laksanakan GST akan memberi kesan kepada ekonomi, kerana melalui GST kerajaan bercadang untuk memungut pendapatan tambahan kerajaan sebanyak RM1 billion. Kita hendak laksanakan ini sahaja? Hendak baiki sistem komputer, perbankan, dan segala kemudahan ke arah itu sudah memakan belanja RM5 billion. Jadi adakah betul untuk kita hendak kumpul RM1 billion dalam keadaan ekonomi kita yang tidak baik ini. Kita hendak tambah pendapatan kerajaan RM1 billion kita berbelanja RM5 billion. Tidak munasabah langsung.

Kerajaan menegaskan dengan adanya GST ia memberi keadilan kepada semua pihak, undang-undang itu adil semua pihak dikenakan cukai. Apa pendapat YB?

Kita tahu GST semua orang akan kena iaitu dari segi kesan percukaian. Inilah matlamat GST itu. Cuma kita hendak pertikaikan kerajaan tidak membuat persiapan yang rapi. Adakah betul GST ini memberi keadilan. Inilah persoalannya. Kita hendak cukai semua orang, adakah pengagihan untuk kenakan cukai kepada semua orang itu betul? Kita kena tahu GST ini akan cukaikan barang, perkhidmatan ia di panggil cukai berganda atau berlapis-lapis. Kalau dulu peringkat pertama dikenakan cukai peringkat kedua tidak ada cukai, sekarang tidak kira, ia akan berlapis-lapis. Setiap lapisan sama ada perniagaan atau perkhidmatan akan ada GST.
Orang yang berpendapatan rendah tidak perlu dicukai, kita hanya mengenakan cukai terhadap orang yang telah mencapai tahap memang kena cukai. Ini sistem yang ada sekarang. Kini kerajaan kata tidak kira siapa, semua kena cukai. Memang keadilan kepada orang yang selama ini membayar cukai, sebab merasakan tidak adil sebab mereka pun rakyat Malaysia juga. Mereka ini bayar cukai sebab pendapatan mereka banyak. Kini tidak kira sama ada pendapatan banyak atau sikit semua kena cukai. Ini tidak adil daripada kita letakkan rakyat pada satu 'level' yang sama. Kerajaan kena akur dalam masyarakat kita ada perbezaan atau katagori ekonominya. Ada orang susah, ada orang merempat, ada orang miskin, dan ada yang fakir. Islam sendiri pun mengkatagorikan manusia di atas muka bumi ini, ada mualaf, fisabilillah. Islam mempunyai kaedahnya bagaimana hendak mengagihkan dana kepada umatnya.
Kalau kerajaan hendak kutip hasil daripada semua untuk negara supaya adil bagi semua, ini adalah polisi yang silap. Sebenarnya GST ini, menjadi mangsanya adalah orang ramai atau pengguna, bahkan satu pihak yang lain pula berfungsi sebagai pengutip cukai bagi pihak kerajaan . Misalnya kita beli sebatang pen harga dahulu RM1 tapi sekarang kita bayar RM1.10. Sepuluh sen itu sebabnya ada GST dan tuan kedai akan kutip sepuluh sen itu dan menjadi tanggungjawabnya mengutip bagi pihak kerajaan sehingga tiga empat bulan akan serahkan kepada kerajaan. Berapa GST yang dikutip atas kenaikan beberapa peratus harga barang itu? Di sebalik ini, pengilang dan pengeksport akan menerima rebet daripada kerajaan, tetapi rebet tidak diberi kepada pengguna atau orang yang membeli atau menggunakan perkhidmatan, rebet akan diberi kepada kumpulan-kumpulan pengimport atau pengeksport dan pengilang. Jadi, mereka ini secara tidak langsung mendapat pendapatan yang lebih. Ini bermakna kerajaan melaksanakan GST tanpa melihat membebankan rakyat tetapi memberi satu kemudahan kepada pengilang, pengimport dan seangkatan dengannya untuk dapatkan rebet. Orang ramai tidak dapat apa-apa terpaksa bayar sahaja.
Benda ini akan mendedahkan kita kepada satu elemen spekulasi atau mengambil kesempatan dan keuntungan lebih di kalangan masyarakat oleh penjual, pengilang ataupun pengedar.

Mengapa para penjual, pengilang ataupun pengedar akan mengambil kesempatan ke atas pelaksanaan cukai tersebut, bagaimana ia berlaku?

Sebab proses untuk melaksanakan semakan kita belum ada, kita cuma laksana sahaja. Sekarang berapa ramai orang yang tidak bayar cukai. Siapa yang boleh semak untuk memastikan GST berjalan dengan betul dengan semakan. Sekarang ini, apabila harga gula naik pun semua makanan naik baik roti canai, semua alasan makanan naik sebab gula naik. Sekarang ini bila perkenal GST, tengok sebulan pertama huru-hara kita dibuatnya bila beli barang. Orang akan pertikai kenapa harga barang naik, sebabnya GST. Kenapa gunting rambut pun naik? GST! Semua peniaga akan menggunakan alasan GST. GST akan menyebabkan huru-hara sebab akan berlaku pertengkaran, market domestik kita akan menjadi huru-hara. Proses itu akan memakan masa yang lama. Sebab itu saya tegaskan risiko, akan jadikan pasaran dalaman kita huru-hara lebih tinggi berbanding usaha kerajaan mahu meningkatkan pendapatan negara. Masalahnya, kerajaan tahu risiko ini tetapi kerajaan hendak laksanakan juga. Saya jangkakan kerajaan mungkin sudah tahu permulaan pelaksanaan GST akan berlaku huru-hara dalam pasaran, mungkin ada sebab yang lebih besar. Dan saya tanya kenapa kerajaan sanggup ambil risiko itu? Mesti kerajaan ada satu benda. Pada saya itu bukan sebab ekonomi bukan sebab itu meraih keuntungan kerajaan, ada motif lain iaitu motif politik.

Kerajaan mengatakan mereka hanya mengenakan cukai empat peratus sahaja, bagaimana YB melihat kesan cukai itu kepada masyarakat khususnya mereka berpendapatan rendah?

4% adalah cukai permulaan iaitu asas. Maknanya cukai paling kecil adalah 4%, tetapi kita tengok negara-negara lain yang mengamalnya ia berlaku pengumpulan peratus, iaitu empat peratus naik kepada tujuh peratus. Ada negara kenakan GST sampai 17 peratus pun ada. Jadi kita jangan bercakap besar dan omang-omong kosong sebab formula GST ini bukan kita yang cipta. Cuma mengikut kaedah pelaksanaan negara yang pernah buat GST, jadi kita jangan yakin kononya kita hendak kekal kepada 4 peratus sahaja sedangkan negara yang berpengalaman dalam hal ini, akhirnya GST ini 'accumulate' sampai mencecah 17 peratus.
Jadi kita jangan cakap besar kononya tahu GST setakat empat peratus sahaja.

Cukai GST akan diganti cukai yang sedang dibayar sekarang oleh rakyat iaitu cukai jualan dan perkhidmatan antara 5% hingga 20%. Maka GST bukan satu beban tambahan. Benarkah dakwaan ini?

Memang betul ada sesetengah perkara sudah dibayar, ada unsur seperti GST. Sekarang kita beli kereta kena bayar cukai import dan bermacam-macam cukai lagi, sepatutya kancil atau proton saga kita beli dengan harga RM7000 hingga RM8000, kita pula terpaksa bayar RM25,000 hingga ke RM30,000 disebabkan cukai. Bermacam-macam cukai. Misalnya kita beli sebungkus meggi RM1 yang mana di dalam harga itu sudah ada unsur cukai macam GST. Memang sudah ada. Jadi kerajaan hendak jenamakan semula GST itu pada barang-barang yang sudah dikenakan bermacam-macam cukai. Ada barang yang sebelum ini tidak dikenakan cukai tetapi kena bayar cukai. Sebagai contoh gunting rambut, jika ada GST maka cukai akan dikenakan. GST adalah tambahan daripada cukai-cukai yang lama sebelum ini telah dibayar. Dan ada juga cukai yang boleh digunakan pakai tetapi dikecualikan. Tetapi untuk menjenamakan semula akan menghuru-harakan pembeli. Sepatutnya kerajaan memperluaskan pendidikan tentang GST ini supaya orang faham dan menerima dengan baik hakikat negara ini ada satu cukai baru. Kenapa tidak membuat proses pemberitahuan supaya rakyat faham lebih awal? Ataupun buat percubaan dahulu mungkin dalam masa dua atau tiga tahun. Baru laksanakan secara menyeluruh. Kenapa tergesa-gesa hendak laksanakan cukai ini?

Manifestasi dari ketakutan BN

Oleh Penulis Khas

Genap sudah dua tahun, sambutan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.Dalam tempoh dua tahun ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bekerja keras melaksanakan dan menunaikan amanah serta kepercayaan rakyat yang diperolehi dalam pilihan raya tersebut.

Dua tahun ini bukannya suatu tempoh yang mudah buat Pakatan Rakyat. Laluannya amat sukar dan berliku. Kesukaran ini wujud bukan kerana ketidakmampuan Pakatan Rakyat menguruskan kerajaan negeri atau melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.

Kesukaran wujud kerana ia diciptakan oleh musuh-musuh dari dalam dan luar Pakatan Rakyat.

Musuh dari dalam ialah mereka-mereka yang berkepentingan, menjadi alat musuh dari luar untuk merosakkan nama baik Pakatan Rakyat.

Musuh dari luar Pakatan Rakyat, tidak lain tidak bukan, ialah Barisan Nasional (BN). BN yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan besar pada 2008 dan penolakan rakyat yang berterusan terhadap mereka.

BN amat ketakutan kerana selepas 50 tahun memegang tampuk kuasa secara mutlak, rakyat Malaysia sudah berani menolak mereka.

Umno-BN amat menyedari bahawa, selepas dua tahun ini, mereka terus menerus mengalami kemerosotan dan bercempera di antara komponennya sesama sendiri.

Selepas setahun Tun Abdullah Ahmad Badawi 'dijatuhkan' dari jawatan Perdana Menteri, Umno-BN di bawah Presiden barunya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, persepsi negatif rakyat terhadap mereka, masih belum dapat dipulihkan.

BN menerima tamparan paling hebat apabila dua tahun berturut-turut laporan Ketua Audit Negara memberikan pujian terhadap kesemua kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dipuji kerana mengamalkan pemerintahan yang adil dan telus, menguruskan negeri dengan cekap, sekaligus berjaya menambah hasil negeri. Dengan peningkatan hasil negeri, maka Pakatan Rakyat berjaya membawa kemakmuran di negeri-negeri pimpinannya.

Sebaliknya Ketua Audit negara memberikan kritikan yang keras terhadap negeri-negeri di bawah pimpinan Umno-BN, yang bukan sahaja gagal menambah hasil negeri, malah meningkatkan beban hutang mereka serta kegagalan mengawal penyelewengan dan salahguna kuasa di peringkat akar umbi.

Maknanya, jika dibuat perbandingan kecekapan dan ketelusan mentadbir kerajaan negeri, Pakatan Rakyat jauh mendahului BN.

BN ternyata amat bimbang, lagi lama Pakatan Rakyat memerintah, selama itulah rakyat akan terus meninggalkan mereka dan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Umno-BN amat menyedari, jika kemaraan ini tidak disekat, harapan mereka untuk terus menerajui negara pada PRU ke-13 nanti akan terkubur.

Maka mereka tidak ada jalan lain selain memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Setakat ini BN dengan bantuan media talibarut mereka, gagal menghancurkan Pakatan Rakyat dari luar.

Mereka menukar strategi dengan usaha merosakkan Pakatan Rakyat dari dalam. Mereka menumpukan usaha mengkoyak rabakkan KeADILan kerana mereka tahu KeADILan lebih mudah untuk dirosakkan berbanding PAS dan DAP.

Justeru pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.harus sedar bahawa serangan demi serangan yang dihadapkan kepada mereka, adalah manifestasi dari ketakutan BN terhadap kemaraan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya dalam tempoh dua tahun ini, kehadiran Pakatan Rakyat amat dialu-alukan majoriti rakyat dan ia kini menjadi kerajaan menunggu (government in-waiting) di peringkat Persekutuan

Mazlan akan saman pengurus Felda, polis

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurus Felda Lembah Klau dan juga pihak polis ekoran tindakan mereka menahannya daripada mengadakan dialog bersama peneroka.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, peguamnya, Mohd Harris Abdullah sedang dalam proses memfailkan saman malu terhadap kedua-dua pihak terbabit dan dijangka ianya akan mengambil masa lebih kurang sebulan daripada tarikh beliau ditahan.

"Saya mendapat nasihat daripada peguam saya untuk mengenakan tindakan saman malu terhadap pengurus Felda dan pihak polis kerana telah memalukan dan menjatuhkan maruah saya di hadapan khalayak ramai.

"Peguam saya akan tentukan jumlah saman yang akan dikenakan dan saya berani katakan, jumlahnya melibatkan juta. Saya dilayan seperti seorang penjenayah yang melakukan kesalahan besar sedangkan saya pergi ke Felda Lembah Klau kerana menghadiri jemputan warga Felda," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, petang ini.

Selasa lepas, Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub ketika membuat laporan polis berhubung tindakan pihak pengurusan Felda Lembah Krau yang cuba menahannya daripada mengadakan dialog dengan penduduk Felda berkenaan.

Beliau ditahan selama dua malam mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin pada Khamis lepas.

Menurut Mazlan, ekoran insiden itu, Felda mengeluarkan satu surat pekeliling yang melarang beliau masuk ke mana-mana Felda untuk mengadakan dialog atau sebagainya.

"Ceramah saya malam ini pun terpaksa dibatalkan kerana pemilik premis terbabit menerima pelbagai ugutan daripada pihak Felda agar tidak membenarkan saya berceramah di situ.

"Mana perginya Fasal 10 Perlembagaan yang mengatakan kita ada hak untuk berhimpun?” soalnya.

Mazlan yang sudah berbelas tahun bergerak aktif dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda di seluruh negara bagaimanapun menegaskan tidak akan berganjak daripda perjuangannya membela nasib peneroka yang tertindas sejak sekian lama.

"Saya tidak akan berganjak daripada perjuangan saya membela warga Felda yang hanya menjadi pak turut kepda kerajaan selama ini.

"Sebagai ahli sebuah NGO yang berjuang untuk warga Felda, saya akan terus memberikan maklumat kepda peneroka tentang hak mereka yang dinafikan selama ini, terlalu banyak isu penyelewengan dalam Felda yang disembunyikan kerajaan," tegasnya.

Ditanya mengenai status Anak yang dikatakan haram oleh ketua penerangan Umno, Ahmad Maslan baru-baru ini kerana mendakwa telah ada Majlis Belia Felda yang menguruskan kebajikan peneroka, Mazlan berkata, ianya bukan isu utama sebaliknya apa yang diperjuangkan badan bukan kerajaan itu harus diberi perhatian.

"Saya tidak mahu layan soal status haram atau tidak. Saya pun boleh persoalkan NGO bawah mereka haram atau tidak. Apa yang penting Anak ditubuhkan untuk membela nasib peneroka yang telah lama menjadi mangsa penindasan kerajaan yang pentingkan keuntungan," katanya.

Siapa pengkhianat dan petualang agama, bangsa dan tanahair

Oleh Nash Arrawy

Parti perkauman Umno masih giat lagi bermain dengan isu –isu panas perkauman dan menghidupkan api assobiyyah melalui platform lain ( NGO perkauman ) iaitu; Perkasa dan GPMS yang menebal assobiyyah kaumiyyahnya yang menyokong sentimen perkauman Melayu Umno dan mengapi-apikan DAP sebagai anti Melayu untuk meraih undi Melayu pada PRU 13 nanti ; dengan menolak PAS kerna tahaluf siasi dengan DAP.

Politik mutaakhir ini mempamirkan penolakan rakyat ke atas perjuangan yang bernaunsakan assobiyyah( kebangsaan ) dan kaumiyyah ( perkauman) yang dipelupori UBN. Namun , rata-rata pengundi Islam masih lagi termakan umpan Umno kononnya PAS adalah alat DAP dan tersasar daripada siasah Islam . Sekitar 70 % orang Islam masih lagi ada elemen assobiyah dan perkauman Melayu yang memenangkan calon Umno dan mengalahkan calon PAS dan PKR yang berugama Islam.

Ini bererti hanya sekitar 30% sahaja pengundi Islam yang memahami konsep Islam sebagai “ Rahmatan lil ‘alamiin ‘ . Sebaliknya pengundi bukan Islam yang boleh menerima konsep tersebut dan polisi ‘Justice For All “ dan “ PAS FOR ALL “ sehingga lahirnya di dalam PAS sendiri; Dewan baru yang diberi nama Kongres Penyokong PAS ; membuktikan bahawa Islam memang sistem yang paling kondusif untuk masyarakat majmuk yang memberikan keadilan sejagat , kemakmuran dan kedaimaian ummah.

Sebaliknya, Umno dan BN hanya hidup dengan isu perkauman ; Umno tipu Melayu, MCA tipu Cina dan MIC tipu India . Siapakah yang buang kuasa raja, Bahasa Melayu dan biasiswa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan?. Siapakah yang mengkhianati Perlembagaan Persekutuan ? PAS kah ? DAP kah Bukankah Umno ? ; MELAYU TIPU MELAYU di atas nama Melayu DEB ; memfaraidkan saham bumiputra untuk kroni elit Umnoputra! Yang terkini merompak emas hitam kepunyaan bangsa sendiri demi kepentingan kroni dan politik rakus suku-sakat mereka .

Bangsa boleh disayangi tetapi bukan sebagai teras atau tonggak perjuangan kerna TERAS PERJUANGAN adalah ISLAM; yakni Kitabullah dan Assunnah bukan perkauman . Naik Islam maka naik secara otomatis bangsa yang mendukung Islam seperti bangsa Parsi yang digeruni Amerika ; mengusir thoghut Shah dan mustakbirin Amerika ! Bahkan digusari CIA dan KGB .

Ini bukti kehebatan Islam. Mana bangsa Arab .? diratahi yahudi dan nasoro kerna assobiyyah Arab yang ditegakkan; bukannya Islam sebagai ‘ Ad –Deen waddaulah ‘ dan ‘ Ad-Deen Wa Syariah “ dalam menegakkan agama dan panji-panji Islam dan memerintah dunia dengannya .

Justeru itu .bukan Islam hendaklah didekati melalui Kongres Penyokong PAS yang sama taraf dengan semua Dewan dalam PAS. Cuma mereka tiada boleh diundi atau mengundi ; tetapi, mempunyai suara dalam Muktamar dan wakil di peringkat pusat .

Sementara fahaman assobiyah –kaumiyyah tajaan Umno hendaklah di tangkis secara bijaksana supaya 70% orang Islam yang dikelirukan Umno itu dapat memahami siapakah sebenarnya PENGKHIANAT AGAMA BANGSA DAN TANAH AIR agar ummah tiada tertipu lagi dengan retorik SMS ( SATU MALAYSIA SEKULAR ) dan JTR ( JUARA TIPU RAKYAT )

Tegakkanlah roh panji Islam di dalam diri anda, famili, dan komuniti anda, insyaAllah akan tertegak negara “ nafi deenilah hi afwaja “ di dalam negara anda. Yang ada hanyalah Allah dan Rasul sahaja. Tiada ‘ Tuhan Melayu” “ Tuhan Arab” atau “ Nabi Melayu” atau “ Nabi Arab” tetapi hanya wujud “ Rabbil ‘alamiin” ( Tuhan semesta alam ) dan “ Rahmatan lil ‘alamiin” ( Muhammad rahmat kepada sekalian alam ).”One World “ ( Satu Dunia ) , “ One Soul “ ( Satu Nyawa: Adam ) and “ One Creator” ( Satu Maha Pencipta ) bukannya SMS ( Satu Malaysia Sekular ) .

Keamanan dan kedamaian akan tertegak di mana –mana juga apabila sentimen perkauman yang diapi-apikan parti perkauman Melayu Umno bisa dihapuskan dengan Univesalitas Sejagat tanpa batasan geografi , kaum, etnik dan agama. Umno gagal untuk melaksanakan obligasi politiknya kepada umat Islam dan warga Malaysia pada keseluruhannya.

Umat Islam di Pulau Pinang yang terpinggir dan tertinggal itu dihebuhkan kononnya angkara PAS bertaluf siasi dengan DAP yang baru setahun jagung memerintah . Selama ini , lebih daripada lima dekad , siapa yang memerintah Pulau Pinang ? Bukankah Umno dan Gerakan . PAS dan DAPkah yang meminggirkan umat Islam?.

Kecurian wang emas kepunyaan umat Islam dan warga Terengganu dan Kelantan yang difaraid antara kuncu-kuncu kabel politik Umno yang meminggirkan Terengganu antara negeri yang termiskin di Malaysia . Angkara petualangan siapa? Walhal Terenganu kaya dengan emas hitam ! Bagaimana, bisa menjadi miskin?

Hak umat Islam dan warga Kelantan sebanyak RM 2 BILLION dirompak oleh Umno dan hutang emas hitam semasa yang belum dilunaskan bahkan di samun dan disonglap sebanyak RM 600juta seperti kata Husam dikhianati oleh petualang Umno yang kononnya dikatakan berjumlah semuanya RM20juta sahaja. Satu penipuan yang ketara oleh Umno.

Bahkan Ku Li kata Kelantan adalah Negeri yang terkaya di Malaysia dengan anugerah Allah emas hitam tersebut . DAP kah yang menghalang ? PAS kah yang menghalang? Siapakah sebenarnya petualang Agama , Bangsa, dan Tanah Air !?.

Umno menjaja api perkauman Melayu dan memburukkan imej dan reputasi PAS-DAP kerna untuk menutup kegagalan Umno untuk memertabatkan agama. bangsa dan tanahair. Terbukti tahaluf siasi PAS – DAP- PKR dalam PAKATAN RAKYAT adalah lebih baik daripada Umno-MCA-MIC yang bernausakan perkauman dan kronisma .
Guan Eng hapuskan kabel kronisma dan hanya gunapakai kabel komputer sahaja . Siapa layak dia dapat tanpa mengira kaum atau parti . Inilah yang dibenci oleh kontaktor –kontraktor Melayu yang tiada layak yang selama ini pakai kabel politik . Bahkan fitnah anti DAP-PAS dan perkauman oleh Umno akhirnya makan diri balik apabila data rasmi e-TENDER TERBUKA terbukti dimenangi oleh 70 peratus dari kalangan Bumiputra.

Siapa sebenarnya perkauman dan siapa sebenarnya petualang bangsa , agama dan tanah air. Bahkan bajet Kerajaan Pakatan Pulau Pinang memperuntukkan jumlah yang besar kepada institusi Islam , SAR dan para hufaz lebih daripada Umno berikan.

Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan diakui oleh Akauntan Negara dan International Transparency sebagai ‘ GOOD GOVERNANCE” dan Kelantan diiktiraf sebagai “ ZIFAR KORUPSI” . Ini membuktikan ISLAM BOLEH dan Kelantan adalah model SATU MALAYSIA sebenarnya yang tiada korupsi , tiada kroni dan tiada perkauman . ‘ PAS FOR ALL’ and “JUSTICE FOR ALL “ bukan untuk Ananda Krishan, Vincent Tan dan Mukhriz sahaja.

Tunai amanah jangan khianat

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi

Wakil rakyat samaada di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri adalah pemegang amanah rakyat melalui mandat yang diberikan dalam pilihanraya . Selain mewakili parti yang didokong , ia juga mewakili rakyat untuk diperjuangkan hak dan masa depan mereka .

Tidak mudah untuk rakyat membuat keputusan lalu memberi undian atau sokongan majoriti kepada sesuatu parti dan wakilnya yang bertanding dalam pilihanraya melainkan ia adalah keputusan nekad penuh harapan dan kerpercayaan agar pemenangnya benar - benar memperjuangkan hak dan nasib mereka serta melakukan perubahan berasaskan manifesto parti yang diwakilinya .

3. Perbuatan meninggalkan parti yang diwakili setelah menang sebagai ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri ekoran mandat yang telah diberi oleh rakyat adalah merupakan satu tindakan yang mengkhianati amanah parti dan juga kepercayaan rakyat .

4. Parti telah memberikan amanahnya kepada seseorang sebagai wakil untuk turun bertanding di medan pilihanraya bagi meraihkan sokongan dan kepercayaan rakyat berasaskan prinsip perjuangan parti dan jua manifestonya . Seseorang yang diwakilkan itu pula diharapkan dapat membawa mesej dan risalah yang diperjuangkan oleh parti yang diwakili kepada rakyat dan melaksanakan hasrat parti tersebut jika menang ke parlimen ataupun dewan undangan negeri .

5. Justeru itu calon yang mewakili parti diberikan wathiqah sebagai kepercayaan parti kepadanya dan calon itu juga diminta untuk bersumpah [berjanji] taat setia kepada perjuangan parti agar dasar dan prinsip perjuangan parti yang suci tidak dikhianati . Khianat merupakan jenayah yang sukar untuk dimaafkan sementara sifat orang - orang yang beriman pula ialah mentaati perjanjian yang telah dimeterai.

Sesungguhnya Allah swt telah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak [ ahlinya ] .surah an Nisaa' : 58

Wahai orang - orang yang beriman , jangan kamu khinati Allah dan RasulNya dan jangan kamu khianati amanah - amanah kamu sedang kamu mengetahui .Surah al Anfaal : 27

Mengkhianati amanah rakyat , parti dan perjuangan merupakan sebesar - besar jenayah dan dosa yang sukar untuk mendapat keampunan Allah swt melainkan menyesal , bertaubat dan memohon maaf dari rakyat dan parti yang diwakili .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Di sebalik resolusi Perhimpunan Agung MCA

Oleh Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Dalam kekusutan dan kekecohan MCA berhadapan dengan masalah dalamannya, Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir pada 7 Februari 2010, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi serta budaya.

Antara resolusi yang diluluskan sebulat suara yang menarik perhatian saya adalah mengenai penambahan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, perubahan dan inovasi pengkongsian kuasa Barisan Nasional (BN), penambahan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di semua sekolah persendirian Cina. Satu lagi resolusi yang paling saya tidak dapat terima ialah campurtangan mereka dalam hukuman sebat yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah.

Sikap mencampuri urusan rumah tangga orang lain boleh dikira biadab ketika mana rumah tangga sendiri berantakan. Tidakkah mereka sedar bahawa selama ini umat Islam di negara ini, tidak pernah campurtangan sama sekali dalam urusan orang bukan Islam. Licik sungguh mereka ini, sesuatu yang dirasa ‘menggugat’ kedudukan mereka didesak habis-habisan manakala yang boleh diambil kesempatan dan peluang disokong tanpa berbelah bahagi seperti gagasan 1Malaysia, yang pada pandangan mereka berasaskan konsep sama rata dan sama rasa.

Termenung seketika memikirkan tuntutan sebegini setelah sekian lama bersama BN dan berkawan dengan UMNO. Kawan tidak menjaga kawan, kadangkala jadi lawan. Ketika kawan lemah, ambil kesempatan, bertindak seperti gunting dalam lipatan. Serba sedikit saya dapat membaca maksud tersirat dan tersurat permintaan dan desakan mereka itu. Saya telah ulas panjang lebar mengenai kedudukan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, mungkin mereka boleh baca apa yang telah saya tulis sebelum ini (Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010). Tidakkah kita dapat melihat ramainya orang Islam (Melayu) dalam perkhidmatan awam dan pembolotan bukan Melayu dalam ekonomi sebagai situasi menang-menang atau win-win? Kenapa masih belum puas?

Mengenai inovasi dan perubahan struktur perkongsian kuasa dalam BN, saya dapat melihat mereka mahukan jawatan tinggi dalam BN seperti pengerusi BN, timbalan BN, setiausaha agung BN, bendahari BN dan jawatan penting lain BN digilirkan. Selepas itu, jawatan-jawatan ini akan digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet termasuk jawatan PM dan TPM dan sebagainya di kemudian hari. Perkara ini bukanlah isu baru, ia telah dibangkitkan sekian lama oleh parti ultra kiasu yang lain, cuma masih belum menjadi realiti.

Sejak dahulu lagi perjuangan mereka tidak pernah padam. Jika dahulu jawatan menteri kewangan pernah disandang oleh mereka. Hari ini mereka mahu kembali mendapat jawatan tersebut dan jawatan yang lebih senior. Cuma, saya menyeru nilaikanlah toleransi yang berlaku, berapa ramai calon bukan Melayu yang telah dilantik menjadi senator dan diberikan jawatan menteri, walaupun mereka kalah dalam pilihan raya. MCA pula begitu beruntung kerana mereka menang pilihan raya di kawasan majoriti Melayu. Saya akan tabik MCA dengan sepuluh hari jika MCA atau Gerakan dapat mengalahkan parti ultra kiasu dalam pilihan raya di kawasan majoriti bukan Melayu.

Jika parti-parti komponen BN ini boleh menang, ketika itu mereka mungkin wajar mendesak dan mengemukakan tuntutan kepada kerajaan. Jika tidak, tak payahlah kemukakan tuntutan sedemikian, jagalah masalah dalaman parti terlebih dahulu. Janganlah hendak menjadi jaguh ketika sokongan bukan Melayu telah beralih kepada ultra kiasu. Saya begitu teruja untuk melihat parti komponen BN ini dapat merebut kembali Pulau Pinang jika mereka mampu. Saranan bekas presiden Gerakan ada betulnya. Parti-parti politik ini perlu menumpukan perhatian untuk membina kekuatan dalaman dan meraih sokongan dahulu sebelum bercita-cita tinggi untuk merampas Pulau Pinang daripada ultra kiasu. Apapun, mereka masih tidak rugi apa-apa kerana pulau tersebut masih lagi berada dalam genggaman orang yang sama kerana tindakan dan desakan mereka tidak banyak beza.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk. Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional. Persoalannya bakat dan pembangunan nasional bagaimanakah yang ingin dipupuk? Di manakah bakat-bakat tersebut? Apakah mereka berperanan besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa? Rujuk artikel saya pada 31 Januari 2010 dan 22 November 2009. Kenapa tidak dibincangkan langsung akan kepentingan sekolah satu sistem (SSS) yang mana semua pelajar dapat dikumpulkan dalam satu tempat tanpa menafikan hak untuk belajar bahasa ibunda? Saya fikir sudah tibanya parti-parti politik ini berbincang akan modus operandi dan operasi SSS demi masa depan negara. Jangan ketepikan langsung kepentingan SSS dalam pembinaan negara bangsa, berbanding dengan hanya kepentingan bangsa. Saya akan bersetuju dengan pengikhtirafan sijil ini jika banyak masa diperuntukan untuk pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan bahasa kebangsaan.

Berapa banyakkah lagi sekolah seperti ini hendak dibina? Buatlah kajian dahulu tentang keberkesanan, kebolehan dan pencapaian BM dalam peperiksaan dan komunikasi. Begitu juga dengan semangat cintakan kepentingan nasional sebelum mendesak kerajaan bina yang baru. Setelah menonton rakaman debat antara ketua pemuda MCA dan Khoo Kay Kim, baru saya sedar betapa kiasunya parti ini seolah-olah tidak bezanya dengan parti ultra kiasu yang satu lagi. Sebagai timbalan menteri pelajaran beliau sepatutnya berhujah dengan lebih akademik bukannya beremosi. Hujah yang mengatakan pelajar sekolah vernakular hanya enam tahun berada di sekolah rendah, berbanding mereka lebih lama di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi adalah hujah yang ultra kiasu. Seolah-olah kita menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Apakah kita tidak belajar psikologi atau terlebih belajar sains? Tanyalah kepada sesiapapun, zaman kanak-kanak adalah tahap yang paling kritikal. Pepatah ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkinkah dia berpegang kepada melentur buluh biarlah dari buluhnya. Hujah menegakkan benang yang basah ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Saya ingin mengajak mereka yang kiasu ini supaya datang ke sekolah saya dan lihat bagaimana keadaan pelajar di sekolah di sini setelah dilentur sejak kecil di sekolah vernakular. Buat pemerhatian ke atas kelas peralihan, penguasaan BM dan pergaulan mereka. Saya tidak faham adakah mereka yang pandai berkata-kata pernah pergi ke sekolah yang di bawah seliaannya sendiri. Jangan asyik pergi ke sekolah sendiri sahaja. Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat secara telus akan keberkesanan semua sekolah ke arah pembinaan negara bangsa berasaskan perlembagaan negara. Sebenarnya, kajian telahpun dibuat, tetapi kita mengambil sikap endah tak endah sebab hasil kajian tidak menyebelahui kita. Apapun selesaikan dahulu masalah dalaman parti, selepas kita boleh berbincang dan berdebat di tempat yang agak neutral.

Saya tidak nampak ada masalah dengan pengikhtirafan ke atas UEC. Mungkin mereka agak sukar untuk mereka mencari pekerjaan di sektor awam, tetapi pengambilan mereka ke dalam sektor swasta boleh dikatakan tidak ada halangan langsung, walaupun mungkin mereka gagal dalam BM. Mereka ibarat kek panas, maklum sahajalah sektor swasta tidak memerlukan kelayakan BM untuk bekerja di sana, terutama akhbar-akhbar ultra kiasu. Apakah mungkin perkara ini juga yang menyebabkan bilangan mereka tidak bertambah di sektor awam? Pendek kata, sama ada sijil UEC ini tidak ikhtiraf atau tidak, tidak banyak bezanya. Sikap menambah yang telah dapat, patut dipuji, tetapi janganlah ditambah sehingga membukit mengakibatkan orang lain merasa diketepikan? Buatlah kajian sama bagaimana sekolah jenis ini boleh meningkatkan idealism pembinaan negara bangsa.

Resolusi yang menggesa semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) mengubah suai silibus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya juga tidak dapat lari dari sikap ultra kiasu. Resolusi ini memperlihatkan bahawa selama ini sejarahawan kita telah memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Saya ingin bertanya, di bahagian manakah yang telah diputar-belitkan. Selaku pensyarah dalam bidang politik dan kerajaan yang berkait rapat dengan sejarah, saya teramat ingin melihat fakta sejarah manakah yang didakwa diselewengkan? Adakah kita mempunyai niat tersembunyi untuk mengubah fakta sejarah supaya lebih berpihak kepada kita? Sejarah tetap sejarah, ia akan terus kekal sampai bila-bila. Janganlah diubah fakta tersebut semata-mata untuk menggembirakan diri sendiri. Susah-susah sangat, tanyalah Khoo Kay Kim. Beliau adalah pakar daripada segala pakar dalam bidang sejarah. Malangnya pakar sejarah ini ditolak sama sekali oleh mereka yang banyak bercakap ini.

MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai “Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita” (Cedaw). Nasihat saya, MCA tidak perlu gatal tangan untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam, kerana orang Islam lebih arif dengan kehidupan mereka sendiri. Jagalah rumahtangga sendiri dahulu yang sedang berantakan. Lagipun orang Islam tidak pernah sama sekali campurtangan dalam urusan orang lain. Kenapa perlu menyakitkan hati orang Islam?

Jauh sungguh bezanya sokongan mereka terhdap gagasan 1Malaysia. Bila dirasa menguntungkan maka disokong tanpa berbelah bahagi. Namun sebaliknya bila dilihat ada kerugian dan pengurangan, maka akan ditentang habis-habisan. Sikap ultra kiasu ini tidak ada bezanya langsung dengan parti ultra kiasu. Logo sahaja berlainan, perjuangan tetap sama. Suara mereka tetap tidak berubah. Ini yang saya selalu katakan bersatu dalam senyap. Di luar ada yang lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk, laksana adik-beradik. Strategi inilah yang telah mencairkan parti politik yang memerintah. Mungkinkah selepas ini mereka akan menyokong pula cadangan untuk mengadakan pilihan raya majlis perbandaran seperti yang dicadangkan oleh negeri yang perintah oleh ultra kiasu itu? Maklumlah kawasan bandar lebih ramai dihuni oleh pengikut-pengikutnya.

Saya yakin selepas ini parti-parti komponen BN yang lain akan membuat tuntutan yang hampir sama atau mungkin lebih ekstrim, jika kita terus melayan tuntutan dan desakan parti yang sedang berkecamuk ini. Kadangkala simpati saya terhadap Umno, selaku parti tunggal Melayu Islam, mereka terpaksa mendengar dan menerima semua desakan dan rintihan parti-parti komponen BN yang rata-ratanya tidak Islam. Siapakah sebenarnya yang akan mendengar dan melayan rintihan Umno yang ada berkeinginan untuk menegakkan kepentingan bangsa dan agamanya? Apakah mungkin PAS dan PKR mahu mendengar dan berkongsi beban ini atau terus-menerus mahu menuduh dan menyalahkan Umno?

Kita sepatutnya belajar daripada strategi orang lain. Apa jua masalah yang melanda, suara dan desakan mereka tetap senada. Berbeza sungguh dengan parti-parti Melayu. Bergaduh seolah-olah tidak ada noktahnya, sehingga terlepas pandang agenda bangsa dan agama. — Mingguan Malaysia


* Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Mohsin Enggan Kosongkan Kerusi Bagan Serai

Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimennya walaupun ada pihak dalam Pakatan Rakyat mendesaknya berbuat demikian termasuk mahu mengadakan solat hajat.

Bekas pemimpin PKR itu berkata, beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya, sebaliknya akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga pilihan raya umum ke-13.

Selain Mohsin Fadzli tiga lagi Ahli Parlimen PKR telah keluar parti dan mahu bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Laporan Harakah Daily semalam menyebut tempoh tujuh hari yang diberikan PR Bagan Serai kepada wakil rakyat berkenaan untuk menarik balik keputusannya meninggalkan pakatan itu tamat malam kelmarin.

Mulai malam ini mereka mengadakan solat hajat selama tujuh hari memohon kepada Allah agar Mohsin Fadzli insaf atau menyerahkan kembali mandat rakyat itu dengan meletakkan jawatan.

Majlis solat hajat akan diadakan dengan solat Maghrib di Balai Kuliah Tasawur Islam Simpang Empat Semanggol, kata bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ahmad Awang.

Ahmad memberitahu semasa pilihan raya umum lalu beliau yang memperkenalkan Mohsin Fadzli kepada orang ramai khasnya masyarakat Cina dan PAS Kawasan Bagai Serai.

Beliau berkata, solat hajat itu akan berakhir Jumaat depan di Masjid Tinggi Bagan Serai.

Pada 3 Mac lalu, Mohsin Fadzli mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana “politiking” melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya,” kata beliau dipetik Bernama.

“Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi Anggota Parlimen mereka... tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai),” katanya di sini hari ini.

Mohsin Fadzli berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada Umno dengan majoriti 3,413 undi. -MI



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111