" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, January 18, 2011

Mesti Baca : Projek tumbangkan Selangor !!!

Oleh Hishamuddin Rais

Krisis besar telah sampai ke Selangor. Sekali pandang ia datang secara tiba-tiba seperti banjir melanda kerana empangan pecah. Apakah betul bencana ini sampai dengan tiba-tiba? Apakah betul ia sampai kerana setiausaha kerajaan Selangor yang lama ingin bersara dan yang baru perlu dilantik? Tidak. Di belakang semua ini ada perancangan licik. Ada wayang pak dalang.Umum mengetahui, sesiapa yang belum tahu, sesudah membaca tulisan ini akan tahu bahawa negeri Selangor adalah yang terkaya di Malaysia.

Malah antara yang terkaya di Asia Tenggara, setaraf dengan Jerman, United Kingdom atau Korea Selatan. Belanjawan tahunan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya sahaja lebih banyak daripada belanjawan tahunan kerajaan negeri Kedah. Ini fakta sahih.

Selama lebih daripada 50 tahun warga Selangor merasa mereka telah ditipu. Pada 8 Mac 2008 dahulu warga Selangor tidak mahu lagi dibodohkan, justeru mereka telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat dan menghumbankan kerajaan BN yang dikepalai oleh United Malays National Organisation. Berdasar fakta sejarah, ini adalah kali kedua warga Selangor mengambil sikap sedemikian. Kali pertama pada tahun 1969 dahulu.

Sikap pintar dan kesedaran warga Selangor ini telah menjadikan United Malays National Organisation hilang punca. Sesudah 8 Mac yang lalu gerombolan yang selama ini merompak dan mengganas di Selangor, telah kehilangan peti emas. Penyamun yang memiliki nombor pin akaun bank tiba-tiba dapati angka pin ini berubah. Ini samalah seperti Raja Bersiong yang menjaga bank darah tiba-tiba dihalau ke hutan.

Untuk memahami apa yang berlaku di Selangor hari ini, kita wajib melihat kembali apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 dahulu. Kini, sedikit demi sedikit, umum telah mula mengetahui bagaimana pada malam 8 Mac 2008 yang lalu Khir Toyo telah didakwa membuat beberapa panggilan telefon untuk bersubahat dengan beberapa anasir dalam PAS untuk mengagalkan terdirinya pentabiran kerajaan baru di Selangor. Ini bukan desas-desus. Ini fakta sejarah.

Kenapa ini berlaku? Ini berlaku kerana ada benggolan-benggolan yang telah hilang kuasa tidak mahu menerima hakikat yang mereka telah hilang kuasa. Dalam masa yang sama ada pula benggolan-benggolan yang bercita-cita untuk menjadi menteri bersar yang baru. Kepentingan kuasa ini telah mengikat dua anasir yang bermusuhan ini untuk bekerjasama. Kini babak sejarah malam 8 Mac 2008 itu telah tesebar untuk menjadi cerita-cerita rakyat yang boleh ditokohtambah dengan Ajinomoto.

Apa yang jelas, awal-awal lagi, pada malam 8 Mac itu lagi United Malays National Organisation sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa di Selangor. Bukan kerana gerombolan ini ingin meneruskan khidmat suci mereka. Tidak. Hilang Selangor daripada kawalan bermakna United Malays National Organisation akan hilanglah punca pencarian. Selama ini Selangor adalah tempat para gerombolan mencari makan. Selangor lombong emas mereka.

Taktik, perangkap

Ingatkan kembali kisah legenda seorang penjaga pintu laluan keretapi, seorang yang tidak ada pelajaran dan ilmu pengetahun telah menjadi kaya-raya kerana dipilih oleh United Malays National Organisation untuk menjadi ADUN dan ahli Majlis Perbandaran Klang. Ini satu contoh kecil. Bagaimana pula dengan projek mega pelabuhan Klang yang dananya dikatakan lesap berbilion-bilon ringgit? Malah amat banyak lombong emas Selangor kini di bawah pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Justeru apa yang jelas di sini ialah United Malays National Organisation akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali Selangor. Gerombolan ini sanggup bersekongkol dengan siapa sahaja asalkan Selangor kembali di bawah naungan mereka.

Bayangkan hari ini banyak program gerombolan terbengkalai kerana putus duit. Limpahan fulus yang biasanya datang dari kerajaan Selangor telah kering. Lubang-lubang kontrak telah tertutup. Duit komisyen sama ada jual projek atau melobi untuk mendapatkan projek kini tidak ada lagi. Kering dan kontang.

Ingat? Bagaimana heboh riuh gempita di pertengahan tahun lalu kerana pelancaran kempen “Tawan Selangor”. Diberitakan Mat Ezam, Noh Omar dan Khir Toyo gila berkempen ke hulu ke hilir dengan road show mereka. Lepas tiga empat ceramah, tayar pancit, semua 'potong stim'. Tak ada sesiapa berminat untuk datang mendengar kempen Mat Ezam atau Khir Toyo. Untuk menambah sedih dan pilu - ahli-ahli gerombolan kalau tak ada fulus tak akan mengalihkan punggung mereka ke mana-mana. Selesai.

Asas dan latar belakang semua ini ekoran kenyataan Ketua Perhubungan Umno Selangor Najib Razak yang telah berkata: Selangor wajib diambil kembali. Ini adalah satu arahan untuk melakukan apa sahaja demi memastikan kerajaan Pakatan di Selangor akan jatuh. Justeru Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat seolah-olah menjalankan pelbagai bentuk operasi untuk menyusahkan ADUN atau ahli-ahli majlis Pakatan Rakyat.

Pelbagai taktik dikatakan telah dijalankan. Taktik perangkap dengan duit telah dijalankan. Seorang ADUN PKR telah tewas dan berpaling tadah. Perangkap lendir yang berjaya digunakan di Perak telah juga digunakan di Selangor. Tetapi gagal. Akhirnya perangkap siasat pembantu politik telah dijalankan. Semua ini adalah taktik dan strategi untuk menumbangkan kerajaan Selangor.

Selaras dengan operasi SPRM ini juga – kacau bilau kecil terus diadakan. Mengheret kepala lembu, membuat laporan polis kiri dan kanan, menyebar fitnah di sana-sini menjadi sebahagian dari perang saraf puak gerombolan. Sayangnya walau pun songkok yang gerombolan dipakai tinggi mengawan dan lilitan serban mereka tebal membuncit tetapi tidak banyak warga Selangor yang tertarik dengan puak gerombolan ini.

Musuh dalam selimut

Akhirnya penasihat yang digaji oleh Najib Razak telah mencadangkan satu taktik baru perlu dijalankan di Selangor. Politik dalaman Palestin menyaksikan Abbas dari Al-Fatah dipilih menjadi pemimpin, walhal yang menang dipilih oleh warga Palestin ialah parti Hamas. Taktik pecah dan perintah seperti inilah yang sedang dijalankan oleh Najib Razak terhadap kerajaan Pakatan di Selangor.

Kerajaan Pakatan secara rasmi telah menemuduga calon-calon baru untuk dijadikan setiausaha kerajaan. Nama calon yang dipilih telah dihantar ke pihak berwajib untuk disahkan. Tiba-tiba Sultan Selangor dikatakan telah membuat pilihan. Ini betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku di Palestin. Rejim Zionis tiba-tiba memilih Abbas dan mengenepikan Hamas yang dipilih rakyat.

Di sini umum wajib disedarkan bahawa Sultan dan Raja di Malaysia ini bukan Sultan dan Raja di zaman Hang Tuah dan Hang Jebat. Itu 600 tahun dahulu. Hari ini mereka hanyalah Raja Perlembagaan. Zaman apa sahaja Sultan dan Raja buat adalah betul telah lama berlangsung.

Umum juga perlu diingatkan bahawa United Malays National Organisation pada tahun 1993 telah meminda perlembagaan. Pindaan perlembagaan tahun 1993 ini membawa banyak perubahan dalam segi pemikiran orang Melayu terhadap sistem Raja Perlembagaan. Hari ini, 18 tahun selepas pindaan itu, rakyat Malaysia terutama orang Melayu sama seperti warga Selangor tidak mahu lagi di tipu oleh sesiapa pun.

Rancangan untuk menimbulkan perbalahan antara kerajaan Selangor dan Sultan ini akan berterusan. Kes Khusrin Muwani ini dilihat sedang dijadikan peluru untuk menimbulkan kacau-bilau. Ini adalah penerusan strategi untuk merampas kembali Selangor dan meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Warga Selangor wajib berhati-hati dan berwaspada. Harus dingatkan anasir–anasir yang pernah ditelefon oleh Khir Toyo pada malam 8 Mac 2008 dahulu pasti sedang mencari-cari peluang. Musuh-musuh dalam selimut sedang berkeliaran mencari peluang untuk mendapat pangkat dan kuasa. Gerombolan amat senang dikenali tetapi musuh dalam selimut ini tak tahu bila akan menikam kita.

Di mana akhirnya krisis ini? Semuanya terpulang kepada warga Selangor sendiri. Jika mereka ingin membawa perubahan maka mereka akan terus menyokong Pakatan. Jika mereka ingin terus ditipu dan diperbodohkan, tidak ada siapa yang dapat menolong. Hingga hari ini masih belum ditemui lagi satu suntikan yang mujarab untuk mencerdikan mereka yang suka dibodohkan dalam sekelip masa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111