Oleh Mohd Aizat Mohd Salleh
Ketika kepanasan bahang pilihan raya kecil DUN Tenang, rakan-rakan mahasiswa kita di kampus kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang akhir bulan Januari atau awal Februari ini.
Dalam pilihan raya umum, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebagai badan yang menguruskan pilihan raya. Mereka bolehlah dianggap sebagai badan bebas yang melancarkan serta mentadbir urusan pilihan raya.
Jika dalam pilihan raya kampus, maka yang menguruskan pilihan raya itu adalah Jawatankuasa Pemilihan MPP yang biasanya yang menjadi ketua adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP). Peranannya sama, iaitu menguruskan pilihan raya kampus agar berjalan lancar.
Peranan
Kedua-dua badan atau jawatankuasa ini jika diperhatikan, sama tugasnya. Malah kadang-kadang turut sama 'perangainya'. Kedua-dua badan ini juga dipertikaikan kewibawaannya. Jika di luar, rakyat mempertikaikan, manakala di kampus adalah mahasiswa.
SPR dilihat seringkali menjadi alat kepada parti pemerintah (UMNO-BN), sedangkan sepatutnya badan bebas yang menguruskan pilihan raya sewajarnya tidak memihak mana-mana parti.
Misalnya, dalam ketetapan terbaru yang dinyatakan SPR ketika taklimat kepada parti bertanding di DUN Tenang bertarikh 21 Januari 2011, bahawa hanya parti yang bertanding sahaja yang dibenarkan meletakkan gambar dan lambang mereka.
Selain itu, tindakan SPR memindahkan pengundi berdaftar yang majoritinya berbangsa Cina ke pusat pengundian yang baru pada 17 Januari 2011 turut memperlihatkan tindakan menyelamatkan BN yang kehilangan sokongan pengundi Cina.
Ia serupalah apa yang berlaku di kampus. Dan peranan itu diambil oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP untuk menyelamatkan calon-calon Aspirasi yang tidak disokong mahasiswa.
Misalnya di dalam pilihan raya kampus tahun lalu (2010) di Universiti Malaya, mereka memperkenalkan sistem pengundian yang baru iaitu e-voting. Dengan alasan ia lebih memudahkan pengiraan sedangkan tidak melalui perbincangan dengan mahasiswa.
Selain daripada itu, calon-calon Pro-Mahasiswa disekat daripada berkempen di kolej-kolej kediaman, dengan alasan bahawa kawasan berkempen di kolej hendaklah mendapat kebenaran pihak kolej yang mana keseluruhan pentadbir kolej adalah 'orang-orang' mereka.
Semua peraturan itu dicipta bagi memudahkan kemenangan mereka. Serupa saja apa yang dilakukan SPR kepada Pakatan Rakyat, dan HEP kepada mahasiswa di kampus.
PRK sendiri
Oleh kerana itu sejak dahulu lagi, mahasiswa menuntut agar pilihan raya kampus di universiti dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. Bukan tidak percaya kepada pentadbiran mahupun HEP, bahkan rekod-rekod buruk mereka telah menghakis keyakinan mahasiswa kepada mereka.
Begitu juga yang berlaku kepada rakyat. Mana mungkin organisasi seumpama MAFREL dan badan antarabangsa perlu turun memantau pilihan raya jikalau pilihan raya itu telus dan adil.
Saya teruja dengan pendirian Pro-mahasiswa UPM yang mendesak pentadbiran agar pengurusan pilihan raya kampus dikembalikan kepada mahasiswa. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa hadapan politik kampus mereka.
Peringatan
Parti pemerintah pada hari ini harusnya perlu bersyukur dengan sikap dan pendirian parti dan rakyat di Malaysia. Kita masih lagi 'sopan' dan 'lembut' dalam menangani soal-soal demokrasi dan penipuan parti pemerintah.
Justeru, pengiktibaran perlu diambil daripada apa yang berlaku kepada pemerintah Ben Ali di Tunisia. Rakyat bangkit melalui revolusi, bukan lagi demokrasi. Namun apa yang lebih membanggakan, ia dicetuskan oleh seorang mahasiswa atau anak muda yang membakar dirinya kerana kenaikan memeritkan harga barang.
Mungkin pilihan raya kampus akan datang ini medan menukarkan demokrasi kepada revolusi, andai jalan demokrasi disekat lagi? Ayuh bangkit anak muda dan mahasiswa!
No comments:
Post a Comment