Oleh Suhaimi Mokhtar
Perjuangan rakyat Palestin mengalami satu lagi sabotaj apabila perunding-perunding Palestin yang mewakili Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengkhianati perjuangan suci Palestin dengan menawarkan tanah-tanah yang dibina penempatan Yahudi di Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat dan di pinggir Gaza, boleh dimiliki oleh orang-orang Yahudi yang telah membina penempatan-penempatan haram itu.
Sebagai balasannya regim Zionis menyetujui kelahiran sebuah Negara Palestin berpandukan sempadan sebelum perang bulan Jun 1967 bagi menggantikan pentadbiran PA diwilayah-wilayah Palestin yang telah dikenalpasti meliputi Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Genting Gaza.
Tawaran ini ditolak oleh regim Zionis yang sehingga kini terus membina penempatan haram diwilayah-wilayah Palestin, pada ketika pelan membentuk Negara Palestin beriringan dengan Negara regim Zionis terus diuar-uarkan.
PA diterajui oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dianggotai oleh pelbagai organisasi Palestin dan didominasi oleh Fatah diberi kuasa mewakili Palestin mengadakan rundingan dengan regim Zionis Yahudi dalam rundingan damai yang dibroker oleh Amerika Syarikat(AS), Kesatuan Eropah (EU), Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Russia, dengan apa yang dipanggil Jawatankuasa Empat Penjuru.
Rundingan damai untuk membentuk Negara Palestin diwilayah-wilayah berkenaan setakat ini tidak mencapai apa-apa hasil setelah ia berlangsung berpuluh tahun selepas perjanjian Kem David dan Oslo.
Perjanjian yang dimeterai menyaksikan negara-negara barisan hadapan seperti Mesir dan Jordan serta negara-negara Arab Lain di neutralisekan peranan mereka dengan Mesir, Jordan dan beberapa buah negara Arab mengiktiraf kewujudan regim Zionis. Syria tidak ikut memetraikan perjanjian damai dan kerana itu Golan Heights masih dibawah penaklukan regim Zionis. Wilayah-wilayah Palestin dibawah pentadbiran PA juga masih dibawah takluk regim Zionis.
Pertubuhan Hamas yang kini menguasai Gaza selepas memenangi pilihanraya Palestin 2006 dan beberapa pertubuhan Islam yang lain tidak berada dalam PLO kerana pertubuhan-pertubuhan ini disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh kuasa empat penjuru.
Hamas menguasai Palestin termasuk Tebing Barat tetapi Fatah melakukan rampasan kuasa dan kini mentadbir Tebing Barat yang berpusat di Ramallah. Usaha-usaha mendamaikan dua paksi Palestin ini yang dibroker oleh negara-negara Arab termasuk Saudi Arabia, Mesir dan Liga Arab gagal mencapai sebarang persetujuan.
Fatah yang mendominasi PLO dan sekaligus menguasai PA telah menggunakan kedudukannya untuk menyingkirkan Hamas tetapi setakat ini Hamas dapat mempertahankan kedudukannya di Gaza kerana sokongan rakyat. Walaupun pelbagai sekatan dikenakan regim Zionis termasuk perang terhadap Gaza selama 22 hari dua tahun lalu masih tidak mampu melenyapkan Hamas.
Mandat rakyat Palestin telah diserahkan kepada Hamas, tetapi Fatah yang diberikan kuasa oleh kuasa empat penjuru untuk merundingkan negara Palestin. Dalam rundingan-rundingan inilah perunding Palestin Saed Erekat dan Ahmad Quria membuat perjanjian sulit menawarkan penempatan-penempatan haram yang dibina regim Zionis Yahudi boleh dikekalkan sebagai penempatan untuk rakyat Yahudi.
Dalam kenyataan-kenyataan umum yang dikeluarkan oleh pihak PA, pihak berkuasa itu mengecam pembinaan-pembinaan haram oleh regim Zionis diwilayah Palestin. Sebaliknya dalam perjanjian sulit pihak Palestin membuat konsesi pertukaran tanah dan penempatan haram dengan sebuah negara Palestin. PA telah menarik diri dari sebarang rundingan dengan regim Zionis kearah kewujudan Negara Palestin kerana membantah penempatan haram yang giat dilakukan oleh regim Zionis terutama di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sehingga menghampiri Al-Aqsa Al-Shariff, tempat suci umat Islam yang menjadi kiblat pertama umat Islam.
Pendedahan penyelewengan dibuat oleh saluran TV Al-Jazerah yang berpusat di Doha dan saluran TV BBC serta saluran-saluran TV yang lain. Sebanyak 1, 676 dokuman rahsia telah didedahkan oleh Al-Jazerah dalam bentuk nota, peta, rangka perjanjian dan lain-lain telah dinafikan oleh pimpinan PA termasuk presiden Mahmoud Abbas dan perunding-perunding Palestin sendiri.
Pejabat Al-Jazerah telah diserang oleh pengikut-pengikut Fatah di Ramallah sementara di Gaza, Hamas memberikan responnya dengan mensifatkan apa yang didedahkan itu memalukan dan pengkhianatan Fatah itu bukanlah memeranjatkan bahkan ia sesuatu yang dijangka oleh Hamas dan umum dengan tindak-tandak Fatah selama ini. AS dan sekutu-sekutunya tidak memberikan sebarang reaksi yang jelas atas pendedahan dekuman ini.
Fatah dalam perancangannya untuk menyingkiri Hamas sanggup diperalatkan oleh regim Zionis dan turut menyerang anggota Hamas dan anggota pertubuhan Islam yang lain seperti yang dibuktikan dalam perang Gaza selama 22 hari.
Dalam perang Gaza tiada sebuah negara Arab pun yang membela Gaza. Sebaliknya Mesir turut menutup sempadannya dengan Gaza sehingga rakyat Gaza terkepung dalam serangan itu. PA tidak melakukan apa-apa bahkan memberi maklumat perisikan kepada regim Zionis dalam perang Gaza. Fatah pantas berdendam terhadap Hamas dan menganggap musuh utamanya, berbanding dengan regim Zionis.
Pendedahan ini membuktikan bahawa Fatah adalah alat dan perkakas kuasa-kuasa yang kononnya membroker pelan damai untuk kewujudan Negara Palestin yang hanya satu metos dan pimpinan PA sanggup menawarkan apa sahaja hatta penempatan haram yahudi sebagai tawaran untuk memperoleh sebuah Negara Palestin.
Melalui kewujudan sebuah Negara Palestin, pimpinan PA ini mengharapkan untuk mendapat kuasa politik, kedudukan dan berkuasa penuh terhadap wilayah-wilayah Palestin walaupun tanpa tanah-tanah yang dibina penempatan haram regim Zionis itu.
Dengan kekuasaan itu musuh Fatah, Hamas dan pertubuhan sepertinya akan diperangi seperti juga regim Arab yang memerangi pergerakan-pergerakan Islam di negara mereka sekarang.
Beberapa konflik dan isu berakar umbi dalam penyelesian Palestin tidak mungkin akan dapat diselesaikan dengan mudah dalam pelan damai yang diketengahkan baik dikalangan Negara Arab sendiri atau pelan yang diushakan oleh jawatankuasa empat penjuru yang diketuai AS.
Antaranya ialah Baitulmuqaddis Timur yang mahu dijadikan ibunegara Palestin. Regim Zionis pula mahukan seluruh Baitulmuqaddis (Jerusalem) sebagai ibu negara regim yahudi itu;hak untuk pelarian Palestin yang berjumlah lebih enam juta untuk kembali kewilayah Palestin termasuk mereka yang melarikan diri dari keganasan Zionis sejak 1948, apabila regim Zionis diistiharakan.
Di samping itu, wilayah sempadan Palestin dan regim Zionis mengikut resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB, iaitu sempadan sebelum perang 1967 hendaklah diperakui, tetapi tidak diterima oleh regim Zionis dan kerana itulah regim Yahudi terus membina penempatan haram, menjadikan wilayah regim sekarang lebih luas termasuk penempatan di Maale Adumim dan lain-lain penempatan haram yahudi.
Perunding Palestin sanggup menyerahkan tanah-tanah penempatan haram ini dan inilah pengkhianatan yang dilakukan terhadap perjuangan Palestin yang melalui lebih enam dekad sejak rakyat Palestin diusir keluar dari buminya dengan terbinanya regim Zionis.
Perkara-perkara lain yang menyulitkan rundingan ialah hak untuk mengadakan tentera Palestin dan pasukan keselamatannya yang tidak disetujui regim Zionis. Tanpa isu-isu asas ini diselesaikan, tidak mungkin Negara Palestin menjadi realiti.
Pentadbiran Obama setakat ini gagal mengerakkan momentum pelan damai Palestin dan dengan terdedahnya perjanjian sulit ini, penyelesaian damai Palestin akan lebih sukar.
Tiada penyelesian dua negara di Palestin. Perjuangan pembebasan Palestin mesti diteruskan oleh pertubuhan yang diserahkan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya lalu dan bukan lagi pihak PLO, PA, Fatah dan lain-lain yang telah tersasar dan terpesung dari jalan perjuangan.
Penyelesaian Palestin akan terungkai dengan sendirinya, apabila regim-regim Arab satu demi satu dibebaskan terlebih dahulu dari belenggu kuku besi regim zalim, rasuah, nepotisme dan lain-lain.
Apa yang berlaku diTunisia kini merebak ke Mesir dengan domonstrasi rakyat besar-besran dan bom jangka akan meletup bila-bila masa mengakhiri pemerentahan diktator Hosni Mubarak selama 32 tahun di Mesir. Setelah negara-negara Jazerah Arab ini dibebaskan, barulah Palestin dapat dibebaskan.
No comments:
Post a Comment