Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
Hampir keseluruhan pemerintah negara-negara di Timur Tengah mutakhir ini menerima tamparan hebat dengan berlakunya kebangkitan rakyat secara besar besaran.
Rakyat menuntut sebuah pembaharuan, pendemokrasian dan kebebasan bersuara yang selama ini ditutup oleh pemerintah yang bersifat kuku besi dan menjadi alat kepada Amerika Syarikat.
Sebelum ini dunia dapat melihat Turki yang diperintah golongan yang pro kepada Amerika Syarikat dan Israel, namun kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki dalam Pilihan raya Parlimen 22 Julai 2007 membuktikan bahawa ideologi sekular semakin pupus di negara itu.
Kemenangan Parti AKP dalam pilihan raya itu membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan karisma Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdagon di samping kepercayaan rakyat terhadap perancangan dan pemulihan ekonomi Turki.
Bermula kemenangan itu, Perdana Menterinya Reccep Tayyip Erdogan juga melakarkan sejarah besar apabila membuat kecaman hebat ke atas Israel dalam isu konvoi bantuan ke Gaza dimana akibat kecaman itu, hubungan antara dua negara itu semakin goyah.
Bagi Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad, perkembangan sejak akhir-akhir ini adalah arus kebangkitan rakyat secara total tanpa ras atau agama untuk menuntut sebuah negara yang benar-benar demokrasi.
Mungkin jika dilihat kebangkitan ini bertulang belakangkan gerakan yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Ikhwan Muslimin serta parti-parti politik liberal lain.
Namun kebangkitan ini juga sebenarnya adalah kesedaran rakyat yang selama ini tertindas oleh pemerintahan diktator zalim yang hanya memikirkan 'isi perut' tauke mereka di Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.
Tiada lagi ras atau perbezaan agama dalam gerakan rakyat menuntut hak mereka secara terbuka untuk bersama-sama terlibat secara bebas dan adil dalam proses demokrasi dan pilihan raya.
Mesir yang diperintah Hosni Mubarak selama lebih 30 tahun antara negara yang paling kuat menerima tamparan akibat kebangkitan rakyatnya.
Bermula di Dataran Tahrir, rakyat terutamanya golongan muda turun beramai-ramai ke jalan raya bagi menyuarakan bantahan dan mendesak Mubarak segera undur.
Amerika Syarikat pula yang merupakan kuasa terunggul yang menentukan percaturan di Timur Tengah di dalam reaksinya seolah-olah memberi 'lampu hijau' kepada perubahan pendemokrasian di rantau ini.
Mereka secara terbuka telah menggesa agar di berikan hak serta kebebasan di dalam amalan serta proses demokrasi. Reaksi ini merupakan suatu perkembangan yang baru di dalam penilaian Washington terhadap demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah terutamanya yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan serta gerakan Islam.
Apa muslihatnya, dan apakah perancangan sebenar Amerika dalam menelaah perjalanan protes rakyat Mesir menumbangkan Mubarak?
Namun kebangkitan rakyat di Mesir bukan atas saranan Amerika mahupun kuasa-kuasa di belakangnya yang berpaksikan Amerika serta sekutunya, Israel.
Ikhwan yang sudah lama diharamkan dan pimpinannya dipenjarakan serta dibunuh akhirnya muncul semula untuk turut meniti titian bersama rakyat Mesir hingga menumbangkan Mubarak.
Ketika ini, Mesir sedang diterajui pemerintahan tentera.Satu jawatankuasa yang diketuai oleh seorang hakim bebas ditubuhkan dan diberikan tempoh 10 hari untuk menggariskan pembaharuan yang perlu dibuat kepada perlembagaan negara itu sebelum pungutan suara rakyat diadakan.
Namun seperti kata seorang penganalisis, Abdullah Zaik, antara cabaran besar Ikhwan untuk ketampuk kuasa juga ialah soal hubungan Mesir dengan Israel.
Tidak tergambar dalam fikiran bahawa Ikhwan akan meneruskan dasar sedia ada yang mengiktiraf Israel, kerana perubahan dasar itu akan merubah kedudukan Mesir dari negara sekutu kepada musuh yang mengancam.
Jadi secara teorinya tiada pilihan ideal untuk Ikhwan, untuk setakat ini penyelesaian terbaik bagi Ikhwan dan Mesir ialah kerajaan campuran yang luas yang tidak menampilkan Ikhwan sebagai pemain utama atau di barisan hadapan.
Adakah gerakan Islam ini sekali lagi rela untuk membiarkan pegorbanan rakyat dituai oleh golongan sekular pro Barat?.
Adalah suatu yang tidak dapat ditolak kemungkinan gerakan Islam mengambil keputusan nekad untuk membuat perubahan total biar apa pun pengorbanan yang terpaksa dibuat.
Jika dilihat dari dimensi strategi yang lebih menyeluruh, kebangkitan rakyat yang merebak keseluruh dunia Arab sepatutnya dilabur dengan baik oleh gerakan Islam untuk membuat perubahan yang lebih total.
Pendirian sederhana Ikhwan Mesir mungkin tidak munasabah dalam kontek perkembangan serantau kerana gerakan Islam sepatutnya bergerak dalam skop yang lebih luas, menyeluruh serta terselaras untuk membuat kebangkitan serentak.
Selepas Tunisia dan Mesir, gerakan pendemokrasian dan tuntutan pembaharuan menjalar ke Bahrain pula.Penunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain pula memenuhi sebuah dataran di ibu negara itu, 16 Februari. Keb
angkitan raiyat Bahrain yang berinspirasikan kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia ini menuntut Perdana Menteri, Sheikh Khalifa bin Salman al-Khalifa berundur selepas memegang jawatan itu selama empat dekad bermula semasa kemerdekaan Bahrain pada 1971.
Orang ramai juga enggan bersurai walaupun selepas pemimpin negara itu memohon maaf atas kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis.
Selain itu, terdapat laporan awal mengenai jaringan internet di Bahrain mula disekat oleh kerajaan bagi menghalang penunjuk perasaan menganjurkan protes, sama seperti yang berlaku di Mesir, akhir bulan lalu.
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Bulatan Mutiara di Manama yang berfungsi serupa dengan Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sebagai pusat protes.
Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al-Khalifa mengucapkan takziah atas kematian dua penduduk negara itu dan berjanji akan menyiasat pembunuhan mereka, 15 Februarai lalu.
Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung protes di Bahrain, yang juga sekutu kuat Washington.Sejauhmana gerakan revolusi yang dipimpin rakyat bawahan di Bahrain ini mampu menggulingkan pemeritah pro-Amerika ini, masih terlalu awal untuk diperkatakan.
Namun apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia mampu membuka jalan kepada rakyat di Bahrain untuk tekad menjatuhkan pemerintahan kuku besi yang berjalan lebih empat dekad lamanya.
Begitupun, dalam mendepani tuntutan demokrasi rakyat di Bahrain pula, terlalu banyak persoalan yang perlu di jawab oleh pembuat polisi di Rumah Putih (White House) melalui Presidennya, Barrack Obama.
Apakah mereka (Amerika) telah bersedia untuk merubah polisi luarnya di Timur Tengah lebih-lebih lagi apabila mereka melihat rakyat di sana mula sedar dan gerakan Islam kembali hidup. Ada empa
t faktor besar yang mempengaruhi pertimbangan ini, pertamanya pengaruh rejim Zionis Israel yang begitu kuat ke atas Amerika Syarikat.
Mereka percaya bahawa kebangkitan Islam melalui demokrasi yang di pelopori oleh gerakan Islam adalah amat bahaya kepada 'keamanan’ di rantau tersebut.
Ini kerana Amerika bimbang akan masa depan serta survival rejim Zionis Israel yang perlu di pertahankan bagi menghadapi kebangkitan ini.
Seterusnya semua pimpinan negara Arab yang dianggap rakan dan pasukan mereka kini mula dipertikai dan menerima nasib malang apabila rakyat mula menjatuhkan pemimpin mereka dengan menggunakan ruang demokrasi yang juga dihalalkan Amerika.
Ketiganya kebangkitan Islam serta gerakannya menjadi musuh utama kepada Amerika selepas mereka berjaya meleburkan gerakan sosialis dan kominisme yang dilakar Soviet dan kemudiannya kini Russia.
Paling menyeramkan Amerika ialah musuh ketat mereka iaitu Iran yang secara lantang menyuarakan sokongan kepada rakyat di Mesir, Tunisia dan Bahrain dalam menjatuhkan pemimpin pro-Amerika.
Amerika mula menaja beberapa pergerakan kumpulan di Iran untuk mensabotaj kerajaan pimpinan Presiden Mahmoud Ahmedinejad dengan mengadakan tunjuk perasaan yang kemudiannya disokong melalui kenyataan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.
Kononnya bantahan rakyat di Iran (tajaan Amerika) ini adalah suara demokrasi menuntut perubahan di negara tersebut, sedangkan dunia sudah mengetahui hakikat kebencian Amerika terhadap pentadbiran Ahmedinejad.
Akhirnya pihak risikan Amerika seperti CIA dan FBI terus menerus meletakkan bahawa pertubuhan serta gerakan Islam adalah amat bahaya kepada masa depan Amerika dalam arena politik antarabangsa.
Cadangan-cadangan yang di berikan untuk menghadapi pertubuhan-pertubuhan Islam adalah bersifat 'menghapuskan pengganas'.
Persoalannya apakah Washington telah bersedia menerima kenyataan bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di Mesir, Tunisia dan Bahrain ini sekali lagi akan menduga polisi luarnya serta mampu melumpuhkan pengaruh mereka ke atas bumi Arab itu?
Atau apakah Washington sudah bersedia melonggarkan hegemoni mereka terhadap negara-negara umat Islam?
Apakah 'kuasa' pemerintah yang di dokong oleh Washington ini sudah boleh di ganti dengan pihak lain terutamanya dari pertubuhan Islam melalui proses demokrasi?
Sebagai permulaan Amerika mesti melihat gerakan serta pertubuhan Islam sebagai sebahagian dari unsur-unsur positif dan pengukuhan ke arah pendemokrasian di Timur Tengah serta negara-negara Islam seluruhnya.
No comments:
Post a Comment