Oleh www.hasanhusaini.com
05 Rabiul Awal 1432/08 Feb 2011
Zaman ini tak bersempadan lagi. Segalanya telus, terus menerus tanpa hijab. Andai dulu, untuk berhubung dengan rakan yang berada ribuan kilometer, kita hanya mampu mengirim surat yang akan berbalas sebulan kemudian. Maka kini kita sudah mampu melihat dan bercakap dengannya melalui YM dan sidang video.
Alhamdulillah. Segalanya mudah kepada kita.Begitulah ibu saya diyakinkan tentang dekatnya anak lelakinya untuk disantuni, meski jasad saya telah berada ribuan kilometer di tanah arab.
Pakai pula topi hitam untuk melihat keburukanya pula. Jangan hanya dipandang pada sudut positif sahaja, kita akan tenggelam dalam arus ketidakpedulian terhadap ancaman yang juga datang berpakej dengan manfaat tadi.
Sekitar awal 2000, gelombang 'kerosakan' bermula dengan chatting. Cybercafe menjadi tumpuan anak-anak muda bersembang melalui maya. Implikasinya cukup mengejutkan. Malah ada yang akhirnya dinodai hasil dari chatting tersebut. Kerosakan dari teknologi yang sama.
Selepas itu, timbul pula masalah pornografi. Serangan ini cepat menular ke sekolah-sekolah yang secara tidak langsung membantu ke arah kebejatan ini apabila menyediakan kemudahan komputer berinternet tanpa kawalan kepada para pelajar.
Namun, harus diingati bahwa, bukan hanya pemuda dan remaja sahaja yang tenggelam dalam arus pornografi bahkan juga para 'petua' yang rata-ratanya berpangkat ayah dan ibu malah datuk.
Sekali lagi gelombang kerosakan melanda dari teknologi yang sama.
Kini, hampir genap 10 tahun negara ini melalui zaman Millenium. Segala peralatan yang tersedia cukup canggih dan memudahakan para pengguna.
Saya kini kerap berurusniaga hanya dengan bebutang keyboard IPHONE . Mudah dan cepat. Jarang sekali ke ATM untuk mengepam not-not merah malah hijau. Segalanya hampir boleh dicapai hanya menggerakkan hujung jari.
Akhbar digital semakin meluas kepenggunaannya. Blog dan laman web tumbuh melata bagai cendawan lepas hujan. Facebook bagaikan tidak boleh dipisahkan dari rutin seharian.
ISMAIL KAMUS
Andai dulu, gelombang kerosakan kecanggihan ICT ini hanya jelas kepada mereka yang 'kurang baik'. Tidak lagi kini. Gelombang itu juga telah menghidu orang-orang baik, ustaz-ustaz, orang agama, politik dan sebagainya. Cuma konteksnya mungkin berbeza.
September 2009 yang lalu, saya menerima lebih 50 sms dan lebih 70 email. Berita kematian Us Ismail Kamus, penceramah terkenal di Malaysia. Sewaktu sms pertama bertandang, saya menyemak internet, mencari-cari pengesahan berita tersebut. Akhirnya terjumpa kenyataan keluarga Us Ismail Kamus yang menafikan perkara tersebut seawal tengah hari 27 September 2009.
Namun, berita itu tetap tersebar sehingga ke tengah hari 28 September 2009 dan ada juga yang bersudaha untuk menyebarkannya melalui saluran radio.
Dan hakikat yang sedih untuk diterima ialah, mereka 'orang baik-baik'.
Letih untuk memperbaiki semula keadaan itu. Reply menanyak keabsahan, supaya si penghantar lebih beringat-ingat dan mengajar mereka tentang 'minda mengkaji dan menyelidik', bukan minda makan suap.
KISAH MESIR
Mesir dilanda kebankitan rakyat. Tunjuk perasaan diadakan di mana-mana. Alhamdulillah, ummat ini sudah ramai yang mahu cakna. Bukan lagi layu dan lena. Mereka bangkit bertanyakan khabar dan mencari berita. Lebih bagus, mereka berkongsi berita dan cerita.
Ya, baik andai berita itu betul dan tepat. Sebaliknya, andai berita itu samar dan palsu, keburukan pasti akan lebih banyak dari kebaikan.
Kecaknaan dan kesudian untuk menyebarkan berita perlu dikembarkan dengan proses selidik dan kaji.
Itu baru kecil jika dibandingkan dengan penyalahgunaan QALAM yang amat berleluasa sekarang ini.
Perompak maya, perogol maya, penipu maya, penculik maya malah pembunuh maya.
Belum disenaraikan lagi fitnah dan propangan yang memecahbelahkan umat.
Candu itu telah tersebar, jangan pula kita yang menjadi pengedar!
Maka hari ini, minda kita harus berubah untuk mendepani arus zaman yang kian mencabar. Minda harus berada dalam kelas pertama. Minda itu adala minda mengkaji dan menyelidik. Minda yang sentiasa berfikir dan meneliti. Bukan minda jahiliyyah yang hanya menerima apa yang disuap.
Bukankah firman Allah sentiasa mengajak kita mengkaji, menyelidik dan berfikir...?
Saya cuba menulis satu dua artikel, tetapi nyata sekali menulis tanpa hati dan perHATIan, sukar sekali. Maka ada baiknya saya praktikkan ingatan Nabi SAW.
“Tatkala menjelangnya Qiamat, (berlakulah beberapa perkara iaitu), orang memberi salam hanya kepada golongan tertentu atau kerana ada kepentingan tertentu sahaja, berleluasanya perniagaan hingga isteri (terpaksa) menolong suaminya dalam perniagaan itu, gejala memutuskan silaturahmi, kesaksian yang palsu dan penyembunyian kesaksian yang benar, serta tersebar luasnya pena (tulisan bahan bacaan)”. [Hadith riwayat Ahmad]
PESAN KEPADA WARTAWAN
Kerja sebagai wartawan mengundang glamour. Semakin panas isu yang dimainkan, makin laku akhbar dan tabloid akan terjual. Namun, jangan lupa akan kepanasan isu itu akan berkadar langsung dengan panasnya api neraka, andai ada yang tidak betul dan tidak kena.
Tulisan, pada saya lebih berbahaya dari kalam lidah. Tulisan biasanya kekal, modah disalin dan didokumenkan. Kekal dalam peradaban. Tulisan yang baik, kekal dalam rahmat dan berkat. Tulisan yang buruk, kekal dalam caci dan laknat. Sang penulis akan diganjar Allah. Baik dan buruk, tunggu dan tanggunglah.
TAQWA DI MEDIA
Penulis bertaqwa dengan menulis yang betul dan hak. Pembaca bertaqwa dengan meneliti dan menapis, bukan asal baca dan telan. Bukankah Allah berpesan supaya ditabayyun berita yang datang dari sang fasiq?
Dan bukankah Rasulullah juga berpesan dengan satu pesanan yang tidak harus kita lupakan?
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jangan nanti terjebak pada kejahatan lisan yang diterjemahkan oleh tangan, pada menyatakan perkara yang sia-sia, apatah lagi yang mengundang dosa.
“Apakah sesiapa dari kalanganmu sanggup memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati, sedangkan kamu amat membenci perlakuan itu?”
Saudara yang diumpat itu dianggap sebagai mayat kerana mayat tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya ketika disakiti. Begitulah perihalnya pada memperkatakan benda-benda yang tidak elok tentang seseorang di belakangnya.
Di alam internet, teknologi dan ICT yang serba mudah ini, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja.Hanya iman yang menjadi pagar dan sempadannya, Islam yang menjadi passportnya.
Dalam kesyukuran kita menyambut nikmat Allah berupa medium komunikasi dan penyebaran maklumat, hati berasa gundah dengan kebinasaan yang datang beriringan. Bertaqwalah kepada Allah, wahai penulis, wahai pembaca…
Demi generasi masa depan, ubahlah minda kita. Ubahlah tindakan kita. Ubah juga kerajaan Malaysia.
No comments:
Post a Comment