Oleh Safar Jumaat
Tiba-tiba Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, "saya akan menggunakan kuasa saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan siapa yang boleh menjadi calon pada pilihan raya akan datang". Alasan Najib, supaya keputusannya itu dapat memastikan kemenangan dan mengisi kepentingan BN.
Beliau bercakap di Sarawak ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) dekat Kuching baru-baru ini. Turut hadir di konvensyen itu Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.
Khabarnya, Najib bercakap dalam nada yang berlainan di Semenanjung, ketika beliau sering berjanji akan memilih calon yang dikehendaki pengundi dan bukan yang rapat dengannya atau calon yang kuat melobi.
Barangkali, Najib serik dengan calon pilihan SUPP, Robert Lau Hui Yew yang terpilih menjadi calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, Mei 2010, apabila kalah kepada calon DAP, Wong Ho Leong dengan majoriti 398 undi.
Tidak mustahil juga, Najib tidak minat dengan Presiden SUPP, Dr. George Chan Hong Nam yang dianggap gagal memainkan peranan bagi menarik pengundi Cina kembali menyokong BN dalam PRK Sibu tersebut.
Menoleh sejenak bagaimana pemilihan calon Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan, yang dikatakan penuh kontroversi apabila bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri tidak bersetuju jika pucuk pimpinan memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN, tetapi atas kehendak pengundi, Mohd Isa terpaksa dipilih semula.
Waktu itu, jika Najib menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi BN, mustahil beliau akan memilih Mohd Isa kerana Mohd Isa bukan calon yang dikehendaki Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan. Di tambah dengan pandangan Dr. Mahathir, menjadikan Najib serba salah. Namun, maklumat yang Najib kutip dari bawah, rata-rata mahukan Mohd Isa, menyebabkan waktu itu, Najib tidak dapat menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi BN.
Perlu disebut, beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno sendiri tidak bersetuju jika Mohd Isa dicalonkan semula. Antara yang lantang menentang nama Mohd Isa dicalonkan ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah dan Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran. Kedua-duanya adalah anggota MT Umno.
Nampaknya, Najib sudah bercanggah pendirian. Satu ketika, beliau akan memilih calon tanpa menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi BN, tetapi dalam konteks SUPP di Sarawak, Najib bercakap dalam nada yang berbeza.
Apakah Najib sudah hilang kepercayaan kepada SUPP? Atau Najib tidak mahu lagi cadangan datangnya dari Dr. George Chan sebagai Presiden SUPP? Atau, Najib mempunyai agen dalam SUPP yang mahu menjatuhkan Dr. George Chan dari kedudukan tertinggi dalam parti itu?
Najib dipetik sebagai berkata. "tolong berikan saya hanya calon boleh menang, diterima dan mendapat sokongan majoriti rakyat, bukan kerana mereka pilihan parti disebabkan kedudukannya dalam parti.
"Pada masa sama, dekati, selami serta penuhi kehendak sebenar rakyat dengan berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat, bukan buat apa yang kita fikir rakyat mahu, tetapi apa yang rakyat benar-benar mahu. Beliau berkata, apa guna jika calon yang dikemukakan itu tua, tetapi tak boleh menang. Apa guna juga jika mereka calon baru yang muda jika tak boleh menang. Jangan beri saya calon kerana mereka orang penting atau popular dalam parti, bukan di kalangan rakyat."
Ada juga yang berpendapat, Najib hanya memerlukan SUPP ketika parti itu kuat dan dapat memberi sumbangan kerusi kepada BN. Dalam masa yang sama, walaupun kata-kata keras Najib ini dilontarkan ketika Konvensyen SUPP, tetapi ada yang berpendapat, Najib menyindir kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dikatakan sudah hampir 30 tahun menjadi Ketua Menteri.
Namun, disebabkan sumbangan Taib yang terlalu besar kepada BN di peringkat Persekutuan, Najib mempunyai rasa cuak untuk berterus-terang kepada Taib. Jadi, jalan yang paling mudah, "pukul anak, sindir menantu".
Najib juga mengingatkan SUPP, bahawa pemilihan calon dalam pilihan raya akan datang bukan berdasarkan kedudukan dalam parti tetapi seseorang itu mestilah diterima dan mendapat sokongan majoriti rakyat. Kerunsingan bersarang di dada Najib. Jika BN Sarawak kecundang kali ini, ia memberi petanda bahawa BN tidak akan dapat mengekalkan kuasa lagi di dalam PRU 13 akan datang.
Sarawak dan Sabah adalah "simpanan tetap" BN tetapi dengan kekalahan BN di dalam PRK Sibu, tahun lalu, Najib benar-benar kecewa selepas BN menang bergaya di Dun Bagan Pinang dan menang tipis di PRK Parlimen Hulu Selangor.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006, SUPP tewas lapan dari 19 kerusi yang diperuntukan kepadanya. SUPP merupakan parti komponen BN kedua terbesar di Sarawak, selepas PBB pimpinan Taib. Najib sebenarnya tidak sepatutnya bercakap secara terbuka kehendak hatinya untuk memastikan BN terus berkuasa, dengan menjadikan SUPP sebagai "bahan belasahan" seolah-olah selama ini SUPP tidak pernah ‘berbudi’ kepada BN di Sarawak dan Persekutuan.
Kenapa, ketika SUPP tewas lapan dari 19 kerusi DUN Sarawak, Najib mahu membelasah SUPP seolah-olah kekalahan SUPP itu hanya kerana pengundi Cina tidak mengundi BN, tetapi dalam masa yang sama, BN tidak pernah membuat kajian menyeluruh, mengapa berlaku begitu teruk kemerostan sokongan pengundi Cina terhadap calon BN (SUPP) dalam Pilihan Raya Negeri 2006 yang lalu.
Jika Najib seorang pemimpin yang berpegang kepada semangat setiakawan, sepatutnya beliau tampil membantu SUPP habis-habisan dan bukan dengan mengukit pemberian kerajaan kepada masyarakat Cina di Sarawak tetapi masyarakat Cina tidak memberi sokongan kepada BN dalam pilihan raya.
Sumber >> Safar Jumaat
No comments:
Post a Comment