" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Wednesday, March 16, 2011

Pesanan doktor: Mestikah dipatuhi?

Oleh NURUL IZZAH

Membuat diagnosis yang betul dan memberikan rawatan atau ubat yang sepatutnya kepada sesuatu penyakit adalah prinsip pokok perubatan. Seorang doktor pakar yang berpengalaman akan tahu apa punca penyakit untuk dikenal pasti dan apakah ubatnya. Seandainya ada doktor yang salah atau sengaja tidak mencari punca penyakit yang sebenar atas sebab-sebab tertentu, ia bermakna beliau telah melanggar etika jawatan beliau.

Bayangkan seorang doktor itu ‘tahu’ pesakit sedang mengidap sakit denggi tetapi beliau mengatakan hanya demam panas; lalu segala bentuk rawatan dan ubat tidak berguna malah boleh membahayakan. Ini adalah tindakan pecah amanah yang tidak boleh dimaafkan.

Oleh yang demikian, sekiranya kita menggunakan contoh pendekatan ini kepada keadaan negara kita, apakah mungkin penyakit yang sedang dialami dan apakah ubatnya?

Sebagai langkah pertama, kita mesti melihat kepada beberapa fakta yang mengukur kesihatan negara kita untuk mengenal pasti sama ada negara kita berpenyakit ataupun tidak.

Fakta pertama adalah ruang demokrasi. Wujudnya akta darurat yang masih berkuat kuasa yang melibatkan lebih 82 ordinan dan peraturan berkaitan ketika negara tidak ada ancaman musuh-musuh luar hanya memperkuatkan persepsi bahawa ia dijadikan sebagai alat politik untuk mengawal dan menyempitkan ruang demokrasi. Ini boleh diibaratkan negara kita dijajah semula oleh Lanun Politik.

Lanun politik menggunakan semua institusi dan undang-undang untuk terus berkuasa. Sikap lanun politik sama seperti lanun di Somalia mahupun di mana-mana sahaja iaitu merampas sesuatu yang bukan haknya; hanya barangan rampasan bukannya kapal tetapi hak demokrasi rakyat.

Negara manakah rakyat masih perlu meminta permit untuk berhimpun? Negara manakah yang membelanjakan wang yang besar untuk memantau dan mengintip rakyat sendiri? Negara manakah yang tidak membenarkan media bebas bersuara? Negara manakah yang menangkap dan menahan rakyat tanpa bicara? Negara manakah rakyat yang ditahan diseksa dan ramai yang mati dalam tahanan? Negara manakah yang memanipulasikan pilihan raya untuk mengekalkan kuasa? Jawapannya adalah Zimbabwe, Korea Utara, Libya dan suatu ketika dahulu Mesir dan Tunisia.

Fakta kedua adalah pengurusan ekonomi. Pengurusan berhemah dan bukan rompakan ekonomi menggila (economic plundering) menjadi hak rakyat di dalam sebuah demokrasi yang sihat. Pengurusan ekonomi yang saksama akan mengembangkan ekonomi secara berkesan. Malangnya, Malaysia menyaksikan kecutan daya ekonomi sehingga sebuah negara jiran yang sepuluh kali lebih kecil daripada negara kita telah memintas kita untuk menjadi ekonomi ketiga besar di Asean, (rujuk Singapura). Kalau ini bukan sakit daya saing ekonomi, apa pula namanya?

Di sinilah kita dapat melihat bagaimana Lanun Ekonomi pula wujud yang apabila bersama Lanun Politik menjadi virus kepada kesihatan tubuh badan negara kita.

Kalau Lanun Politik merampas hak demokrasi rakyat, Lanun Ekonomi pula merampas hak kekayaan rakyat melalui amalan rasuah, projek-projek besar yang dimahalkan dengan sengaja, pemberian konsesi lebuh raya dan penjanaan kuasa yang berat sebelah, pembelian harta dan peralatan yang terlampau tinggi harganya dan bermacam lagi termasuk yang terbaru yang mana khazanah minyak negara akan dirampas secara halus melalui skim perkongsian risiko baru untuk meneroka telaga-telaga minyak yang dikatakan isi minyaknya sipi-sipi (‘marginal’) sahaja, apabila semua ini dihitung secara kasar akan mendapati RM 1 trillion (RM1,000,000,000,000) harta rakyat selama ini dan akan datang menjadi milik Lanun Ekonomi. Sebagai contoh kita dapat melihat dakyah Lanun Politik dan Lanun Ekonomi berfungsi untuk melemahkan serta melemaskan demokrasi dan memufliskan ekonomi rakyat dengan mudah adalah bagaimana perbelanjaan RM2.4 juta untuk dakwat kekal yang patut digunakan selepas rakyat mengundi di pilihan raya tidak dibenarkan. Dan apabila dibandingkan dengan perbelanjaan RM3.4 bilion untuk kapal selam yang baru boleh menyelam menzahirkan kepada kita apakah keutamaan yang diberikan iaitu sama ada hanya berbelanja untuk mempertahankan negara tanpa mempertahankan demokrasi?

Dan apabila dilihat subsidi rakyat dengan pantas ditarik manakala subsidi untuk syarikat-syarikat besar dikekalkan, keuntungan diutamakan dan rakyat diketepikan amat menyedihkan. Harga barang yang semakin naik, kadar gaji yang tidak meningkat dan peluang pekerjaan yang terhad hanya terus menyempitkan kehidupan rakyat.

Oleh itu, kalau ini adalah keadaan kesihatan negara, apakah mungkin ubat yang seorang doktor yang jujur dan bukan doktor yang hanya pandai memutar belitkan fakta akan tawarkan? Ubat kepada penyakit yang dibawa virus Lanun Politik dan Lanun Ekonomi terletak dalam ucapan titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Parlimen di mana baginda telah memberikan titah saranan agar patuh kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Dalam erti kata lain, ubatnya adalah reformasi politik untuk memulihkan demokrasi berperlembagaan agar rakyat menjadi tuan di negara sendiri yang sudah lama merdeka dan tidak terus dirantaikan dengan undang-undang darurat dan dimiskinkan dengan pengurusan ekonomi yang lebih bersifat kolonial.

Marilah semua parti-parti politik yang wakil rakyatnya sedang bersidang untuk bersama-sama meluluskan rang undang-undang Akta Pemansuhan Pengisytiharan Darurat serta menyarankan agar SPR menggunakan dakwat kekal sebagai langkah awal yang bukan sahaja mampu malah terlalu murah untuk dilaksanakan demi mempertahankan demokrasi berperlembagaan berbanding dengan berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk peralatan dan aset mempertahankan sempadan negara.

Sekarang apa pula kata doktor yang ada di dalam rumah kaca itu?

Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111