Tinggal kurang 12 jam kempen pilihan raya negeri ke-10 berakhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan yakin mengisytiharkan Pakatan Rakyat kini meletakkan sasaran menjangkaui matlamat awal menafikan majoriti dua pertiga dan merampas bumi Kenyalang daripada penguasaan BN. Bagaimanapun, Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, jam-jam terakhir adalah penting bagi memastkan langkah terdesak BN menggunakan wang dan taktik-taktik kotor untuk mencuri undi dan sokongan kepada pembangkang tidak berjaya.
“Kami sangat optimistik, kami bergerak menjangkaui (matlamat menafikan majoriti dua pertiga BN), kami bergerak untuk menafikan monopoli BN di negeri ini,” kata beliau. Pun begitu Anwar tidak mengatakan sama ada perikatan DAP-PAS-PKR itu boleh merampas keseluruhan negeri Sarawak sambil menegaskan tentang usaha ejen-ejen BN membeli undi, yang menurutnya sukar untuk ditahan.“Kami berusaha kerja meskipun kami tahu ia adalah satu tugas yang sukar.
“Tetapi jika proses (pilihan raya) adalah bebas dan adil dari peringkat awal lagi, saya tidak ragu-ragu mengenai (peluang itu)… bagaimanapun, kami melawan keseluruhan jentera kerajaan. “Kami prihatin dengan perkembangan sepanjang beberapa jam akan datang,” katanya lagi.
Dua hari lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kejayaan BN mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah “satu bonus.” Pengerusi BN itu berkata sasaran mereka ialah mengekalkan kerajaan negeri.
Kempen BN berhadapan dengan saingan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negeri itu termasuk berhadapan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 esok akan mencecah 75 peratus.
“Berdasarkan keseriusan kempen yang sedang berlangsung, kami menjangkakan peratusan keluar mengundi akan meningkat sehingga antara 65 dan 75 peratus,” kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Peratusan paling tinggi disaksikan ketika pilihan raya negeri yang pertama pada 1969 iaitu 74.1 peratus. Pada pilihan raya negeri 2006, peratusan keluar mengundi hanya 63.2 peratus. Malah ini kali pertama sejak 1987 BN berhadapan dengan saingan di kesemua kerusi./KLT
No comments:
Post a Comment