KUALA LUMPUR, : Mulai 1 Mei ini, Datuk Seri Judin Abdul Karim akan meninggalkan kerusi Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan pihak yang sepatutnya merasa kesal dengannya adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Seri Mohd Sidek Hassan.
Ini kerana, Sidek juga adalah Pengerusi Institut Intergriti Malaysia (IIM) yang berusaha untuk mempastikan rakyat Malaysia khasnya kakitangan kerajaan yang berada di bawahnya penuh intergriti.
Bagi kakitangan JKR, Judin ) adalah antara kakitangan yang pernah mereka kenali sebagai pemimpin yang penuh intergriti yang menjaga kepentingan negara di tempat yang sensitif itu.
"Sidek adalah orang yang patut merasa kesal dengan apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Judin," kata seorang pegawai kanan JKR.
Ini kerana, setahu beliau, Judin adalah salah satu kakitangan kerajaan yang memenuhi kehendak segala nama singkatan promosi yang dibuat oleh kerajaan sekarang untuk meningkatkan intergritinya.
Pagi tadi, Judin memaklumkan kepada kakitangan JKR yang rapat dengannya bahawa surat menukar beliau dari jawatan itu sudah tiba.
Desas-desus Judin akan dikeluarkan dari JKR telah bertiup sekian laman. Satu blog pro Umno menamakan Judin sebagai Ketua Pengarah yang pro pembangkang.
"Demi maruah Umno dan kerajaan BN serta Melayu dan institusi Raja-Raja kumpulan SATE yang merupakan duri dalam daging harus disingkirkan dari JKR," tulis blog itu pada 2 November 2010 lagi.
Padahal, Judin bekerja mengikut garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan dalam mencapai sasaran kerajaan sendiri termasuk NKRA.
Isu terkini yang menekan Judin adalah projek Istana Negara yang baru apabila kontraktornya dianggap kakitangan JKR sebagai sangat 'hebat' dan mempunyai kuasa yang sangat tinggi dalam menjalankan kerja-kerjanya.
"Hanya Ketua Pengarah kami sahaja menjadi tempat kami bergantung dalam mengawal kehendak-kehendak mereka," kata pegawai kanan JKR itu.
Selain isu itu, katanya, ke mana sebenarnya Judin hendak diletak selepas dikeluarkan dari JKR agak sukar sebenarnya.
Ini kerana, Judin kini berada di Turus 3 perjawatan kerajaan, iaitu antara kakitangan kerajaan yang paling tinggi kedudukannya setaraf dengan Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera.
"Kami dengar dia akan dihantar ke CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) di mana satu jawatan baru akan dibentuk untuk beliau di situ," kata pegawai kanan itu.
No comments:
Post a Comment