" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Friday, April 15, 2011

Peranan parti politik dalam kegiatan sosial, pendidikan dan ekonomi

Oleh Abu Firdaus

SAYA mempunyai pendirian bahawa parti politik tidak wajar terlibat dalam kegiatan sosial, pendidikan dan ekonomi. Ini kerana jika terlibat dengan kegiatan-kegiatan itu tumpuan terhadap politik akan tertumpul dengan mengendalikan projek-projek sosial, pendidikan dan ekonomi yang merenyahkan.

Tetapi banyak ahli mempunyai pandangan berbeza. Hujah mereka adalah PAS bukan saja sebagai parti politik tetapi ia merupakan jemaah yang wajar terlibat dengan pelbagai kegiatan.

Lagipun pihak lain pula seperti parti-parti dalam Barisan Nasional juga terlibat dengan kegiatan sosial, pendidikan dan ekonomi. Mengapa pula bukan PAS?

Dari segi pengalaman, PAS pernah aktif dalam kegiatan ekonomi melalui Darul Mal dan Koperasi Al-Hilal (Kohilal) yang natijahnya adalah mengecewakan. Maka apabila sudah mengalami kesemua ini dapat dirasakan bahawa kegiatan ekonomi akan menjelaskan bukan saja tumpuan parti tetapi juga merosakkan reputasi parti.

Oleh kerana pengalaman pahit itu, mungkin kini banyak ahli-ahli parti yang dapat diyakini bahawa penglibatan dalam kegiatan ekonomi oleh parti mendedahkan diri kepada banyak masalah dan nama baik. Bagaimanapun, dari segi pendidikan, banyak pihak tentu setuju supaya parti politik terlibat sama.

Ini kerana PAS yang dilihat sebagai suatu jemaah perlu menyediakan institusi-institusi bagi mendidik anak-anak masyarakat untuk menjadi seorang penganut Islam yang komited terhadap perjuangan. Maka institusi pendidikan diwujudkan daripada sekolah tadika iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) hinggalah kepada sekolah rendah dan menengah sebelum disediakan untuk ke peringkat pengajian tinggi. Antara institusi yang pernah diwujudkan oleh ahli-ahli PAS untuk tujuan ini ialah Institut Ibnu Sina (Intis) yang sudah tiada lagi.

Dari tahun 80-an hingga ke hari ini, banyak sekolah ditubuhkan, dan pula yang telah ditutup. Atas banyak pengorbanan dan adakalanya naïf hingga akhirnya hanya mengecewakan ahli-ahli dan pendukung-pendukung parti. Akibatnya nama parti juga terbabit oleh kerana kelemahan sekolah, atau guru serta pentadbir.

Sebaliknya, anak-anak ahli PAS yang dihantar ke sekolah itu telah dinafikan proses pendidikan kebangsaan yang mendapat biaya lebih mencukupi daripada peruntukan kerajaan. Ditambah pula, anak-anak yang memasuki sekolah-sekolah anjuran ahli-ahli PAS ini pula terasing daripada masyarakat arus perdana. Justeru apabila mereka mendewasa dan aktif dalam parti, mereka tidak menjiwai masyarakat luar yang hendak diwakilinya dalam politik.

Sememangnya pendidikan kebangsaan dipandang oleh banyak ahli PAS sebagai sekular dan tidak memenuhi aspirasi ibu bapa untuk melahirkan Muslimin dan Muslimat yang diidamkan. Tetapi itu tidak bermakna ia harus ditinggalkan dan mewujudakan aliran lain bagi menyainginya. Ini kerana PAS bukanlah sebuah jemaah Islam yang terasing daripada masyarakat setempat. PAS adalah parti politik yang memperjuangkan Islam dalam masyarakat Malaysia.

Inilah hakikat yang perlu dipandang dalam menghadapi sistem pendidikan negara. Masyarakat Malaysia termasuk ahli-ahli PAS adalah warganegara yang membayar cukai di mana sebahagian dananya adalah untuk membiayai pendidikan di negara ini. PAS pula adalah sebuah parti politik yang terdaftar menurut undang-undang serta dalam demokrasi yang sudah tentu bertanggungjawab mempersoalkan segala dasar-dasar dalam negara.

Maka dalam kedudukan inilah, tumpuan PAS sebagai parti politik adalah menyelidiki dan mempertikaikan apa-apa isu berhubung dengan dasar dan pelaksanaan pendidikan negara, serta supaya kerajaan menderma tekanan untuk melakukan perubahan ke atas sistem pelajaran yang mereka jalankan.

Perhatian terhadap pendidikan oleh sesebuah parti politik adalah tertumpu kepada hujahan yang disampaikan di dewan-dewan perundangan serta ceramah-ceramah di seluruh negara, serta bukan membina sendiri sekolah-sekolah yang akhirnya hanya dapat menubuhkan badan-badan yang tidak profesional serta terdedah kepada banyak kesilapan.

Sebagai jemaah Islam sudah tentu PAS mempunyai pendirian terhadap apa yang disebut sebagai pendidikan. Ia boleh dirumus oleh badan-badan pemikir parti dan dibahas oleh ahli-ahli, dan jika dapat persetujuan bersama, maka parti boleh menetapkan sesuatu pendirian mengenai pendidikan.

Kesemua kegiatan politik itu tidak membabitkan mendirikan sendiri sekolah-sekolah. Namun begitu kalau ahli-ahli hendak mendirikan sekolah masing-masing, mereka bebas melakukannya tetapi janganlah hendaknya ia dibangun atas nama parti, sama ada cawangan, kawasan ataupun negeri.

Parti boleh membela sekolah-sekolah tertentu yang difikirkan wajar. Umpamanya membela institusi pondok, madrasah dan sekolah agama. Tetapi parti tidak harus membina sendiri sekolah-sekolah itu dan kemudian tersangkut dengan masalah pentadbiran harian.

Sememangnya dalam pengalaman parti, Pasti merupakan institusi yang berjaya. Salah sebuah aktiviti parti yang tidak dinafikan kejayaannya. Namun begitu tentulah bagi mereka yang pengalaman dapat disedari pelbagai masalah mengenai Pasti ini. Tetapi adakah orang ramai yang bukan penyokong parti akan menghantar anak-anaknya ke situ? Tentulah tidak.

Sedangkan parti politik bergerak dan menyertai demokrasi adalah kerana untuk berkhidmat dan mewakili suara ramai. Bagi PAS pula, sebagai parti yang memperjuangkan Islam, apa saja langkah politiknya adalah sebahagian daripada dakwah. Maknanya usaha parti adalah untuk mencerminkan aspirasi Islam di kalangan rakyat, tidak kira sama ada mereka itu ahli PAS atau tidak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111