" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Friday, April 15, 2011

Sampai masanya pejuang bahasa pilih Pakatan Rakyat

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

ADA banyak sebab boleh dirasionalkan sekiranya mana-mana pihak yang ada rasa cinta terhadap kedaulatan bahasa Melayu terfikir untuk mengalih kepercayaan yang selama ini diberikan kepada Barisan Nasional (BN).

Paling munasabah diambil kira ialah betapa tempoh lebih separuh abad parti itu memerintah negara sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk kita melihat kedudukan bahasa lebih baik sekiranya BN ditunjangi Umno benar-benar bersungguh mengangkat perkara itu.

Malangnya, hakikat yang ada kini adalah sebaliknya. Martabat bahasa Melayu bukan sahaja gagal disanjung lebih tinggi, bahkan semakin terpinggir status dan kepentingannya. Ia menjadi semakin tidak bernilai. Sebarang suara memperjuangkannya juga gagal mendapat ruang secukupnya di tengah-tengah masyarakat, bahkan ada ketikanya turut diperkecilkan.

Isu-isu yang berligar sekitar penggunaan dan penafian peranan bahasa Melayu bukan isu baru. Ia sudah diangkat sebilangan khalayak sejak sekian lama. Ia malah antara intipati utama mencetuskan kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dulu.

Malangnya, penubuhan badan yang sepatutnya membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang kehidupan itu hingga kini gagal mencapai matlamatnya. DBP malah gagal dalam usaha menggalak penggunaan bahasa kebangsaan yang betul secara meluas.

Bukan itu sahaja, badan tersebut didakwa turut berdepan berbagai karenah lain yang tidak memungkinkan ia berfungsi secara sepatutnya. Justeru, ia mengundang beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan inisiatif dinamakan Gerakan Darurat Bahasa (GDB), awal bulan lalu.

Inisiatif disepakati 60 NGO itu bermatlamat mengembalikan semula peranan DBP yang dikatakan menyimpang daripada fungsi asalnya. Salah satu peranan itu sudah tentu selaku pihak bertanggungjawab memastikan penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu.

Untuk itu, GDB menggesa DBP diberikan kuasa undang-undang. Ia tidak wajar dibiarkan sekadar menentukan polisi, tetapi tidak ada kuku dan taring memastikan peraturan itu dipatuhi dan dihayati.

Soalnya, apakah tuntutan itu akan dilayan pihak penguasa negara? Kemungkinan ia menemui nasib malang adalah lebih cerah. Pertama, tuntutan itu hanya datang daripada NGO, yang kebanyakannya tidak ada kaitan atau jaringan jelas dengan mana-mana organisasi parti pemerintah. Selalunya, Umno-BN tidak mudah melayani tuntutan rakyat yang dinilainya bukan daripada kalangan penyokong mereka.

Kedua, memberikan kuasa penguatkuasaan mengenai dasar bahasa kepada DBP ibarat menyediakan laluan tidak selesa buat para pemimpin BN, termasuk sebilangan pemimpin Umno sendiri. Ia bukan sahaja akan menyekat tabiat dan kebiasaan mereka berkomunikasi dalam bahasa selain Melayu, malah kemungkinan akan menyebabkan mereka berdepan dakwaan melanggari peraturan bahasa.

Bukankah merekalah selama ini penoda utama kedaulatan bahasa Melayu? Bercakap kepada wartawan dan media tempatan pun mereka lebih selesa mengetengahkan istilah-istilah asing, sekali gus mengetepikan penggunaan bahasa Melayu. Maka bagaimana diharapkan mereka mempertahankan bahasa ibunda di hadapan para pemimpin atau media asing?

Bukan itu saja. Mereka jugalah yang tampil dengan berbagai-bagai istilah yang direka cipta sesuka hati tanpa mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan tata bahasa Melayu.

Kita tentu tidak akan lupa bagaimana ada menteri yang memperkenalkan istilah ‘kecapaian’ suatu ketika dulu. Ia dibariskan sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan, ‘Budaya Penentu Kecapaian’.

Para pencinta dan pejuang bahasa telah membantah. Ia dikatakan tidak kena tata bahasa dan tidak layak digunakan sebagai ungkapan rasmi untuk negara.

Bagaimanapun kita sedia maklum apa hasilnya. Pekikan dan bantahan pejuang bahasa itu ibarat jatuh ke telinga badak. Ia tidak langsung diendahkan kerajaan. Ungkapan itu terus digunakan juga tanpa sebarang tanda rasa bersalah.

Malah penodaan bahasa terus berlaku oleh BN sendiri. Menteri lain pula muncul dengan istilah ‘infotainmen’. Ia dijadikan tagline satu saluran TV milik kerajaan. Sekali lagi bantahan dan luah rasa pejuang bahasa tidak dihiraukan. BN mengambil masa agak tidak munasabah untuk akhirnya menukar ungkapan itu.

Pengkhianatan BN, khususnya Umno terhadap bahasa kebangsaan tidak terhenti setakat itu. Ia memperkenalkan pula Pengajaran dan Pembelajaran Sains danMatematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Langkah itu sekali lagi menjerukkan nurani pejuang dan pencinta bahasa. Ia menjadi polemik dan bahan perbahasan berpanjangan, yang menyaksikan BN-Umno bermati-matian mempertahankan dasar yang jelas memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu itu.

Sepanjang beberapa episod itu, DBP bagaikan orang bisu. Amat sukar rakyat umum mendengar apa pandangan atau pendirian badan yang sepatutnya mempertahankan martabat bahasa itu.

Boleh jadi mulut-mulut para penguasa badan itu terkunci oleh telunjuk pemerintah. Boleh jadi juga suara mereka gagal menembusi kekebalan media arus perdana dari sebarang unsur tidak menguntungkan pemerintah.

Apa pun, setakat ini komitmen BN dalam isu bahasa amat mengecewakan. Justeru, amat tidak bijak mana-mana pejuang bahasa masih menaruh harapan parti itu akan membantu mereka memperjuangkan isu ini. Sudah sampai masanya mereka mengalih kepercayaan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111