" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Monday, April 11, 2011

Royalti Minyak :Janji MB Ahmad Said Yang Tidak Tertunai

Oleh Dr.Syed azman Syed ahmad

Pada 20 April 2008, sebaik sahaja dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato Sri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa isu royalti petroleum di Terengganu akan diselesaikan segera dengan Kerajaan Pusat bagi menjamin masa depan serta pembangunan rakyat Terengganu.

Beliau berkata bahawa; “Masa sudah tiba untuk bayaran royalti minyak sebanyak 5% yang ditarik baik apabila PAS menawan negeri tersebut dan dikembalikan semula sebagai wang pembiyaan ehsan untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan banyak lagi projek pembangunan. Kami ingin berterus-terang. Kami harapkan wang royalti diberikan kepada kami."

Malahan pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 13 Disember 2008, Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak (beliau belum menggantikan Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri) telah menyerahkan replika Cek ‘Dana Khas’ sebanyak RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang telah ditukar kepada pembayaran royalti oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Pada 12 januari 2009, sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskankan bahawa janji Kerajaan Pusat akan memulangkan kembali wang royalti minyak ke pangkuan rakyat Terengganu sudahpun ditunaikan dan itu melambangkan keikhlasan kerajaan pusat. Beliau menambah lagi bahawa rakyat negeri Terengganu bakal menikmati royalti hasil minyak mencecah RM3 bilion setiap tahun sekiranya harga bahan api itu naik di pasaran.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 6 hb April 2010, saya juga telah mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan isu penarikan balik royalti minyak Terengganu yang telah berpanjangan hampir 10 tahun. Mengikut rekod, Kerajaan Terengganu telah lama mengemukakan saman keatas Kerajaan Pusat dan Petronas bagi menuntut hak royalti ini di kembalikan segera.

Dalam usul tersebut, saya telah menegaskan di Dewan bahawa penarikan royalti minyak oleh Kerajaan Pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini. Sepanjang wang royalti Terengganu di nafikan oleh Kerajaan Pusat dan diletakkan dibawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’, negeri Terengganu sepatutnya berhak menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.

Walaupun usul itu telah ditolak, namun saya yakin seluruh rakyat Terengganu mahukan agar maruah mereka yang tercemar dikembalikan. Persoalannya, kenapa Kerajaan Pusat yang juga diterajui UMNO/BN tidak langsung mengganggu, jauh sekali merampas royalti minyak di Negeri Sabah dan Sarawak yang juga mempunyai perjanjian royalti yang sama dengan Petronas sepertimana perjanjian royalti Kerajaan Terengganu dan Petronas? Rakyat Terengganu hanya mahukan satu tuntutan iaitu agar Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu segera menunaikan janji mereka untuk mengembalikan royalti minyak kepada negeri penyu bertelur ini.

Malah jika diperincikan perbelanjaan ‘wang Ehsan’ yang diuruskan Kerajaan Pusat sepanjang tempoh 10 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajaan Terengganu, mereka berbelanja semewah-mewahnya melalui Projek-projek seperti pembinaan Masjid Kristal, Monsoon Cup, stadium baru Sultan Mizan yang runtuh pada tahun lepas, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sepatutnya menggunakan bajet dari kerajan Pusat.

Sebagai contohnya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menggunakan RM873 juta wang royalti minyak Terengganu untuk melaksanakan projek perumahan di seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya RM102 juta dibelanjakan untuk projek itu di Terengganu. Sehingga kini SPNB masih berhutang sebanyak RM771 juta dengan kerajaan negeri Terengganu manakala tuntutan untuk wang royalti yang dijadikan dana khas untuk negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta.

Terengganu juga sepatutnya berhak menuntut wang royalti minyak sebanyak RM2.6 bilion yang digunakan oleh kementerian-kementerian lain. Inilah realiti apabila terlalu banyak pihak yang menguruskan ‘wang ikhsan’ Terengganu dan dek kerana ia ‘wang ehsan’ ia bergantung kepada ehsan Kerajaan Pusat semata-mata dan tidak memenuhi kehendak dan tuntutan rakyat Terengganu sendiri.

Sehubungan itu, seluruh rakyat Terengganu perlu diingatkan, pada bulan Mac 2011, telah genap 11 tahun hak royalti rakyat Terengganu telah ‘dirampas’ dan dinafikan oleh kerajaan Pusat Umno/BN. Dalam Persidangan DUN pada 13 Disember 2010, .Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said telah sekali lagi berjanji bahawa isu royalti minyak Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas akan selesai menjelang bulan Mac 2011 dan kerajaan Pusat telah berjanji akan membayar royalti petroleum sepenuhnya kepada rakyat dan negeri Terengganu.

Ya, janji terus tinggal janji. Rakyat Terengganu terus menagih janji perdana menteri dan Menteri Besar Ahmad Said bagi menyelesaikan isu royalti minyak ini. Sebagai alternatif kepada janji palsu yang tidak tertunai ini, Pas dan Pakatan Rakyat menjanjikan perlaksanaan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara. Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari mendapat mandat rakyat, Pakatan Rakyat berjanji akan segera mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Terengganu. Royaltinya bukan lagi berjumlah 5% setiap tahun tetapi 20% setiap tahun kepada mana-mana negeri yang mempunyai minyak termasuk Kelantan dan Terengganu. Wahai rakyat Terengganu, uboh dan selamatkan Ggganu kite.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111