Oleh Safar Jumaat
KEKALAHAN tipis calon PAS di kawasan N24 Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus di tangan calon BN, Razali Gapor dengan majoriti 391, membuktikan PAS mempunyai pengaruh yang bukan sedikit di Sarawak, walaupun terpaksa berdepan dengan serangan pelbagai pihak.
Abang Ahmad mengutip 2,678 undi manakala Razali mendapat 3,069. Terdapat sejumlah 7,868 pengundi di sini.
Sehari sebelum hari mengundi, 16 April 2011, rata-rata pemerhati politik dari BN meramalkan kerusi Beting Maro akan dimenangi calon PAS tetapi, serangan berbentuk kebendaan dan ugutan dari pihak yang sedang berkuasa, akhirnya memberi sebab mengapa Abang Ahmad akhirnya tewas nipis di tangan Razali.
Yang penting, Abang Ahmad jangan tinggalkan kawasan Beting Maro ini, teruskan mendekati pengundi, kerana tempoh lima tahun mendatang, bukanlah terlalu lama, jika ianya dipenuhi dengan perkhidmatan dan usaha-usaha dakwah.
BN boleh sahaja mentertawakan mereka yang kalah ketika ini, kerana mereka sendiri sebenarnya sedar, kehilangan 16 kerusi di Dun Sarawak sebenarnya kekalahan yang cukup mengejutkan.
Peringkat awal, beberapa jurucakap BN sudah mengetahui 20 kerusi bermasalah dan lapan darinya dikenali sebagai kawasan hitam, manakala 12 lagi, kelabuhitam, yang mungkin boleh menang dan mungkin juga boleh kalah.
Tiga hari sebelum hari mengundi, orang kuat di Ibu Pejabat BN memberitahu, BN akan sapu bersih semua kawasan, termasuk lapan yang hitam itu, kerana Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah menemui semua kepala-kepala persatuan Cina.
Ugutan dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa jangan sampai orang Cina tidak ada wakil dalam kabinet negeri, juga menimbulkan rasa geli hati di kalangan pemimpin masyarakat Cina.
Akhirnya, apabila keputusan diketahui, sahlah orang Cina menolak BN, malahan kemenangan yang dicapai beberapa calon DAP dan KeADILan cukup mengejutkan BN.
Tetapi, biasalah, Taib buat-buat suka ketika menerima keputusan itu kerana dia dapat menyakinkan Perdana Menteri, Parti Bersatu Bangsa Sarawak (PBB) yang diketuainya menang kesemua 35 kerusi yang ditandingi.
Kemenangan hanya dengan majoriti 58 undi di kerusi N.65 Senadin calon BN Lee Kim Shin mengalahkan Micheal Teo Yu Keng menunjukkan ada gegaran kuat melanda BN di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-10, walaupun cerita kemajuan dan keamanan sering didendangkan.
Apa yang hendak direka alasan kekalahan Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam di N.63 Piasau dengan majoriti 1,590 di tangan seorang calon muda dari DAP, Ling Sie Kiong.
Begitu juga kekalahan Timbalan Presiden SPDP, Peter Nyarok Entrie di N.34 Krian apabila dia hanya mengutip 3,088 undi manakala lawannya Ali Biju (KeADILan) mendapat 5,178 undi.
Dengan majoriti 2,090 undi ini membuktikan BN di Sarawak sudah terasa ada gegaran walaupun belum berlaku tsunami politik seperti yang diharapkan pembangkang ketika mula-mula turun berkempen di Bumi Kenyalang itu.
Taib sudah pun mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri, yang mana tempoh persaraannya masih menjadi rahsia kerana Taib dikatakan masih mahu meneruskan tugasnya untuk sekurang-kurangnya setengah penggal.
Tiada siapa yang mampu mendesak Taib kecuali rakyat. Najib dan Muhyiddin sering terkelu lidahnya bila berdepan dengan Taib dan kali ini, Taib boleh sahaja tidak berundur sehingga dia diundurkan atau BN dikalahkan dalam pilihan raya akan datang.
Kedengaran bisik-bisik dari mereka yang dekat dengan Taib, jika Taib mengumumkan dia akan berundur sebelum pilihan raya negeri yang lalu, BN dijangka menang besar dan tidak mungkin tewas sampai 16 kerusi Dun.
Khabarnya, TPM diberitahu, BN hanya akan hilang enam kerusi jika Taib memberitahu tarikh persaraan. Malah, lebih ektrim lagi, ada yang mengatakan, jika Taib tidak bertanding, BN akan menang tanpa bertanding di beberapa kawasan, termasuk di Balingian, kawasan yang Taib sendiri bertanding.
Tewas di 16 kerusi, ketika pembangkang bertanding dengan lambang masing-masing dan ada gangguan dari calon-calon Bebas dan parti-parti yang tidak mahu bersama Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya terlalu besar.
Ketika BN mempunyai pelbagai alat dan kemudahan menabur fitnah dan memberi ugutan yang berterusan, sepatutnya mereka boleh menang lebih banyak kerusi dan bukan setakat 55 kerusi.
Malangnya, selepas mereka memecut hingga habis kemampuan, pun mereka kecundang di 16 kawasan, 12 kepada DAP, tiga kepada KeADILan dan satu Bebas.
Najib dan Muhyiddin sebenarnya terkejut, walaupun Taib dikatakan hanya mengharapkan menang dengan kelebihan satu kerusi, asalkan BN boleh menubuhkan kerajaan dan dia mahu mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Ketua Menteri.
Cengkaman Taib di Sarawak sudah tidak mampu digugat sesiapa. BN Sarawak sebenarnya tidak mengalu-alukan kehadiran mereka dari BN Semenanjung membantu kempen kerana mereka di Sarawak tidak mahu BN Semenanjung tahu banyak masalah di Sarawak.
Tiada siapa nampak kelibat anak Taib, Dato’ Seri Abdul Rahman Sulaiman, bekas Timbalan Menteri Pelancongan berada di Sarawak ketika kempen berlangsung.
Khabarnya dia berada di luar negara dan tidak bersedia untuk balik berkempen, masuk ke kawasan pendalaman menemui rakyat.
Kini, menjadi tugas PAS Sarawak memperkemaskan jentera kerana beberapa kawasan yang sudah dikenali pasti berpotensi untuk bertapak bakal menjanjikan cahaya baru hasil dari tinjauan sepanjang kempen pilihan raya negeri kali ini.
PAS Sarawak juga memerlukan tenaga-tenaga muda dan profesional untuk mengemudikan parti selain mencari tenaga-tenaga muda yang bersedia berdepan dengan pelbagai halangan rintangan kerana berdepan dengan BN di Sarawak.
Media baru mesti digunakan sebaik mungkin untuk berhubung dengan rakyat di Sarawak kerana masalah perhubungan tidak mungkin banyak membantu media cetak yang pro PAS diedarkan ke kawasan pendalaman.
Masa yang ada dan keputusan yang diterima ini sebenarnya mampu memberi semangat kepada PAS dan jenteranya supaya tidak kecewa dengan apa yang diterima, berbanding dengan keputusan PRK Tenang, Melimau dan Kerdau, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment