Oleh Markus Lim
Mereka menggelarkan dirinya sebagai pemimpin agung yang mampu membawa kemakmuran kepada Negara yang ditadbirnya.Mereka juga menyeru kepada rakyat di seluruh pelosok ceruk dan rantau untuk mempercayai bahawa dasar-dasar serta agendanya adalah yang terbaik buat rakyat. Karisma dan aura mereka dijulang tinggi melangit hinggakan ada status pemimpin berkenaan setaraf dengan seorang maharaja.
Di dunia Arab umpamanya, Saddam Hussein, Hosni Mubarak, Muammar Gaddafi dan Ali Abdullah Saleh tergolong dalam kategori yang dimaksudkan. Mereka bukan sahaja pemimpin yang paling lama memerintah di negaranya bahkan orang yang paling berkuasa sekali.
Mereka memerintah Negara menggunakan cara dan gaya yang tersendiri. Tidak ada tolak ansur kepada kebebasan bersuara, berhimpun malah sering kali pergerakan mereka diperhatikan. Sebarang bantahan pula akan ditentang habis-habisan.
Apabila berbicara mengenai isu pengunduran diri seseorang pemimpin, ia disambut dengan penuh kedinginan. Yang pastinya, budaya mengundur diri dalam persada politik Negara yang diperintah diktator sesungguhnya satu amalan yang jarang berlaku dan kemungkinan besar, tidak mungkin terjadi.
Dan untuk bertahun-tahun atau berdekad lamanya, kepimpinan pemimpin diktator tidak tercabar sebaliknya berterusan untuk satu tempoh yang tidak diketahui. Pilihan raya yang diadakan pula akan memperlihatkan rejim pemerintah cemerlang dengan memperolehi peratus pengundian yang tinggi.
Agak menghairankan juga, pemimpin-pemimpin diktator ini masih mempunyai keberanian untuk mendakwa bahawa masih ada agenda-agenda rakyat yang masih belum ditunaikan. Maka kerana itu, ia bukan masa yang sesuai untuk mengundurkan diri dari persada politik dan hanya akan ditentukan mengikut percaturan mereka.
Persoalannya, berapa lama baru cukup? Keengganan segelintir pemimpin untuk turun daripada takhta kepimpinan selepas sekian lama mentadbir merupakan satu trend yang membimbangkan. Seolah-olah menunjukkan jawatan yang disandang mereka kepunyaannya sendiri dan tidak boleh ditukarmilik.
Bagi kalangan diktator ini, tiga elemen iaitu kuasa, prestij dan pengaruh menjadi faktor pendorong kepada mereka untuk meneruskan cengkaman penguasaan dalam semua bidang kehidupan rakyat.
Pada fikiran pemimpin diktator sedemikian, aspirasi rakyat boleh diketepikan selagi ia mampu melonjak kekuasaan mereka. Tiada apa yang lebih penting melainkan cita-cita mereka.
Justeru, apabila terdapat segelintir pemimpin politik di Negara kita yang mahu pengundi memberikan masa kepadanya untuk meneruskan agenda pembangunan dalam parti atau di negeri kendaliannya, saya hanya duduk tersenyum.
Logiknya, apakah dengan memberikan tempoh yang lebih lama kepada pemimpin-pemimpin tersebut, jaminan bahawa agenda pembangunan seperti yang disebutkan tadi akan terlaksana? Jikalau tempoh 5 hingga 10 tahun pertama pemerintahannya tidak memperlihatkan sebarang pencapaian, inikan pula 20 atau 30 tahun akan datang?
Kedegilan segelintir pemimpin untuk memberi laluan kepada muka baru hanya mengukuhkan tohmahan umum bahawa kehadiran generasi muda tidak disenangi. Lebih buruk lagi, pemimpin-pemimpin terbabit disifatkan sebagai kemaruk kuasa dan takut kepada perubahan. Pengundi pula merasakan kepercayaan mereka telah dikhianati.
Menyedari hakikat itu, pemimpin politik harus merancang agenda mereka dengan teliti. Mereka harus tampil dengan satu pelan bertindak konklusif yang mampu memacu parti atau negeri pimpinannya ke satu era baru. Tetapi dalam konteks pemimpin-pemimpin yang saya maksudkan tadi, mereka memilih untuk tidak berbuat demikian sebaliknya dibuai kelekaan.
Ternyata, cakap pemimpin politik hanya boleh dipercayai pada nilai muka sahaja. Kelazimannya, apa yang dijanjikan semasa musim pilihan raya tidak lebih daripada janji manis untuk menyedapkan hati pengundi. Matlamat akhirnya hanyalah untuk meraih undi mereka pada pilihan raya. Dalam banyak ketikanya, janji-janji tersebut tidak pernah ditunaikan.
Seorang pemimpin baik tidak memerlukan masa yang panjang untuk merealisasikan agenda bagi membela nasib rakyat. Sebaliknya, tempoh sedia ada itu boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencorak dasar yang boleh memanfaatkan kehidupan rakyat.
Soal cukup masa atau tidak, bukan alasan kukuh untuk memanjangkan pemerintahannya. Bagaimana masa itu diatur banyak bergantung kepada kebijaksanaannya. Jika pemimpin sedemikian beranggapan masa yang diberikan tidak mencukupi, bermakna mereka telah gagal dalam pengurusan masanya. Bermakna juga pemimpin-pemimpin ini tidak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat.
Baru-baru ini, apabila timbul satu cadangan supaya dihadkan tempoh pemerintahan seseorang pemimpin, idea tersebut wajar diberikan pertimbangan. Seseorang pemimpin tidak patut berada dalam tampuk pemerintahan terlampau lama hingga mencetuskan kemarahan rakyat. Sebaliknya, mereka perlu sedar bila masanya untuk berundur dan memberi laluan kepada muka-muka baru.
Mungkinkah kemunculan muka-muka baru ini jawapan kepada perubahan yang didahagakan oleh pengundi?
Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment