" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Wednesday, June 1, 2011

Bedah Buku MPH dan kisah tanah runtuh ....

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Petang Sabtu, 21 Mei, hujan lebat sekitar Kuala Lumpur. Semasa tragedi tanah runtuh yang menyayat hati di Hulu Langat, saya berada di kedai buku terkemuka, MPH Midvalley, membicarakan buku Catatan Hujung, yang merupakan koleksi kolum saya di Harakah.

Jarang sekali saya berkunjung ke sana tetapi saya dapat rasakan kedai buku ini begitu damai dan selesa. Ruang pamerannya besar. Kita dapat membelek buku dengan santai.

Lebih menarik, senarai buku-buku bahasa Melayunya panjang dan meliputi pelbagai topik. Di antaranya, terselit judul yang sukar diperolehi di toko buku lain.

Dan, pastinya yang istimewa di MPH Midvalley adalah majlis bedah buku. Hari itu, Kemilau Publika diberikan ruang sekitar jam 2-4 petang, mengulas dua buku terbitannya. Selain Catatan Hujung, turut dibedah, buku best seller, Allah is Calling, karya rakan sepejabat, Ustaz Zainuddin Hashim.

Sebelum ini, buku kami juga dibicarakan secara terbuka di Kompleks PKNS, Bangi. Mulanya saya memang agak kekok bercakap soal proses penulisan buku di ruang legar pusat membeli-belah, apa lagi apabila lebih ramai audiennya mendengar daripada jauh sambil melihat-lihat jualan buku. Di Midvalley, kedudukan penontonnya lebih dekat dan mereka agak ghairah menimbulkan persoalan kepada penulis, sehingga program berlanjutan ke jam 5.

Tradisi ilmu seharusnya disuburkan melalui pelbagai kaedah dan pendekatan. Selain memberi dorongan atau menyediakan prasarana intelektual yang kondusif bagi melahirkan karya-karya bermutu tinggi, memecahkan kejumudan-kegelapan dan menggugah pemikiran konvensional, maka budaya membaca juga mesti dipupuk dan dibajai.

Meneliti rak-rak buku di ruangan Mutiara Minda (khusus untuk judul bahasa Melayu) MPH Midvalley itu, saya terkesan bahawa topik yang diketengahkan semakin pelbagai. Paling kurang, design muka depannya begitu mengujakan, selain ada percubaan berani penerbit tertentu untuk lari daripada tajuk-tajuk popular yang sedia digemari pembaca.

Memanfaatkan peluang yang tidak selalu datang di tempat seumpama itu, saya menekankan beberapa isu yang sering mewarnai tulisan saya seperti kebebasan media, pergolakan dunia kampus, dan proses pendemokrasian, di samping perkembangan politik semasa, yang tentunya tidak dapat lari daripada menyentuh pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengunjung bukan Melayu dilihat tertarik (berdasarkan riak wajah dan anggukan kepala berulang kali) apabila dikemukakan hujah tentang keadilan sosial, pengagihan kekayaan secara merata, akauntabiliti dan integriti, juga isu-isu korupsi yang semakin menjadi-jadi.

Ustaz Zain sebagai pengacara, selepas "berceramah" pendek tentang bukunya, bijak menimbulkan bab-bab tertentu dalam buku saya, misalnya isu pembinaan Istana Negara yang baru dan penipuan dalam proses pilihan raya.

Projek Istana Negara bukan sahaja kecoh di peringkat awal, dari segi pemilihan kontraktor (yang tidak berpengalaman) secara rundingan (bukan tender terbuka), termasuk kos awal lebih RM1.1 bilion, malah ia juga dikatakan menjadi punca Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Sri Judin Abd Karim -- yang dikenali sebagai pegawai awam berintegriti tinggi dan bersih daripada rasuah -- cuba diaibkan melalui perpindahannya ke posisi lebih rendah di CIDB.

Apa pun, rasa puas hati saya selepas majlis bedah buku itu terpancung selepas mendapat SMS insiden tanah runtuh di Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat itu. Cerita suka duka insan bersilih ganti dan kerap menerpa tanpa isyarat awal. Mungkin saya perlu membukukan catatan sisi-sisi kehidupan yang lebih membekas di hati dan emosi pula.

Dua hari sebelum itu, saya turut terganggu dengan makluman mengenai nasib dan masa depan tidak menentu portal berita Merdeka Review. Kebetulan saya mengenali editor bahasa Melayunya, Lim Hong Siang. Meskipun edisi bahasa Melayunya hanya menyiarkan dua tiga laporan setiap hari, namun bagi saya, ia suatu laman yang cukup istimewa.

Analisis (kebanyakannya diterjemahkan daripada edisi bahasa Cina) dan wawancara eksklusifnya begitu menarik dan memang mempunyai kelainan. Justeru, tidur saya pada malam 20 Mei itu terusik kerana terbayangkan masalah berat yang dihadapi mereka; kekurangan dana yang memungkinkan ia ditutup, jika tiada dermawan yang bersimpati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111