SETIU: PAS berjaya mengesan 44 nama pengundi dalam senarai daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri Terengganu dikesan sehingga kini mempunyai dua nama di tempat yang berbeza.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut berkata senarai 44 nama yang berada dalam daftar pemilih secara berasingan membolehkan mengundi melebihi satu kali.
"Di (negeri) Terengganu (sehingga kini) daftar pemilihnya ada 44 orang yang namanya sama, nombor kad pengenalan lama sama, tapi (nombor) kad pengenalan cuma dua angka digit terakhir itu berbeza,
"Jadi bermakna 44 orang ini, besar kemungkinan jika mereka mahu boleh mengundi lebih daripada sekali," jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Terengganu, 21 Julai.
Katanya, tujuan beliau mendedahkan perkara tersebut adalah kerana mahu memberikan fakta yang jelas mengapa tuntutan Bersih 2.0 adalah relevan.
Beliau berkata, salah satu dari lapan tuntutan Bersih 2.0 kepada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah meminta agar dilakukan pembersihan dalam senarai daftar pemilih yang telah dikeluarkan.
Tambahnya, senarai 44 orang tersebut adalah dikesan dari semua kawasan parlimen dari Kemaman hingga ke Besut.
Abdul Wahid yakin mereka boleh mengundi lebih dari sekali kerana melalui pengalamannya, SPR akan membenarkan mereka mengundi sekiranya hanya dua angka berbeza.
"Hanya dua angka terakhir berbeza dan pengalaman kita (PAS) dengan SPR waktu pilihan raya, bila hanya dua angka berbeza, dia boleh mengundi,
"Diberikan ruang mengundi dua kali tanpa dibantah kerana dia (SPR) kata, sikit sangat perbezaan,"tegasnya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak serta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Ngeri Terengganu, Ariffin Deraman.
No comments:
Post a Comment