" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Thursday, August 4, 2011

Najib Mungkin Lebih Malang Dari Pak Lah

PRU 13 awal atau lewat, Najib tetap didesak berundur?

Melihat kepada lautan manusia pada 9 Julai 2011, ramai menjangka Perdana Menteri Najib Razak tidak berani untuk membubarkan parlimen pada tahun ini.

Igauan bagaimana perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 mencetuskan tsunami politik pada 8 Mac 2008 masih menghantui Barisan Nasional.Seandainya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini, Najib berkemungkinan besar mengulangi nasib mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih-lebih lagi, cara dan pendekatan kerajaan Najib Razak mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah mencungkil ketidakpuasan ramai, dari Sasterawan Negara yang menjadi ikon budaya, hinggalah bekas mufti yang berpengaruh dalam bidang agama; dari mereka yang berada di atas pagar, hinggalah pewaris tokoh UMNO sendiri - Marina Mahathir.

Mengikut perhitungan biasa, kerajaan Najib dijangka memerlukan tempoh dalam setahun untuk memperbaiki keadaaan, atau sekurang-kurangnya meredakan ketidakpuasan ini. Dengan kata lain, PRU 13 paling mungkin diadakan pada tahun 2012 selepas Jun, malah tidak mustahil diheret sehingga awal tahun 2013.

Semakin lama PRU ditunda....

Namun demikian, perkiraan UMNO mungkin tidak mengikut logik biasa.Semakin lama PRU ke-13 ditunda, bermakna semakin berat bebannya. Pertama, UMNO-BN tidak mempunyai alasan untuk menundakan reformasi sistem pilihan raya. Perlu diingatkan bagaimana impak "BERSIH 1.0" memuncak apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum hari pengundian PRU 12. Kerajaan Najib sama ada kehilangan undi berikutan "ketidaksempatan" melakukan reformasi sistem pilihan raya, ataupun tumbang kerana sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Dari segi ekonominya, semakin lama PRU 13 ditunda, maka kerajaan BN perlu bergelut dalam situasi inflasi yang semakin melonjak. Harga minyak semestinya akan meningkat, selain tarif elektrik yang telah dijanjikan akan dikaji setiap enam bulan. Keadaannya akan lebih parah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, malah dijangka "meleset" pada tahun 2012. Pengurangan subsidi hampir pasti berlaku. Meskipun dibuat juga peruntukan bajet (gula) untuk meraih undi, persoalan yang melantun-lantun adalah, dari mana datangnya wang itu?

Dari segi politiknya pula seandainya PRU 13 dijalankan pada 2012 mahupun 2013, pengundi Sarawak akan tertanya-tanya, bilakah Ketua Menteri Taib Mahmud bersara? Meskipun menang dalam pertarungan sengit PRN Sarawak pada April 2011, namun BN sedar bahawa angin perubahan semakin kencang. Seandainya Taib Mahmud dikekalkan, maka ia menghulurkan senjata kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang dirinya. Sebaliknya, jikalau Taib Mahmud digugurkan, maka pertentangan kepentingan akan berlaku, antara Taib Mahmud yang sudah 30 tahun berkuasa di bumi kenyalang, dengan kepentingan kerajaan persekutuan.

Seandainya BN gagal menyelesaikan konflik ini, maka angin perubahan dijangka bertiup ke Sabah, dua negeri yang melanjutkan denyutan jantung BN di Putrajaya. Perlu diambil kira juga negeri Johor, yang mana sebelum ini Menteri Besar Abdul Ghani sendiri menjangkakan angin perubahan yang lebih kencang berbanding 8 Mac 2008. MCA menyumbang tujuh daripada 26 kerusi parlimen di Johor, dan tujuh ini berpotensi jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Melihat kepada senario terkini, persoalan yang lebih merunsingkan Najib/BN adalah, daripada 15 kerusi parlimen yang dipegang MCA sekarang, berapa yang mampu dipertahankan?

Kegagalan Najib menarik sokongan

Najib bermula dari mana Abdullah Ahmad Badawi terjatuh. Jelas, slogan 1Malaysia-nya menyasarkan pengundi yang berada di "pertengahan", yang mual dengan politik perkauman. Sementara itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP)-nya pula menyasarkan pengundi bandar, yang menaruh harapan agar sistem dan struktur ekonomi diperbetulkan. Golongan ini tidak menunjukkan kecenderungan politik parti yang tegar, mereka dijangka kembali ke pangkuan BN seandainya kehidupan harian dan keadaan negara diperbaiki.

Akhirnya kesemua daripada mereka dihampakan. Sama ada PERKASA diwujudkan atas restu Najib kerana "politik talam dua muka", mahupun sabotaj dalaman parti - sudah tidak penting. Politik itu persepsi. Persepsi umum adalah PERKASA berjaya menggagalkan 1Malaysia dan ETP yang digagaskan Najib, dan Najib selaku seorang PM gagal mengawal keadaan sehingga PERKASA dibiarkan bermaharajarela.

Najib semakin tersepit Bukan sahaja golongan yang berada di "tengah-tengah" ini dikecewakan, malah ikon-ikon tertentu yang berpengaruh turut mengasingkan diri dari regim ini, bahkan melontarkan kritikan terhadapnya. Ikon budaya, Sasterawan Negara A.Samad Said dalam wawancara bersama Malaysiakini terus mengecam bahawa "Najib memang kejam". Perlu diingatkan bahawa A.Samad Said disokong sekumpulan seniman apabila polis menyoal-siasat beliau di bawah Akta Hasutan.

Baru-baru ini, bekas mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) dikaitkan pula dengan fahaman Wahabi, dan aktiviti terrorisme. Meskipun sesetengah pandangan beliau dianggap kritikal terhadap kerajaan, namun Dr. MAZA tidak semestinya berpihak kepada PR. Misalnya, beliau pernah dikecam keras apabila mencadangkan agar Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berundur. Maknanya, terdapat ruang untuk BN "engage" pemimpin yang berpengaruh seperti ini. Namun, mengaitkan MAZA dengan pengganas adalah sesuatu yang sukar dipertahankan, walaupun Utusan Malaysia, kerana MAZA pernah menulis kolum untuk akhbar tersebut.

Pendekatan Najib mengendali BERSIH 2.0 seolah-olah menggali kubur untuk dirinya. Titik pusingannya berlaku apabila Najib berdolak-dalik dalam isu "stadium", yang menyebabkan ramai beralih untuk bersimpati terhadap BERSIH 2.0. Dan apabila gas pemedih mata dilepaskan bertalu-talu ke dalam lautan manusia yang merangkumi warga emas, budak kecil... yang melangkaui batas kaum dan agama, imej Najib ranap dalam sekelip mata.

Pergelutan dalam UMNO

Kini Najib berdepan dengan tekanan dalam partinya. Dari perkiraan sesetengah pemimpin UMNO, BN tetap mampu mempertahankan kerajaan persekutuan pada PRU 13, meskipun mungkin gagal mengembalikan majoriti dua pertiga, dan beberapa kerajaan negeri, malah mungkin kehilangan Negeri Sembilan!

Apapun berlaku, senario ini tidak memihak kepada Najib. Najib tetap akan digulingkan dalam UMNO seandainya,-

Pertama, gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen;
Kedua, gagal mengembalikan kuasa beberapa kerajaan negeri, misalnya Selangor.
Ketiga, gagal meraih sokongan bukan Melayu.


Dari kaca mata sesetengah pimpinan UMNO, UMNO-BN akan hilang kuasa jikalau semakin lama PRU 13 ditunda.Maka tidak mustahil seandainya Najib didesak untuk mengadakan PRU 13 pada Oktober tahun ini.

Sama ada PRU 13 diadakan pada tahun ini mahupun tahun 2012, malah 2013,Najib perlu bersedia untuk menyusuri jejak Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah gagal apabila menghampakan pengundi yang mahu melihat perubahan yang dijanjikannya. Nasib yang sama akan menimpa Najib. Cuma, nasib Najib mungkin lebih malang daripada Abdullah, kerana beliau mempunyai kes Scorpene yang bakal berlangsung perbicaraannya di Perancis! -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111