Oleh Dinsman
Memang suasana politik semakin panas dan PRU- 13 semakin hampir. Tetapi apakah kerana itu kita wajar meninggalkan dan mengenepikan seni-budaya?
Jangan! Kedua-duanya perlu jalan seiringan. Ikutlah KeADILan Labu, misalnya.Pada 17 September, bersama dengan Majlis Permuafakatan Dun Labu, mereka menganjurkan satu acara budaya yang sangat menarik – “Hari Raya Bersama Sasterawan Negara A Samad Said”.
Memang A Samad Said sudah menjadi ikon yang melampaui dunia sasterabudaya.
Dia diterima di mana saja, oleh orang budaya mahupun orang politik.
Petang itu, sambil berhari raya dengan aneka jamuan yang sedap-sedap itu orang ramai dihidangkan juga dengan puisi dan ucapanucapan budaya. Samad Said membacakan puisinya “Catakserukin”, di samping berceramah sekitar budaya dan politik. Catakserukin ialah mengenai pemimpinpemimpin politik yang “cakap tak serupa bikin”.
Sebelum itu, Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menampilkan Kassim Mohamad, Hasni Abas, Rozan Azen dan Benz Ali.
Persembahan Rozan agak menarik, dengan meniru gaya Rahman Shaari (puisi “Milah anak Maksum”) dan A Ghafar Ibrahim (puisi “Tan Sri Wau Bulan”). Manakala lagu puisi “Iqbal” oleh penyair muda Benz Ali cukup memikat, walaupun tanpa muzik. Sajaknya “Umno adakah komunis” itu pun agak mengejutkan juga.
Kassim menujukan ucapan puisinya kepada golongan muda, manakala Hasni berbicara mengenai politik bahasa. Saya pula membaca puisi yang ditulis 12 tahun dulu, “Gelombang Kebangkitan Rakyat”, ilham ketika membaca puisi dalam majlis ceramah di zaman awal Reformasi.
Labu adalah antara tempat paling awal saya membaca puisi dalam jelajah puisi Reformasi waktu itu - 1999.
Hanya Che’gu Bard sahaja orang politik yang berceramah politik di situ. Selainnya adalah program seni dan budaya. Mengingatkan saya kepada program Paksi bersama nelayan-nelayan perahu kecil di Kuala Pahang akhir 2008 dulu. Syabas Norizam Yasin dan Mokhtar Ahmad yang mengusahakan program di Labu. Semoga ia akan diteladani oleh KeADILan cabang-cabang yang lain, dan juga mana-mana PAS kawasan.
Sementara itu, satu lagi program budaya yang sedang dipromosi oleh Paksi sekarang ialah majlis Bicara Buku. Ia bukan satu program baru. Sudah lama dikenali oleh masyarakat kita, tetapi kurang diberi perhatian, padahal ia suatu program yang sangat bagus, dan perlu diperbanyakkan. Ia suatu wadah untuk dakwah, untuk menyebarkan ilmu, untuk membina masyarakat yang cinta buku dan gemar membaca, dan untuk memajukan budaya ilmu.
Dan apabila masyarakat kita menjadi masyarakat yang cinta buku, gemar membaca dan suka ke perpustakaan, kata Mastura Muhamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), “dengan sendirinya akan berkurangan gejala sosial dan kadar jenayah di negara kita.” Orang jarang melihatnya dengan kaca mata yang dilihat oleh Mastura itu.
Bahawa buku, perpustakaan dan aktiviti membaca boleh memainkan peranan berkesan dalam mengatasi masalah gejala sosial dan kejadian jenayah. Paksi memang sependapat dengan beliau dan Paksi pun menjalinkan kerjasama dengan PPAS, menganjurkan majlis Bicara Buku, bagi mempromosi budaya ilmu.
Malah peranan budaya ilmu itu lebih luas lagi.
Bukan sekadar membantu mengurangkan gejala sosial dan kejadian jenayah di kalangan remaja sahaja, tetapi budaya ilmu juga dapat meningkatkan kematangan manusia dan menyuntik kewarasan kepada pemikiran dan tindaktanduk manusia, sekali gus menjernihkan iklim dan suasana dalam masyarakat.
Bunyinya memang agak bombastik, idealistik dan seperti terlalu besar dan hebat daripada realitinya. Memang, kalau mahu dilihat begitu.
Tetapi kita boleh melihatnya dalam perspektif yang wajar, yakni dalam skala yang kecil. Kita perlu melihatnya dalam skopnya sendiri, dan kita juga perlu memahami mekanisme dan prosesnya.
Pertamanya harus diakui bahawa budaya ilmu ini bukanlah sesuatu yang melibatkan semua orang.
Hanya orang-orang tertentu sahaja yang berminat. Tetapi orang-orang tertentu ini mempunyai pengaruhnya di dalam masyarakat. Maka apabila kita menganjurkan aktivitinya, seperti Bicara Buku misalnya, kita harus memahami bahawa program kita ini tidaklah disasarkan kepada masyarakat ramai, tetapi kepada golongan tertentu sahaja, yang mempunyai pengaruh ke atas masyarakat ramai itu.
Okey, Paksi telah mengkaji perkara ini dan berpendapat bahawa program Bicara Buku perlu diperbanyakkan aktivitinya dalam masyarakat hari ini, dan Paksi telahpun mengorak langkahnya. Dengan PPAS pun Paksi telah mengadakannya Februari lalu, membicarakan buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak dan kumpulan cerpen Ranum (karya Razali Endun).
Tanggal 4 Oktober ini sekali lagi Paksi dan PPAS menganjurkannya. Buku yang dibicarakan kali ini ialah dua buah buku karya Prof Shaharir Mohd Zain, iaitu ilmuan yang dipilih sebagai Tokoh Penulis Selangor 2011, sempena Hari Ilmu Selangor 26 Jun lalu.
Dua buah buku tersebut ialah Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu, akan dibicarakan oleh Dr Zaid Ahmad, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Manakala sebuah lagi ialah Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman, akan dibicarakan oleh Dr Mat Rofa Ismail, juga pensyarah di UPM.
Majlis akan bermula pukul 9 pagi dan dijangka tamat pukul 1 tengah hari, bertempat di bangunan PPAS baru, seksyen 13, Shah Alam.
Ia terbuka untuk sesiapa sahaja yang berminat. Percuma, dan malah disediakan sarapan dan makan tengah hari lagi.
Oleh kerana isi kandungan bukunya mengenai kepemimpinan, dan salah satunya memfokus dan menganalisis kepemimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz, maka diharapkan para pemimpin politik, khasnya dari Pakatan Rakyat, akan memanfaatkan perbincangan mengenai kepemimpinan ini. Datanglah ya!
No comments:
Post a Comment