Timbalan PAS, Mohamad Sabu terus menjadi sasaran pihak Umno dan media berkait isu kontroversi mengenai sejarah kemerdekaan negara.Beliau telah diasak dari pelbagai arah dengan begitu sistematik untuk mematikan karier politik dan memusnahkan reputasinya sebagai Timbalan Presiden PAS.
Saya tidak nafikan kenyataan Mohamad Sabu tempoh hari telah mencetuskan kontroversi dan mencabar dokumen sejarah yang ditulis oleh “pemenang” sebelum ini.
Ekoran kenyataan beliau, kini telah mencetus “demam sejarah” dalam negara kita apabila ahli-ahli sejarah dengan kepakaran yang ada pada mereka mula kembali membahaskan fakta sejarah dan jelas kelihatan terlalu banyak fakta-fakta yang berbeza dan terdapat juga fakta tidak dikemukakan secara tepat dengan istilah yang betul kepada masyarakat hari ini sebaliknya menggunakan istilah yang digunakan oleh penjajah.
Beberapa kali saya mendengar ucapan Mohamad Sabu yang mencetus kontroversi itu, terdapat beberapa klausa yang menjadi isu tetapi sekalikali saya tidak menemui perkataan beliau yang secara jelas menyokong perjuangan komunis, sebalik lebih bermaksud mempertikai cara Umno-BN mengemukakan sejarah kemerdekaan kepada generasi hari ini secara tidak adil, dengan menafikan peranan pejuang kemerdekaan yang lain.
Sambutan kemerdekaan negara dilihat seperti sambutan perayaan Umno.
Kini tercetus perdebatan sejarah antara pakarpakar sejarah dan juga saksi-saksi sejarah yang masih hidup hari ini. Kesimpulannya, sejarah perlu dinilai dan dikaji semula.
Para pakar sejarah perlu melihat kembali dokumen sejarah yang dibukukan serta menemui saksi hidup yang masih ada untuk menulis semula sejarah yang merdeka dari kehendak penjajah dan juga bebas dari istilah yang diguna oleh penjajah.
Dewan Pemuda PAS tidak menafikan bahawa komunis adalah zalim dan kejam, malah Pemuda menolak perjuangan komunis sebagaimana kami juga menolak ismeisme ciptaan manusia yang lain, selain daripada Islam termasuk nasionalisme.
Namun, label pemberontak atau komunis yang dilemparkan kepada pejuang kemerdekaan negara oleh penjajah British mesti dinilai semula.
Nama baik pejuang kemerdekaan yang dicemarkan seperti Tuan Guru Hj Hassan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Maulana Awang Noh, Ust Abu Bakar al Baqir, Rosli Dobi dan ramai lagi dengan gelaran pemberontak oleh British dan bonekanya mesti dibersih dan dimurnikan kembali.
Perjuangan tokoh-tokoh seperti Dr Burhanudin Al- Helmy, Ahmad Boestamam dan Prof Zulkifli Muhamad mestilah diangkat sejarah perjuangan mereka dalam dokumen sejarah kemerdekaan negara.
Jangan mendapkan peranan mereka semata-mata kerana mahu mengambil hati penjajah British dan bonekanya dalam pembukuan sejarah, tanpa kita menafikan juga peranan Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn.
Malangnya, saya melihat demi kepentingan politik yang rakus, Umno seperti hilang rasional lalu melakukan provokasi yang keterlaluan ke atas Mohamad Sabu berbanding apa yang beliau ucapkan.
Provokasi keterlaluan ini sebenarnya tidaklah sangat menjejaskan PAS atau Pakatan Rakyat kerana kebanyakkan masyarakat moden hari ini bukan lagi dungu untuk menelan bulat-bulat apa sahaja provokasi yang dilancarkan melalui media milik mereka.
Sebaliknya provokasi itu akan menyerlahkan sikap sebenar diri mereka dan menampakkan keadaan mereka yang mengamalkan politik desperado.
Masyarakat kini boleh mendapat maklumat kedua dan ketiga melalui media alternatif juga media baru yang semakin berpengaruh mutakhir ini.
Apa yang saya kesal ialah pendekatan politik rakus dan ganas.
Menyerang bertubi-tubi dengan gerak provokasi keterlaluan, membangkitkan kemarahan masyarakat dengan sogokan maklumat sebelah pihak sehingga boleh mencetus ancaman terhadap keselamatan diri beliau sedang ucapan beliau jika didengar dan dinilai dengan adil, tidaklah wajar dispin dan diprovokasi sedemikian rupa.
Kenapa tidak isu ini ditangani dengan ilmiah dan debat yang positif untuk menilai ketulenan atau keabsahan sejarah negara?
Kenapa perlu menanam kebencian, kemarahan serta dendam yang melampau dan keterlaluan?
No comments:
Post a Comment