Oleh Wan Nik Wan Yussof
PADA 6 Oktober lepas berlangsung acara sehari suntuk Himpunan Kesyukuran atas perakuan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993 Negeri Kelantan. Acara yang terisi, pada zahirnya berorientasikan hikmat dan rahmat serta berkat daripada Allah SWT.
Betapa Allah merestui usaha Kerajaan Kelantan dapat dirasai tatkala semua acara himpunan kesyukuran itu berjalan lancar, tanpa hujan rebut dan semburan cat pada ‘body’ kereta atau gangguan pengganas kumpulan antihudud.
Himpunan Kesyukuran itu bermula dengan Wacana Pelaksanaan Hudud di Kelantan di Dewan Teratai yang menghimpunkan semangat bulat bersetuju menerusi moderatornya Zulkifli Mamat, Adun Pulai Chondong merangkap Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan bersama-sama Dato’ Aria Diraja Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Daud Muhamad, mantan ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Muhamad Daud Al-Iraqi dan pakar undang-undang Perlembagaan UIAM, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Selari dengannya berlangsung jamuan rakyat tanda kesyukuran Menteri Besar Kelantan atas perakuan hukum hudud pada peta pemikiran pemimpin politik Pakatan Rakyat bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV. Sementara di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan berlangsung perjumpaan tertutup Tuan Guru Dato’Menteri Besar Kelantan dengan ketua-ketua pusat pengajian pondok daripada 14 buah pondok tersohor di Kelantan.
Begitu pula, menjelang waktu maghrib di medan terbuka dalam Stadium Sultan Muhammad IV berlaku perhimpunan jemaah rakyat menyempurnakan ibadat solat bersama-sama pemimpin.
Ia bermula dengan solat maghrib, isyak dan solat hajat. Ia cukup harmoni dan syahdu lagi membahagiakan.
Lebih-lebih lagi solat hajat diimamkan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diikuti dengan munajat dan doa ke hadrat Ilahi. Cukup menjitukan lagi komitmen dan nilai keazaman Kerajaan Kelantan memperkemaskan usaha untuk mengazet ke arah pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah tersebut.
Kemuncak kepada acara sehari suntuk itu ialah ceramah perdana empat tokoh, iaitu Dr Abdul Aziz Bari, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ceramah yang berlangsung di hadapan puluhan ribu rakyat Kelantan turut diikuti sama oleh pengunjung talian internet KelantanTV. Natijahnya kesemua acara telah menjadi perangsang besar untuk menegaskan segala-gala usaha pelaksanaan hukum hudud mesti diteruskan.
Nilai kondusif
Justeru nilai-nilai kondusif yang dianggap menjadi hambatan kepada usaha pelaksanaan hudud seperti dibangkitkan oleh pensyarah USM, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sudah hampir tercapai.
Berikutan pihak Kerajaan Kelantan boleh dikatakan sentiasa menggerakkan usaha pendidikan dan memberi maklumat tentang kebaikan sistem pemerintahan dan perundangan Islam.
Sebagaimana sebelum ini, komitmen Kerajaan Negeri yang telah melantik ketua-ketua masyarakat dan ahli majlis PBT daripada pelbagai kaum, turut diperkemaskan dengan penganjuran beberapa program kontak hubungan kaum, agama dan budaya sehingga turut melibat ketua agama, rahib dan sami serta ulama Islam.
Begitu pula, Kelantan turut mendahului dengan isu-isu keharmonian.
Seperti mana dua tahun lalu diadakan jamuan perdana ketua-ketua antara agama dan diikuti dengan seminar hubu ngan antara kaum yang turut melibatkan wakil-wakil agama dan kaum seluruh negara. Terbaru pula, pada 8 Oktober lalu diadakan pula Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk: Pengalaman Kelantan yang sekali lagi berjaya menghimpunkan nilai-nilai keharmonian peringkat nasional.
Sementara pada seminar keharmonian itu juga pihak Tuan Guru Dato’ Menteri Besar turut menganugerahkan tokoh keharmonian kepada individu bukan Islam yang banyak berjasa (dalam sukan, ekonomi, budaya, perpaduan dan pendidikan) kepada rakyat dan Negeri Kelantan dalam tempoh 20 tahun ini. Justeru perjalanan Kerajaan Kelantan sedang mengukuhkan nilai-nilai kondusif yang cukup intim dengan nilainilai mesra ke arah pelaksanaan secara komprehensif hukum Allah SWT.
Cukup ironis lagi, tatkala ada pihak yang masih bersikap antihukum Allah yang dimulakan oleh Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri), ada pula pihak yang terus memberi sokongan padu kepada usaha Kerajaan Kelantan.
Antaranya kenyataan Mufti Perak yang bernada sokongan melalui gesaannya agar memberi peluang kepada Kelantan melaksanakan hukum hudud. Meskipun di sebalik autoriti mufti itu terbayang banyak kesangsian berikutan mufti itu pernah berpendirian tidak mantap dalam perkara yang menyentuh pempolitikan demi kepentingan pemimpin BN. Lebih- lebih lagi, pe ngakuan terbuka beliau satu ketika dalam tragedi demokrasi Perak yang dikatakan menyokong rampasan kuasa rakyat yang diterajui Dato’ Seri Mohd Najib Razak.
Apa pun cukup berkesan dinilai dan dijadikan suntikan semangat ialah bangkangan pimpinan Majlis Peguam yang bercanggah dengan sikap pro Dr Abdul Aziz Bari mengenai pelaksanaan hukum Hudud dalam konteks perlu pindaan atau tidak Perlembagaan Persekutuan. Majlis Peguam melalui Presidennya Lim Chee Wee pernah berkata, Perlembagaan Persekutuan dan rangka kerja perundangan negara ini tidak menyediakan peruntukan bagi undang-undang hudud dikuatkuasakan oleh mana-mana negeri termasuk Kelantan.
Sedangkan Dr Abdul Aziz pula menegaskan, mereka yang mendakwa hudud tidak boleh dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan kononnya bersifat sekular juga tidak betul kerana kandungan rangka utama undang-undang negara itu tidak berkata begitu. Ini kerana menurut Dr Abdul Aziz, keperluan itu (pindaan Perlembagaan) tidak wujud sebab sebahagian hukum hudud sudah pun dilaksanakan dalam bentuk jenayah syariah.
Apa pun, bagi menemui titik bulat dalam perkara ini, kefahaman perundangan dan perlembagaan ha rus diselarikan. Maka ini adalah urusan yang perlu diselesaikan segera dan Kerajaan Kelantan seharusnya meneruskan usaha dengan mengambil langkah sewajarnya. Ia selari dengan pendirian PAS Pusat yang mengharapkan langkah seterusnya dapat diambil oleh Kerajaan Kelantan.
Oleh itu, kehadiran Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyerahkan surat sokongan kepada Menteri Besar Kelantan atas usaha pelaksanaan hudud amat bermakna.
Setidak-tidaknya ia telah memberi maksud betapa para peguam syarie sudah bersedia berada di dalam sistem perundangan dan mahkamah syariah demi memartabatkan hukum Islam sebagai tanda keimanan sejati ke hadrat Allah SWT.
Inilah di antara niat dan matlamat Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar yang tidak dimengertikan atau sengaja dipolitikkan oleh pemimpin Umno. Semoga Allah membuka jalan kebenaran atas ketumpulan akidah mereka itu.
>> Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
No comments:
Post a Comment