Jika mereka dikira pejuang merdeka tulen, meletak jawatan itu adalah untuk membersihkan diri.
DALAM ucapan Mohamad (Mat) Sabu yang kontroversi yang menghidupkan nama Mat Indera, dia tentang perkhidmatan polis di zaman penjajah dan nama Tunku Abdul Rahman Putra sebagai seorang pegawai penjajah yang kemudiannya bangun sebagai orang yang menyambut kemerdekaan daripada tangan penjajah.
Begitu juga Tunku yang sebelum menyertai politik adalah seorang pegawai tinggi kerajaan penjajah. Atas pencapaian Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan atau Bapa Malaysia, tidak pula Tunku kebal sehingga tidak boleh dinilai sejarahnya dia pernah menjadi pegawai dalam pentadbiran penjajah.
Penjajah
Apabila orang memandang penjajah itu hina, maka seberkecuali mana pun seorang yang makan gaji di bawah penjajah, dia pasti tidak dapat lari daripada tempias kutukan kepada penjajah itu.
Samalah seperti nasib pegawai tinggi Hosni Mubarak, sekalipun dia seorang makan gaji yang setia kepada semua arahan Hosni Mubarak, apa bekas Presiden Mesir itu dibicarakan, jika pegawai yang setia itu dikecam sama, nescaya tidak dia dapat berlepas tangan begitu saja.
Justeru pegawai yang pernah berkhidmat dengan penjajah, sedikit sebanyak khidmatnya itu menguntungkan kepentingan penjajah, maka apabila ada orang membangkitkan maruah mereka sebagai pegawai penjajah, terpaksalah ia diterima dengan sabar dan hati yang terbuka.
Sekalipun khidmat pegawai itu dapat memberi kebaikan kepada masyarakat umum, tetapi hakikatnya penjajah itu adalah menindas tanah jajahan dan penduduknya. Sekalipun ada baiknya tetapi buruknya lebih menonjol.
Mungkin ia boleh dikiaskan kepada arak. Arak ada eloknya, boleh jadi ubat tertentu, tetapi buruknya lebih banyak. Justeru itu arak diharamkan.
Apabila Tunku terlibat dalam politik dan politiknya itu pula adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan, maka dia terpaksa melalui ujian dan nilaian semua pihak. Apa lagi apabila dia bukanlah orang yang pertama menyuarakan seruan kemerdekaan dan bukanlah pula seorang saja yang memperjuangkan kemerdekaan, sudah tentu perbandingan tidak dapat dielakkan.
Di samping adanya kebaikan hasil daripada kemerdekaan yang dicapai itu, banyak juga kelemahan dan keburukan yang terjadi kepada bangsa yang dimerdekakan tadi. Setidak-tidak nya bangsa berdaulat sebelum terjajah, telah turun tarafnya kepada kaum setelah merdeka.
Secara diam sejarah dan politik Tunku sebagai bekas pegawai British sudah dibisik dan disembang, cuma penilaian itu belum dibukukan, apatah lagi pakar sejarah lebih senang menilai sukan dari me ngupas sejarah. Tunku boleh dibela tetapi tidak semuanya dapat dibela.
Pencapaian cemerlang Tunku se bagai Bapa Malaysia dan Perdana Menteri tidak dapat menghapuskan sikap dan apa yang ditinggalkannya sebagai pegawai penjajah dulu.
Jika Tunku boleh ditakwil, maka sekalian pegawai yang pernah berkhidmat dengan penjajah juga boleh ditakwil.
Apa pun segala kebaikan yang diberi oleh pegawai semasa terjajah dulu tidak sama nilainya dengan kebaikan perkhidmatan sebuah negara yang merdeka.
Atas hakikat itu pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan penjajah wajarlah bersikap rasional apabila ada teguran dan kritik terhadap orang pernah bekerja dengan kerajaan penjajah.
Rasulullah s.a.w. pernah ditawarkan oleh pembesar musyrikin Quraisy untuk menjadi orang yang terkaya dalam masyarakat Arab, menjadi Raja Arab dan beristerikan wanita tercantik pada zamannya asal baginda dapat bekerjasama serba serbi dengan Quraisy.
Tidakkah boleh kesempatan itu diambil untuk melebarkan dakwahnya jangka panjang? Tetapi semuanya ditolak kerana baginda tidak diajar untuk bersubahat dengan jahiliyah.
Atas muslihat tertentu dan muslihat umum pegawai yang pernah berkhidmat dengan penjajah tidaklah terlepas daripada subahat dengan penjajah. Teguran Mat Sabu itu adalah tentang negatif subahat itu.
Adakah kita sedar betapa Tunku sendiri pernah tidak seronok bersubahat dengan penjajah? Mengapa ketika memulakan kerancakan menuntut kemerdekaan itu dia mengambil keputusan supaya pemimpin Umno yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan meletakkan jawatan dalam kerajaan.
Semasa Dato’ Onn memimpin Umno kebanyakan pemimpin Umno adalah terdiri daripada menteri-menteri dan Menteri Besar. Sebahagian daripada mereka meninggalkan Umno bersama Onn. Tetapi tempat yang mereka tinggalkan dalam pimpinan Tunku kemudiannya kebanyakannya diisi oleh pegawai-pegawai tinggi di zaman penjajah itu seperti Tunku juga.
Tidak pasti apakah ia dibuat kerana tidak mahu bekerjasama atau bersekongkol dengan penjajah atau mahu menumpukan penuh masa bagi merundingkan pengambilan kemerdekaan daripada British.
Kesemua mereka meletakkan jawatan. Kecuali Tun Razak Hussein yang menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Tunku berkata kepada saya di kediaman persaraannya di Pulau Pinang, “Kami semua letak jawatan, tapi Tun Razak tidak letak jawatan. Dia terus jadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang hingga merdeka.”
Daripada nada dan air mukanya, ada isyarat tidak seronok dengan sikap Tun Razak. Dia tidak patuh kepada keputusan partinya sedang dia adalah orang nombor dua Umno selepas Tunku. Bolehlah dikira sikap Tunku dan rakan-rakannya mahu berlepas tangan daripada terlibat dengan kerajaan Inggeris itu.
Pejuang kemerdekaan
Pejuang kemerdekaan yang lebih dulu daripada mereka seperti Pak Sako adalah seorang majistret dan Ibrahim Yaakub yang menubuhkan KMM adalah seorang guru lepasan Tanjung Malim. Mereka telah meletak jawatan sebaik saja melibatkan dalam politik bagi menuntut kemerdekaan.
Tetapi mereka adalah kumpulan yang benar-benar menentang kerajaan penjajah itu. Mereka langsung tidak ada hubungan dengan penjajah dan pegawai-pegawai Inggeris. Maklumlah me reka tidak sukakan penjajah dan tentulah penjajah juga tida sukakan mereka.
Ada pun orang Umno tidaklah dilihat sebagai orang yang digetik oleh penjajah.
Apabila parti-parti yang menuntut kemerdekaan diharam, Umno tidak diharamkan, bahkan semua orang Umno kekal dalam kerajaan, malah menjadi menteri seperti Onn dan Dato’ Gantang serta Dato’ Nik Ahmad Kamil menjadi Menteri Besar Perak dan Menteri Besar Kelantan.
Bagaimanapun Umno di bawah Tunku hanya mahu pemimpin-pemimpin tertinggi saja meletakkan jawatan, manakala yang lain boleh terus jadi pegawai penjajah.
Apapun mungkin langkah pemimpin Umno yang meletak jawatan itu mengira tidak elok lagi hingga ke peringkat itu mereka bersubahat lagi dengan penjajah. Jika mereka dikira pejuang merdeka tulen, meletak jawatan itu adalah untuk membersihkan diri daripada ada hubungan lagi dengan penjajah.
Walaupun tidak tindakan terhadap Tun Razak yang engkar meletak jawatan, ada sikap tidak enak menjadi pegawai penjajah sedang mereka menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Sekalipun mereka tidak menyatakan antipenjajah yang meluap-luap tetapi bersubahat dengan penjajah hingga kemerdekaan diserahkan, tetapi tidak bersubahat hingga akhir itu adalah satu bentuk protes juga.
Yang tidak subahat itu adalah yang terbaik dan tidak subahat di saat akhir juga dikira elok juga. Tetapi yang tidak terpuji ialah yang terus-menerus subahat.
No comments:
Post a Comment