Oleh Haji Abdul Subky Latif
Sejak Mohamad Sabu menimbulkan pandangan baru tentang Mat Indera dan menuntut supaya sejarah kemerdekaan ditulis semula, mulai berkembang persepsi baru tentang kehidupan Mat Indera yang dilebel inteligen Bitish sebagai seorang komunis.
Adik Mat Indera, seorang pesara tentera yang selamanya membisu tentang sebaran nama abangnya yang buruk itu tiba-tiba muncul di khalayak umum membela abangnya bukan seorang pemimpin komunis.
Setelah kira-kira 13 tahun merdeka, sesudah merasa dirinya selamat, Mat Kilau muncul di khalayak ramai di masjid mengumumkan dirinya Mat Kilau yang dikehendaki polis dulu.
Adik Mat Indera juga begitu. Setelah Mat Sabu menggemparkan cerita abangnya, dia merasa ada suasana kondusif baginya untuk membela abang, seperti keluar dari persembunyian, dia menyokong seruan Mat Sabu supaya ditulis semula sejarah abangnya.
Antara persepsi baru tentang Mat Indera itu, ada keterangan bahawa dia bukan orang yang memimpin pasukan komunis menyerang Rumah Pasong Bukit Kepong.
Sekali pun dia ada hubungan dengan orang-orang komunis kerana sama-sama mahu mengusir penjajah British, dia pergi ke balai polis itu menyelamatkan polis dan keluarganya dari serangan komunis itu.
Dia tidak memimpin serangan itu tetapi dia datang sesudah ada serangan bagi menyelamatkan siapa yang boleh diselamatkan. Tetapi ketika dia sampai, hanya seorang saja yang dapat diselamatkan. Keterangan mata-mata yang diselamatkannya itu ada direkodkan.
Persepsi baru itu pula menyebut Mat Indera adalah seorang yang bencikan penjajah Inggeris dan tidak bersedia untuk bertolak ansur dengan Inggeris dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menentang Inggeris.
Sikap itu sama dengan sikap Dr Burhanuddin al-Hilmy yang memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya bersikap non-co atau tidak berkompromi terhadap Inggeris.
Sikap Dr Burhanuddin itu adalah disebabkan terpengaruh dengan sikap Mahatma Gandhi memimpin gerakan kemerdekaan India. Dr Burhanuddin belajar lama di India, terdedah dengan perjuangan Gandhi, bahkan beliau berkenalan rapat dengan dua pejuang kemerdekaan India iaitu Pandit Nehru dan Ali Jinnah yang kemudiannya menjadi bapa kebebasan Pakistan.
Sikap non-co Dr Burhanuddin ini menjadi pegangan PKMM dan Mat Indera adalah seorang aktavis PKMM yang berpengaruh di tempatnya di Muar. Kalau British boleh mendapat kerjasama Dato Onn Jaafar dan penyokong-penyokongnya di Johor, tetapi Mat Indera langsung tidak memberi muka kepada Inggeris. Bahkan Mat Indera boleh menjadi pemimpin lebih ke depan dari komunis dalam menghadapi Inggeris.
Ada masanya Inggeris boleh bermain mata dengan komunis tetapi Inggeris tidak boleh dapat apa-apa dari Mat Indera. Sikap Mat Indera itu mendapat sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang menentang penjajahan. Dasar British adalah jelas melagakan orang Melayu dan Cina. Antara kemarahan orang Melayu kepada Cina ialah rata-rata ketua komunis itu adalah Cina. Ia adalah peluang baik bagi British menenamkan rasa curiga orang Melayu kepada Cina.
Apabila Mat Indera dilebelkan sebagai pemimpin komunis dan mengepalai komunis menyerang Bukit Kepong, maka ia mengubah pandangan orang Melayu kepada Mat Indera. Kebetulan Mat Indera pula hadir di Bukit Kepong dalam kejaadian itu maka ia satu kesempatan terbaik bagi British menamkan sikap bencikan Mat Indera.
Mat Indera tidak peluang untuk membela diri. Dia diburu dan apabila ditangkap, Mat Indera terus dipisahkan dari masyarakat umum khususnya orang Melayu. Ada pandangan mengatakan Mat Indera tidak mendapat perbicaraan adil. Tiada keterangan tentang pembelaan diri Mat Indera. Yang diketahui dia dihukup bunuh saja.
Mengikut Ghani Ismail, penulis bebas yang pernah bekerja dengan Tengku Razaleigh, berasal dari Taiping. Dia tidak jumpa orang Melayu di sekitar Taiping percaya Mat Indera seorang komunis. Bagi mereka dia seorang yang kuat Islam dan terpelajar. Malah ada orang Taiping menganggapnya keramat. Boleh diterima teori mengatakan dia komunis dan mengetuai serangan balai polis Bukit Kepong itu adalah muslihat British bagi menggelapkan perjuangan anti Inggeris Mat Indera.
Tektik Inggeris sama seperti yang dilakukannya terhadap pejuang Palestin terhadap British dan Yahudi sebelum ia ditakluk Israil. Semua Arab yang penentang British di Palestin dilebel sebagai pengganas. Tektik sama digunakan Amerika dan Nato sekarang terhadap orang Islam yang menentang penindasan Amerika dan barat. Semuanya dituduh teroris.
Jika Chin Peng mengesahkan Mat Indera adalah komunis, ia bukan mustahil bagi propaganda komunis untuk membuktikan parti komunis juga disokong oleh orang Melayu dan Islam.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
No comments:
Post a Comment