JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir Terbuka Korea selepas menundukkan pemain tuan rumah, Shon Wan Ho 13-21, 21-14, 21-15, semalam.
Lawan yang akan menantinya adalah pemain Jepun, Kenichi Tago yang mengalahkan pemain Singapura, Ashton Chen 21-10, 21-13, hari ini.
Namun agak mengejutkan apabila Chong Wei yang juga pilihan pertama mudah memberikan Wan Ho set pertama apabila kalah 13-21.
Menurut jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, pergerakan bulu tangkis yang perlahan menjadi punca penguasaan gelanggang Chong Wei agak longgar hingga tumpuannya terjejas.
“Sebab itu dia agak lambat menguasai gelanggang berbanding lawannya.
“Yang penting, kesilapan set pertama itu harus menjadikan Chong Wei lebih tenang dan bersabar.
“Dia tidak boleh memikirkan untuk menamatkan permainan awal sebaliknya terus dengan rentak biasa mengajak lawan bermain tiga set.
“Apapun Chong Wei pantas memperbaiki kesilapan dan dia akhirnya menamatkan permainan dengan dua set mudah selepas itu,” katanya.
Sementara itu, musuh ketat Chong Wei, Lin Dan dari China pula akan menentang seorang lagi pemain tuan rumah, Lee Hyun Il untuk menentukan tempat ke suku akhir.
Bagaimanapun agak malang bagi pasangan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong apabila gagal ke suku akhir selepas tewas di pusingan kedua kepada beregu bukan pilihan dari Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu 21-13, 20-22, 22-24.
Kekalahan mereka yang kini menduduki tangga keenam dunia mungkin menjejaskan kedudukan mata ranking untuk layak ke Sukan Olimpik London, Julai ini.
No comments:
Post a Comment