Oleh SYAHIR SULAIMAN
Setiap profesional muda yang punyai idealism, kepakaran dan hasrat untuk membangun Negara Berkebajikan sewajarnya tidak melepaskan peluang mengikuti program ‘Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya’ yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 11 Ogos bermula jam 1 petang, bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.
Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, program ini dilihat amat bertepatan dengan iklim politik negara semasa yang menatijahkan kesedaran dan kebangkitan rakyat, khususnya kelompok anak muda, yang mengharapkan bentuk bernegara dan bermasyarakat yang lebih baik di Malaysia.
Pemuda PAS melihat PRU-13 bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia, tatkala BN mahu merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen, di samping lanskap politik semasa yang tidak menentu, khususnya peranan pihak media yang rancak memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat, di samping pertambahan komposisi pengundi muda yang dianggarkan mencecah 52% jika parlimen dibubarkan pada suku pertama 2013.
Pemuda PAS yakin bahawa PRU-13 ini bakal menjadi medan pertembungan polisi oleh setiap parti politik yang bertanding untuk mengemukakan gagasan dasar dan program yang mampu menarik sokongan pengundi, khususnya dalam memperbaiki masalah sosio-ekonomi rakyat bawahan di samping kebimbangan terhadap dayatahan ekonomi negara yang menanggung beban hutang yang kian meningkat, hasil daripada pemborosan dan salah urus tadbir kewangan oleh pemimpin negara.
Agenda pembaharuan ini, yang boleh dibahagikan kepada aspek penambahbaikan (corrective) dan penyusunan-semula (restructuring) sudah pasti menuntut kepada komitmen dan kepakaran dari semua peringkat penggubal dasar dan pelaksana polisi, khususnya di kalangan profesional muda.
Pemuda PAS berbangga untuk menyediakan generasi muda yang kompeten dan amanah di kalangan ilmuwan, cendekiawan, profesional, pendidik dan aktivis sukarelawan, yang tekun dan dedikasi membina kepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Walaupun pendirian politik tidak dapat dizahirkan atas faktor amalan demokrasi yang tidak sihat di Malaysia, namun ia tidak pernah melunturkan semangat dan tekad untuk memberi sumbangan dalam agenda membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.
Justeru, Pemuda PAS mengalu-alukan kehadiran seluruh profesional muda dari sektor kerajaan dan swasta, teman-teman graduan dalam dan luar negara, muslimin dan muslimat, untuk menghadiri program “Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya” sebagai medan pemantapan peranan profesional muda dalam agenda Membangun Negara Berkebajikan.
Jadikan Xpresi ini sebagai manifestasi kebersamaan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Putrajaya kelak, insyaAllah.
SYAHIR SULAIMAN
AJK Dewan Pemuda Pas Malaysia
No comments:
Post a Comment