Oleh Zulkifli Yahaya
ADA beberapa persoalan menarik dicetuskan Umno di kalangan masyarakat Melayu dalam usaha mengelirukan mereka agar tidak menyokong PAS. Persoalan dilontarkan isu semenangnya isu perang saraf yang dijalankan oleh Umno secara berperancangan.
Ia dikatakan strategi yang diatur oleh Biro Tata Negara, hasil rumusan meja bulat para pemikir mereka; bagaimana mahu menguasai minda orang Melayu agar terus menyokong Umno-BN dalam PRU13.
Isu tersebut dianggap berkesan kerana agak dekat di hati orang Melayu Islam. Orang Melayu luar bandar atau kalangan mereka yang tidak terdedah dengan maklumat kedua, tidak pelik jika termakan dengan propaganda perang saraf yang bersifat rasis itu. Peliknya segelintir yang berpendidikan seperti guru dan pensyarah juga boleh termakan dakyah songsang Umno dan golongan ini antara yang turut berkempen memanjangkannya. Maka ia perlu diberi penjelasan.
1.PAS sanggup berkawan dengan DAP kafir harbi tapi tak mahu kerjasama dengan Umno yang sebangsa seagama
Umno sudah memerintah 55 tahun melakukan banyak sangat penyelewengan, rasuah, kronisme, penindasan terhadap hak rakyat, sekat kebebasan bersuara, menzalimi rakyat dan yang paling dahsyat ialah melakukan pengkhianatan terhadap Islam dan Melayu. Semua itu perlu ditamatkan.
Apakah dalam Umno tiada 'orang baik' untuk membetulkan Umno dari dalam seterusnya membetulkan kebobrokan yang telah berakar umbi dalam kerajaan? Memang ada, tetapi mereka tidak mampu untuk melakukannya lantaran segala kemungkaran politik itu sudah sebati dengan sistem yang ada.
Bukan setakat dalam kerajaan, dalam Umno itu sendiri rasuah sudah jadi budaya yang hampir mustahil untuk dihapuskan. Para pemimpin atasan parti yang mempamerkan kononnya mereka menentang rasuah juga menaiki heiraki parti melalui wang.
Seandainya PAS memilih untuk bersama Umno dengan alasan kononnya untuk memperkuatkan Melayu, PAS mungkin boleh membentuk kuasa bersama Umno tetapi tidak mungkin membetulkan segala kepincangan yang berakar umbi itu. Melayu tidak akan mendapat apa-apa kekuatan serta Malaysia tidak akan merasai apa-apa perubahan ke arah kebaikan hasil kerjasama itu. Andaian yang lebih parah ialah, ia bukan setakat tidak dapat membaiki Umno dan kerajaan sebaliknya akan merosakkan PAS.
Justeru jalan terbaik ialah dengan menumbangkan Umno-BN sebagai pemerintah di Pusat, barulah segala kebejatan itu dapat ditamatkan. Dalam realiti politik di Malaysia tiada sebuah parti berasaskan bangsa atau agama mampu berkuasa secara bersendirian. PAS memilih DAP dan KeADILan sebagai rakan kerjasama (tahalluf siyasi) kerana perlukan undi bukan Melayu untuk menumbangkan BN. DAP adalah parti yang kuat dan lebih berintegriti berbanding semua parti dominasi Cina yang lain.
Dakwaan bahawa DAP adalah kafir harbi adalah tidak tepat kerana kafir harbi merujuk kepada golongan yang menentang sebuah kerajaan Islam, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara sekular bukan negara yang berasaskan perlembagaan Islam. Dalam realiti politik di Malaysia MCA adalah paling lantang menghina elemen Islam berbanding DAP. Ia dibuktikan dengan jelas daripada kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin MCA sejak dahulu dan belum pernah berakhir sehingga kini. Jika tuduhan 'kafir harbi' boleh diputuskan tanpa kewujudan negara Islam maka pihak yang tepat untuk dilabelkan ialah MCA, bukan DAP.
2. PAS tukar dasar kerana berkawan DAP, dahulu perjuangkan Negara Islam tapi sekarang Negara Kebajikan
Dasar PAS tidak pernah berubah, yang berubah cuma strategi dan istilah. Misalnya masa bersama permuafakatan dalam Angkatan Perpaduan Ummah dahulu PAS guna ayat ‘menegakkan Islam sebagai addin’ dalam manifesto. Sekarang PAS guna ‘Negara Berkebajikan’ untuk mengelak fobia daripada kalangan yang mahu menyokong Pakatan Rakyat tetapi takut dengan 'Negara Islam' akibat persepsi negatif yang berjaya ditanamkan oleh BN terhadap PAS selama separuh abad.
Ambil iktibar Sirah Rasulullah s.a.w. Waktu Perjanjian Hudaibiah, draf perjanjian tertulis perkataan ‘Allah sebagai Al-Rahman dan Al-Rahim’ dan ‘Muhammad adalah Rasulullah’. Wakil puak kafir Quraisy, Suhair bin Anbar tidak bersetuju dengan istilah tersebut kerana ia membawa maksud mereka mengakui kebenaran sebahagian ajaran Islam. Maka Rasulullah s.a.w. bersetuju membuang perkataan tersebut daripada dokumen perjanjian.
Sayidina Ali k.w.yang menulis draf perjanjian itu keberatan apabila Rasulullah s.a.w.mengarahkan beliau memadamkan perkataan 'Al-Rahman, Al-Rahim dan Muhammad Rasulullah'. Rasulullah yang tidak tahu membaca dan menulis meminta Sayidina Ali menunjukkan di mana kalimah yang dipertikaikan itu tertera di atas kertas dokumen. Apabila Sayidina Ali menunjukkannya maka Rasulullah s.a.w. sendiri yang memadamkannya. Ia tidaklah bermakna Nabi Muhammad tolak sifat kemuliaan Allah atau tolak baginda sebagai Rasulullah. Itu adalah strategi Rasulullah s.a.w.
Perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah dicorakkan oleh mana-mana rakan kerjasama, termasuk DAP. Sebab itu PAS tidak pernah mengubah keputusan parti yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sekalipun terdapat perbezaan dengan pihak lain. Ia berbeza dengan Umno yang seringkali tunduk dengan desakan dan ugutan MCA dan Gerakan. Sebab itu apabila MCA dan Gerakan menentang secara terbuka peraturan berpakaian sopan dalam persembahan terbuka yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah, Umno hanya membisu seribu bahasa.
No comments:
Post a Comment