Oleh: Shuhaimi Al-Maniri
Pasca pilihanraya umum ke-12 pada 8hb. Mac, 2008 telah membuktikan kepada UMNO bahawa tunggak kekuatan mereka selama ini bergantung kepada komponen-komponen parti-parti gabungan BN di Semenanjung terutama MCA, MIC, Gerakan dan PPP sudah berakhir.
Sekarang Datuk Seri Najib sudah pening kepala bagi menyelamatkan bahtera BN yang diasaskan oleh bapanya, Tun Abdul Razak dalam menghadapi kemelut pascai kemelut 13hb. Mei, 1969. Selepas penggantungan parlimen ekoran peristiwa tersebut, Tun Abd Razak mengambil pendekatan meredakanpoliticking antara parti-parti politik pemerintah dan pembangkang
Dengan pendekatan politik Tun Razak yang sederhana, beliau berjaya mempengaruhi parti pembangkang utama di Semenanjung yang berjaya membentuk kerajaan negeri seperti Gerakan di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan serta PPP di Perak menyertai gagasan politik baru dipanggil Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973.
Tiga parti pembangkang PAS, Gerakan dan PPP serta SUPP di Sarawak telah menyertai BN dan hanya DAP, PRM dan beberapa politik lain kekal menjadi pembangkang. Tetapi bila Tun Razak meninggal dunia secara mengejut pada tahun 1976, PAS telah ditendang semula menjadi pembangkang setelah satu usaha “rampasan kuasa” dilakukan dengan memageran kerajaan Kelantan.
Disebabkan peristiwa ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat begitu serik dengan tipu helah politik UMNO walaupun UMNO berusaha mendapatkan talian hayat semula dari PAS untuk kali kedua setelah kerajaan yang dibina selepas PRU ke-12 tidak stabil.
UMNO sekarang sedang berusaha menyelamatkan diri setelah parti-parti komponen BN yang lain bercakaran sesama sendiri. Kemelut MCA semakin parah bila Ong Teen Keat dalam dalam usul undi tidak percaya. MIC belum menemui pengganti kepada Datuk Samy Vellu. Gerakan hilang keyakinan kepada presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon. Bahkan PPP yang tidak mempunyai sebarang kerusi parlimen pun berebut presiden antara Datuk M Kayves dengan T. Murugiah
Ong Ka Ting selamatkan MCA ?
Dengan kedudukan MCA yang kucar kacir tidak ada apa manfaat kepada BN. Sebab itu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Pengerusi BN mengambil “jalan selamat” dengan tidak hadir merasmikan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA baru-baru ini.
Bernama (16 Mac) melaporkan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting hari ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden parti itu menentang penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan kepimpinan MCA pada 28 Mac ini untuk tempoh kira-kira setahun sahaja.
Sambil mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan muncul semula, Ka Ting berkata, beliau menerima banyak panggilan daripada para anggota, veteran dan perwakilan parti di seluruh negara yang disampaikan kepadanya melalui pelbagai saluran media meminta beliau kembali dan bertanding untuk presiden.
Sebelum itu, beberapa usaha dilakukan oleh veteran MCA mencari seorang calon Presiden yang boleh diterima oleh semua pihak dalam parti MCA yang sentiasa dilanda oleh krisis kepimpinan sejak dahulu lagi sehingga pernah Tun Ghaffar Baba, Setiausaha Agung BN dilantik menyandang jawatan Pemangku Presiden MCA.
Sebelum ini Ong Ka Ting telah telah menjadi Presiden MCA dan Chan Kong Choy dilantik Timbalan Presiden MCA selama kitra-kira 5 tahun (2003-2008) dalam satu kompromi antara Team A yang diketuai oleh Tun Ling Leong Sik, Presiden MCA dan Team B diketuai oleh Datuk Lim Ah Lek , Timbalan Presiden ketika itu.
Percaturan pertandingan MCA kali ini sukar diramal. Tiga kem yang bertarung sesame sendiri sebelum ini, iaitu kem Ong Tee Keat (Presiden), Dr Chua Soi Lek (Timbalan Presiden) dan Kem Liow Tiong Lai (Naib Presiden) sedang membuat percaturan terakhir untuk menyelamatkan diri berikutan perkembangan terkini.
Dengan pencalunan Tan Sri Ong Ka Ting menjadikan kemelut MCA semakin rumit. Berdasarkan kepada perkembangan terakhir sekarang ini, kedudukan Ong Tee Keat yang menjadi Presiden MCA sekarang ini sedang dalam dilemma.
Beliau perlu mencaturkan semula kedudukannya sama ada akan menentang Ong Ka Ting bagi kerusi Presiden MCA atau beliau sanggup berkompromi dengan berundur setapak kebelakang berpadu dengan Ong Ka Ting menentang Dr. Chua Soi Lek Timbalan Presiden, jika beliau kekal bertanding kerusinya sekarang.
Jika Ong Tee Keat tidak bersedia berundur setapak kebelakang, persaingan dalam MCA menjadi bertambah menarik Presiden MCA (Ong Tee Keat) ditentang bekas Presiden MCA (Ong Ka Ting). Jika ini berlaku, kita lihat siapa beregu dengan siapa dalam pertarungan kali ini.
Beberapa penganalisis politik tanahair menjangkakan, siapa pun yang memenangi pertandingan pada 28hb. Mac, 2010 ini, pertembungan ini tidak akan berakhir dengan keputusan tersebut. Kehadiran Ong Ka Ting adalah untuk tempoh bertenang bagi meredakan kemelut MCA yang sudah tidak terkawal.
Dengan perlembagaan MCA, menetapkan seseorang Presiden MCA tidak melebihi 3 penggal atau 9 tahun bermakna jika Ong ka Ting memang dalam pemilihan pada 28hb ni bermakna tempoh masa yang ada pada beliau adalah tidak lama.
Apa-apa pun kita tunggu perkembangan seminggu dua ini dahulu.
No comments:
Post a Comment