" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Monday, June 7, 2010

Berani hang dakwa tak dak langsung niat khianati bangsa sendiri!

Nampak macam panik sungguh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bila dia mengeluarkan kenyataan yang antara lain berkeriau:

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menegaskan kerajaan tiada cadangan untuk menjual walau seinci tanah di Kampung Baru kepada bukan bumiputera ataupun syarikat asing.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, nisbah 60:40 yang dicadangkan sebelum ini telah disalah erti sebagai satu usaha untuk kerajaan memberi hak milik tanah kepada bukan bumiputera (lihat Utusan Malaysia hari ni "Nisbah libatkan unit bangunan bukan jual tanah di Kampung Baru - Raja Nong Chik")

29 Mei lalu, dalam berita bertajuk "Kampung Baru mungkin dibuka untuk bukan Melayu tingkat potensi pembangunan", Bernama melaporkan:

Berdasarkan cadangan untuk membatalkan sekatan kepentingan tanah-tanah di Kampung Baru, kaum bukan Melayu akan berpeluang untuk memiliki ruang perniagaan dan unit-unit kediaman yang akan dibangunkan di kawasan itu berdasarkan nisbah 60:40 (lihat juga berita Malaysian Insider 29/5/10 "Non-Malays key to Kampung Baru re-development").

Kalau dah bukan bumiputera ataupun syarikat asing boleh beli rumah dan tempat berniaga, apa relevannya nak cakap fasal tak akan jual walau seinci tanah di Kampung Baru kepada bukan bumiputera ataupun syarikat asing?

Contoh mudah. Saya ada sebidang tanah di kampung saya di Matang dalam kawasan Bukit Gantang. Saya bagi tahu kepada bukan bumiputera ataupun syarikat asing bahawa boleh buat awak punya rumah, awak punya kedai atas saya punya tanah. Awak punya rumah, awak punya kedai, bukan saya punya. Hak milik tanah, itu saya punya. Apa makna?

Bila depa dah buat rumah depa atau kedai depa atas tanah milik saya, ingat saya boleh suruh depa pergi gitu-gitu ja kalau saya ada rancangan lain?

Tapi yang saya meluat sekali ialah bila Raja 200 juta tu (lihat berita 200 juta di bawah) dilaporkan berkata:

Tambahnya, sebagai seorang pemimpin Umno, beliau akan terus memperjuangkan hak milik orang Melayu atas konsep rakyat didahulukan dan tiada langsung niat untuk mengkhianati bangsa sendiri.

Hello, waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah rizab Melayu. Kini, jumlahnya sudah susut hingga hampir separuh, kerana jumlah yang tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja. Di bawah kerajaan mana tanah-tanah rizab Melayu tu melingkup? Di bawah parti Likud yang dikepalai Benjamin Netanyahu? Jangan sampai orang kata Umno itu parti Likud versi Malaysia!

Selepas kira-kira 65 peratus orang Melayu tak undi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun 1999, siapa pelingkup kerusi-kerusi majoriti Melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003? Berani Umno kata bukan dia yang pelingkup!!?

Bukan sahaja kerusi Melayu dilingkupkan, malah kawasan majoriti Melayu dinafikan pertambahan kerusi. Dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 24 Jun 2003, Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyatakan: "Kelantan, Terengganu dan Kedah masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus. Kita tidak lihat kerusi baru di tiga negeri ini".

Raja 200 juta, berani hang dakwa tiada langsung niat untuk mengkhianati bangsa sendiri!

Lampiran:
Kerugian RM200 juta akibat perhimpunan haram anti ISA

Utusan Malaysia (2/8/09): Kementerian Wilayah Persekutuan menganggarkan kerugian kira-kira RM200 juta yang dialami para peniaga serta kerosakan harta benda ekoran perhimpunan haram Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sini semalam.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, para pegawai kementeriannya bagaimanapun akan membuat penilaian mengenai kerosakan dan kerugian itu untuk mengetahui jumlah sebenarnya.

“Kita akan cuba dapatkan segala taksiran mengenai kerugian yang dialami serta kerosakan dan ia mestilah berjuta-juta, sekurang-kurangnya, anggaran saya dalam RM100 juta ke RM200 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival 1Malaysia “Merealisasikan Wawasan Negara” anjuran Persatuan Penduduk Desa Tasik, Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran kerugian itu turut mengambil kira bahawa semalam merupakan hari cuti hujung minggu, yang membolehkan penduduk bandar raya ini keluar membelibelah sempena jualan mega sebagai persiapan menyambut Hari Raya Puasa yang akan disambut pada September ini. - Bernama

Tempias pindaan undang-undang rizab Melayu

Peguam Menulis Oleh Salleh Buang

Utusan Malaysia (24/08/2004): Betulkah pindaan undang-undang tanah rizab Melayu akan menguntungkan orang Melayu? Itulah soalan yang telah dikemukakan oleh seorang pembaca akhbar ini dalam e-melnya kepada saya hujung minggu lalu.

Tergamam juga saya bila membaca soalan itu, kerana jawapan yang diminta daripada saya jelas sekali tidak boleh diasaskan kepada emosi atau harapan, tetapi berlandaskan fakta sebenar dan semasa (setidak-tidaknya ramalan munasabah tentang suasana yang akan timbul setelah pindaan undang-undang itu dikuatkuasakan nanti).

Jika undang-undang sedia ada (ramai menganggapnya sebagai pagar keselamatan melindungi tanah rizab Melayu supaya kekal dalam tangan orang Melayu dan tidak terjatuh atau tergadai kepada pihak lain) itu kini nyata tidak mampu sepenuhnya melindungi dan mengekalkan status yang sedia ada, tidakkah undang-undang yang lebih liberal dan longgar itu nanti akan menghasilkan satu situasi yang lebih teruk dan gawat lagi?

Atas gesaan pembaca yang menghantar e-melnya kepada saya itu, saya mencari maklumat lanjut berkaitan hal ini di ruang siber.

Jika maklumat yang saya temui itu (dan yang saya nyatakan semula di bawah ini) tidak betul, saya harap sesiapa sahaja yang mengetahui kedudukan sebenar akan sudi menegur dan membuat pembetulan bagi makluman kita semua.

Sewaktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah rizab Melayu. Kini, jumlahnya sudah susut hingga hampir separuh, kerana jumlah yang tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja.

Di Selangor, hampir 9,000 hektar tanah rizab Melayu hilang (biasanya kehilangan ini ialah menerusi pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960).

Walaupun Perlembagaan Persekutuan mewajibkan setiap ekar tanah beri milik rizab Melayu yang diambil mesti diganti dengan jumlah keluasan yang sama (menerusi pemberian milik baru), Selangor hanya mampu menggantikan sekadar satu pertiga sahaja (34 peratus).

Di Kedah, kita difahamkan bahawa pada 1990 kira-kira 80 orang Melayu (pemilik tanah rizab Melayu di kawasan Pantai Chenang, Langkawi) hilang tanah mereka setelah ia diambil oleh PBN untuk membangunkan projek pelancongan Pelangi Beach Resort.

Di Negeri Sembilan, pada 1994 lebih 600 orang Melayu yang menduduki Kampung Mambau, Mukim Rasah, hilang tanah mereka (seluas 930 hektar) apabila PBN mengambil tanah mereka itu untuk membangunkan projek gergasi Seremban II.

Setahun sebelum itu, pada 1993 masyarakat petani di sekitar kawasan Kerpan, Kedah, kehilangan tanah mereka (melibatkan 167 lot tanah seluas lebih kurang 1,000 ekar) apabila PBN mengambilnya untuk projek ternakan udang harimau. Projek ternakan itu adalah usaha sama antara kerajaan negeri dengan kumpulan Ben Ladin dari Arab Saudi.

Di Johor, kira-kira 26,000 ekar tanah orang Melayu di sekitar Tanjung Langsat hingga Tanjung Piai juga telah hilang, setelah diambil untuk satu projek bandar baru.

Projek ini dikendalikan oleh syarikat milik Kuok Brothers, secara usaha sama dengan kumpulan UEM.

Di Melaka, penduduk Kampung Pantai Kundur dan Tanah Merah juga telah kehilangan tanah rizab Melayu mereka apabila ia diambil untuk pembinaan satu kawasan zon penampan oleh Petronas.

Di Terengganu, tanah orang Melayu di Pulau Redang (seluas kira-kira 300 ekar) diambil oleh PBN dan kemudian diserahkan kepada satu syarikat swasta milik seorang jutawan bukan Melayu.

Kesimpulannya, jika di bawah Enakmen Rizab Melayu yang sedia ada, pemilik tanah rizab Melayu terus dihalang menjual atau menggadai tanah mereka kepada orang atau institusi bukan Melayu, tanah tersebut tetap hilang (pupus) sedikit demi sedikit, tahun demi tahun, menerusi prosedur pengambilan tanah.

Sementara kita tidak mempersoalkan niat baik (bona fide) tindakan kerajaan negeri ataupun menolak rancangan pembangunan yang hendak dijalankan, soalan undang-undang yang berbangkit (dan yang secara jujur mesti dijawab) ialah kenapa PBN berkaitan terus gagal dan meremehkan kewajipannya menggantikan jumlah tanah rizab Melayu yang telah hilang?

Dari kaca mata rakyat, PBN adalah ketua atau pemimpin mereka. Berasaskan prinsip kepimpinan menerusi teladan, sewajarnya semua PBN (yang telah mengambil tanah rizab Melayu) segera melaksanakan kewajipan mereka untuk menggantikan jumlah yang hilang itu dengan membuat pemberian milik baru atas jumlah yang sama.

Kegagalan PBN melaksanakan kewajipannya di bawah Perlembagaan Persekutuan itu pastinya sedikit sebanyak menghakis kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Itu adalah undang-undang alam.

Kini, timbul pula niat hendak melonggarkan lagi ikatan dan menggugurkan halangan yang sedia ada. Tidak dinafikan niat kerajaan memang baik, iaitu hendak meningkatkan nilai pasaran serta kebolehpasaran tanah rizab Melayu di seluruh negara.

Tetapi bila kita lihat isu ini dari kesan jangka panjang, siapakah yang sebenarnya akan untung - pemilik tanah (orang Melayu) atau orang lain yang mengambil pajakan tanah rizab itu (usahawan atau peniaga bukan Melayu)?

Wajar diingat bahawa undang-undang pajakan dan sewaan tanah kita sekarang belum begitu rapi, tersusun indah dan seimbang.

Kedudukan undang-undang kita sekarang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan undang-undang pajakan dan sewaan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Dalam Kanun Tanah Negara 1965, hanya terdapat dua atau tiga seksyen tertentu menyentuh mengenai perkara ini.

Selebihnya, prinsip caveat emptor terus terpakai, manakala terma-terma pajakan dan sewaan biasanya digubal dan ditentukan oleh pengamal undang-undang berasaskan perundingan dan persetujuan antara pemilik tanah dengan pemajak.

Kepada pembaca yang mengemukakan soalannya minggu lalu itu, apa yang dapat saya katakan ialah tanpa melihat teks sepenuhnya pindaan yang hendak diluluskan, sukar bagi kita menyatakan (di peringkat awal begini) sama ada kepentingan pemilik tanah nanti akan terus dapat dilindungi sepenuhnya, ataupun mereka akan menghadapi risiko yang tinggi andainya mereka setuju membenarkan tanah mereka dipajak oleh bukan Melayu selama tempoh 60 tahun (atau apa-apa tempoh lain yang dibenarkan oleh undang-undang).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111