Oleh Lanh
KETUA  Angkatan Muda KEADILAN merangkap Pengerusi Perhubungan KEADILAN Melaka,  Shamsul Iskandar Mohd Akin mempunyai cerita menarik bagaimana bijaknya seorang pengundi di Sibu pada pilihan raya kecil Parlimen di kawasan itu tidak lama dulu.
Kisah  ini beliau dedahkan pada majlis ceramah umum Pakatan di Merlimau  baru-baru ini yang turut membabitkan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke;  Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution dan Mursyidul Am PAS yang  juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata  Shamsul, di Sibu dia dengan rakan-rakan telah pergi berkempen ke rumah  seorang penduduk yang kediamannya dilitupi bendera BN. Terlalu banyak,  sehingga boleh dikatakan rumahnya diselimuti bendera BN.
Menurut  Shamsul dia dan rakan-rakan pun berkempen bagai nak rak, menerangkan  mengapa pengundi berkenaan perlu membuat perubahan, jangan memberi undi  secara membabi buta kepada BN.
Selepas penat memberi penerangan  mereka pun bertanya pemilik rumah tadi siapa yang akan diundinya pada  pilihan raya nanti. Jawapannya ringkas: “Undi adalah rahsia, tetapi  untuk maklumat kamu semua setiap bendera dipasang ini saya diberi RM50!”
Demikianlah  cuba bayangkan kalau 100 bendera dipasang, bukankah dengan mudah si  pemilik rumah tadi sudah dapat RM5,000! Wah, bukan main pandailah  pemilik rumah itu.
Demikianlah, baik Shamsul dan Saifuddin  mengingatkan adalah penting untuk mendapatkan pengundi seramai mungkin  memangkah calon Pakatan Rakyat (di Merlimau, calonnya adalah daripada  PAS) tidak kiralah sama ada mereka itu penyokong atau ahli Umno dan  sekutunya seperti MCA dan MIC. “Yang penting undi mereka diberikan  kepada calon Pakatan; soal sokongan atau ahli parti, itu soal  masing-masing.”
Saifuddin berkata perkara itu sudah dibuktikan  ketika beliau menghadapi pilihan raya kecil Lunas pada 2000. Katanya,  pada pilihan raya umum 1999, calon KEADILAN kalah di tangan calon BN  dengan majoriti lebih 6,000 undi tetapi pada pilihan raya kecil 2000,  dia (Saifuddin) dapat menarik sokongan kira-kira 6,000 pengundi tadi  seterusnya memberi beliau kemenangan dengan majoriti lebih 200 undi.
Berdasarkan  contoh di Lunas, Saifuddin berkata, perkara yang sama boleh dilakukan  di tempat lain termasuk Merlimau. Beliau berpendapat dengan senario  pilihan raya dijalankan di padang yang tidak sama rata (seperti  penggunaan jentera kerajaan, lambakan projek dan penguasaan media oleh  BN), Pakatan perlu menggunakan pendekatan memujuk pengundi dari rumah ke  rumah.
“Pastikan tidak ada seorang pengundi pun tercicir daripada didekati oleh petugas kita,” katanya.
Berdasarkan  perkembangan semasa, penduduk di Merlimau sedang menikmati limpahan  projek kilat yang biasanya dianggap tidak ada kena mengena dengan  pilihan raya oleh pemimpin tinggi Umno BN. Misalnya Timbalan Perdana  Menteri, Muhyiddin Yassin sudah menjanjikan sebuah SRJK (Tamil) yang  lebih selesa manakala Ketua Menteri Mohd Ali Rustam sudah mengumumkan  peruntukan RM500,000 bagi membaiki rumah-rumah orang miskin. Demikianlah  betapa baiknya pemimpin BN yang melihat kebajikan ini tidak ada kena  mengena dengan pilihan raya, ringkasnya projek-projek mereka bukan untuk  memancing undi.
Sebenarnya cakap-cakap pemimpin Umno BN bahawa  peruntukan dan projek untuk rakyat tidak ada kena mengena dengan pilihan  raya (jika mereka benar-benar ikhlas) adalah bertepatan satu ayat  al-Quran (Surah Al-Insan ayat 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya kami  memberi makanan kepadamu hanyalah untuk menghadapkan keredaaan Allah,  kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan)  terima kasih.”
Ya, wahai pemimpin Umno BN, taburlah wang,  taburlah makanan, banyakkan projek dan lakukanlah pelbagai kerja-kerja  kebajikan, tetapi sejajar dengan perintah Allah SWT melalui ayat 9 Surah  Al-Insan ini, janganlah harapkan apa-apa daripada perbuatan baik kamu  itu.
Jika ucapan terima kasih pun tidak diharapkan, janganlah  kamu mahu memaksa rakyat mengundi calon kamu. Itu sudah melampau sebab  perbuatan baik jangan diharapkan secebis balasan pun hatta terima kasih  sekali pun.
Berhubung ayat 9 Surah Al-Insan ini, ada ulama  membawakan kisah betapa ikhlasnya Sayidina Ali k.w. dalam memberi  bantuan kepada orang miskin. Suatu hari Ali dan isterinya Fatimah iaitu  puteri Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai sedikit pun makanan di rumah  mereka.
Ali yang ke luar rumah selepas lama berusaha mendapat  sedikit makanan tetapi ketika balik, dia telah menyedekahkan semua  makanan itu kepada sejumlah peminta sehingga dia tidak membawa balik  apa-apa pun kepada Fatimah. Namun kedua pasangan suami isteri itu masih  bersyukur, mereka tidak meminta balasan di atas kebaikan mereka hatta  terima kasih sekali pun. Mereka hanya menghadapkan keredaaan Allah SWT.
Oleh  itu benarlah apabila ada pemimpin Umno BN kerap berkata sesuatu projek  atau pemberian itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Mereka  ikhlas untuk membantu rakyat, jadi jangan harapkan ada-apa daripada  rakyat lebih-lebih lagi undi mereka.
Ingat, selepas bantuan  diberi, jangan berharap apa-apa langsung – jangan paksa rakyat mengundi  calon anda. Contohilah Sayidina Ali k.w. yang tidak mengharapkan apa-apa  pun daripada orang dibantunya hatta ucapan terima kasih. Dia hanya  mengharapkan keredaan Allah; begitulah diharapkan kepada pemimpin Umno  BN, semoga anda dapat mencontohi Ali k.w.! 

 
 

 
 
No comments:
Post a Comment