Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi
Negara kita masih menyaksikan kepincangan ketara dalam amalan demokrasi.  Bukan sahaja dipentas politik negara malah kepincangan serupa turut  melanda politik kampus. Bermula dari pengendalian sistem demokrasi yang  berat sebelah, tidak adil dan tidak telus telah menimbulkan keresahan  berpanjangan dari rakyat dalam negara kita. Saya percaya tragedi yang  berlaku di UPM baru - baru ini pun bermula dari keresahan serupa yang  turut dirasai oleh para mahasiswa.
2. Pada 10 November 2007  yang lalu, rakyat telah meledakkan kebangkitan menuntut sebuah  demokrasi yang bersih dalam satu himpunan 100,000 rakyat yang dikenali  sebagai himpunan BERSIH. Beberapa tuntutan yang telah dibuat dalam  himpunan BERSIH yang pertama tempohari masih dibekukan begitu sahaja  oleh pihak berwajib. Antara tuntutan tersebut ialah :
- Penggunaan Dakwat Kekal kepada pengundi
- Pembersihan daftar Pemilih
- Pemansuhan Undi POS
- Kebebasan media
3.  Saya melihat secara dekat perkembangan demokrasi dalam negara kita  masih tidak benar - benar telus dan bebas dari sebarang manipulasi  seperti undi pos yang masih diamalkan dalam sistem demokrasi  negara kita. Malah undi pos benar - benar dijadikan tali hayat pihak  pemerintah untuk mengekalkan survival kuasa mereka . Demikian juga  kebebasan media yang kian parah.
4. Saya yakin seluruh rakyat dalam negara kita dapat saksikan kepincangan ini, apabila media  elektronik dan cetak negara kita seperti RTM dan Utusan Malaysia serta  Berita Harian diguna sepenuhnya secara tidak adil untuk berkempen  sebelah pihak iaitu pihak UMNO dan BN sedang RTM dan Utusan  Malaysia atau Berita Harian ini tidak pula diisytiharkan sebagai media  rasmi atau buletin rasmi parti UMNO dan BN .
5.  Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mendesak dan merayu  supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini sebelum  berlangsungnya pilihanraya umum ke 13 akan datang. Hanya keadilan ,  ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini  akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya,  samaada menang atau kalah. Andai sistem pengendalian demokrasi negara  masih pincang dan dilihat terlalu banyak kelemahan di sana dan sini,  keputusan pilihanraya akan mencetus rasa tidak puas hati dan menganggu  kesejahteraan serta keharmonian rakyat .
6. Desakkan dan rayuan ini adalah serius.  Kami sudah penat bertolak ansur dan bertarik tali dengan pihak kerajaan  dalam menuntut keadilan serta ketelusan dalam sistem demokrasi negara  ini. Sungguhpun kerajaan UMNO dan BN benar - benar nekad mahu  mempertahankan survival kuasa dan pengaruh mereka , maka pertahankanlah ia dengan bermaruah dan berhemah.  Iaitu melalui satu sistem pengendalian demokrasi yang telus, adil dan  saksama. Bukan melalui sistem saingan demokrasi yang berat sebelah.
7. Kami memberi tempoh sehingga menjelang 1 Mei 2011  ini untuk kerajaan memberi komitmen lalu memulihkan sistem demokrasi  pincang yang kita hadapi dalam negara kita hari ini. Andai desakan dan  rayuan ini tidak dipeduli oleh pihak kerajaan, kami dari Dewan  Pemuda PAS Malaysia telah memberi komitmen untuk menyahut seruan Yb Al  Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS bahawa satu  lagi rally atau himpunan BERSIH digerakkan.
8.  Kali ini, insyaallah saya percaya dan yakin, sekurang - kurangnya  setengah juta rakyat [500,000] akan bangkit secara aman namun penuh  tegas untuk memohon dan mendesak agar kerajaan mahu atau tidak mesti  memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar adil dan  telus kepada semua parti yang bertanding dan melibatkan diri dalam  pilihanraya.
9. Saya meletakkan jangkaan tarikh awal untuk BERSIH 2 ini ialah pada bulan June 2011  [ sabtu ] jika sekiranya menjelang 1 Mei 2011 ini, kerajaan masih gagal  untuk meyakinkan rakyat dengan satu komitmen untuk memastikan sistem  pengendalian demokrasi negara benar - benar dipulihkan serta bebas dari  sebarang ruang manipulasi serta kepincangan.
10.  Saya ulangi tanpa sikap teragak - agak demi kebaikan kepada seluruh  rakyat dan negara agar kerajaan benar - benar serius dan memahami  tuntutan kami sebagai rakyat dan anak - anak muda khasnya yang mahu  menyaksikan perubahan besar berlaku dalam negara ini. Andai tuntutan  diterima dan dilaksanakan , kami benar - benar mengucapkan terima kasih  namun jika sebaliknya, berbanyak maaf kami pinta bahawa kami khasnya anak  - anak muda, dengan Nama Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha  Adil,  akan bangkit sekali lagi menuntut hak kami sebagai rakyat yang  merdeka pada bulan June 2011 dalam Himpunan 500K BERSIH 2 kelak .
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

 
 

 
 
No comments:
Post a Comment