Oleh Abu Firdaus
Pada suatu masa dahulu ada satu tanggapan bahawa hanya seorang pemimpin Umno yang boleh menyandang jawatan Perdana Menteri. Oleh kerana dari segi rekod, maka dilihat hanya Perikatan dan kemudian Barisan Nasional yang mampu memenangi pilihan raya, maka andaiannya ialah hanya presiden Umno yang boleh menjadi perdana menteri.
Maka kalau dilihat pada sejarah sekalipun, tidak nampak bahawa ada tokoh pembangkang yang boleh mencabar perdana menteri dari pihak Umno. Adakah benar andaian ini?
Tidak. Ini adalah kerana dari sejak kemerdekaan negara ini, tokoh yang mencabar perdana menteri adalah mereka yang juga mempunyai kewibawaan untuk menyandang jawatan itu.
Tunku Abdul Rahman dicabar oleh Datuk Onn Jaafar yang kelayakannya untuk menjadi perdana menteri tidak boleh dipertikaikan.
Dalam pilihan raya umum pertama Malaya merdeka pada rahun 1959, ada empat tokoh Melayu pembangkang yang masing-masing mampu menjadi perdana menteri. Datuk Onn, Dr Burhanuddin Al Hilmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.
Dalam pilihan raya tahun 1969, tokoh pembangkang Melayu yang boleh menjadi perdana menteri mencabar Tunku ialah Datuk Asri Muda dan Syed Hussein Al-Attas yang mengetuai Parti Gerakan.
Cuma pada tahun 1974, tokoh Melayu yang ditampilkan sebagai calon perdana menteri bagi mencabar Tun Razak Hussein ialah Kassim Ahmad yang mengetuai Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Walaupun sukar hendak membayangkan bahawa beliau menyandang jawatan perdana menteri tetapi beliau masih cukup berwibawa.
Dalam pilihan raya tahun 1978, Datuk Asri yang sudah berada di pihak pembangkang serta mempunyai pengalaman dalam kerajaan tidak mempunyai masalah jika dipilih menjadi perdana menteri.
Sementara dalam pilihan raya tahun 1986, calon yang ditampilkan oleh pihak pembangkang ialah Yusof Rawa, Yang Dipertua PAS dan juga bekas duta Malaysia ke Iran. Maka tiada masalah dari segi kewibawaannya untuk menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Pada tahun 1990, pihak pembangkang mempunyai calon yang lebih kuat iaitu Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi Fadzil Nor pun layak untuk menjadi perdana menteri.
Dalam pilihan raya tahun 1999, tokoh yang ditampilkan oleh pihak pembangkang iaitu Anwar Ibrahim pula berada dalam penjara. Namun Fadzil boleh dikehadapankan untuk menjadi ketua kerajaan.
Pilihan raya tahun 2004 sekali lagi Anwar dalam penjara dan tokoh yang boleh ditampilkan oleh pihak pembangkang ialah Abdul Hadi Awang.
Semua calon calon perdana menteri adalah orang Melayu dengan andaian bahawa adalah suatu yang munasabah bahawa perdana menteri mesti datangnya dari kalangan kaum majoriti di negara ini.
Dalam pilihan raya umum tahun 2008, Anwar masih tidak bertanding dan bukan calon perdana menteri walaupun ada disebut bahawa terdapat cara untuk melantiknya jika pakatan parti parti pembangkang memenangi pertandingan itu.
Maka dalam keadaan begini umumnya orang akan melihat hanya Anwar yang layak menjadi perdana menteri.
Tetapi apa apa pun boleh terjadi. Jika Anwar didapati tidak boleh dicalonkan sebagai perdana menteri, tokoh tokoh lain dari Pakatan Rakyat boleh ditampilkan.
Maka tentunya nama Abdul Hadi akan turut ditampilkan sebagai calon perdana menteri. Tetapi di pihak Parti Keadilan Rakyat pun sesiapa ketuanya boleh menjadi perdana menteri, termasuklah Azmin Ali.
Akhirnya jika rakyat benar benar menyokong perjuangan Pakatan Rakyat, akan muncul seorang perdana menteri yang mampu membawa Malaysia kepada cara politik yang lebih berwibawa dan maju.
No comments:
Post a Comment