KEPALA BATAS, 9 Ogos: Seramai 237 nama dalam senarai  daftar  pemilih terbaru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya  Malaysia (SPR)  didakwa mencurigakan dan telah dikenal pasti di Pulau  Pinang.
Pengarah Jabatan Pilihananraya PAS Negeri (JPN) Pulau  Pinang, Rosidi Husein memberitahu masalah tersebut mula dikesan sejak  sebulan lalu dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan senarai  baru itu.
"Kita syak ada usaha pihak tertentu memasukan nama-nama  yang tidak dikenali dalam senarai pemilih yang baru. Apa yang  dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng terdapatnya pertambahan  pengundi yang mendadak di Pulau Pinang sah dan betul, " tegasnya.
Menurutnya,  beberapa kekeliruan yang dikesan termasuk individu yang mempunyai dua  kad pengenalan dengan nama sama dalam kad pengenalan lama namun berbeza  pada kad pengenalan baru.
Selain itu terdapat juga mereka yang mempunyai nama sama dalam kad pengenalan namun nombor kad pengenalannya hampir sama.
Beberapa  penemuan lagi termasuklah mereka yang mempunyai nama orang meninggal  dunia tidak dihapuskan, kad pengenalan tentera tetapi ada dalam senarai  pengundi awam dan beberapa lagi aspek yang meragukan.
Paling  pelik sambungnya ialah terdapat nama yang sama namun mempunyai tarikh  lahir berbeza hanya sehari dan mengundi di dua lokaliti yang berbeza  atau berlainan.
Walaupun Pengerusi SPR pernah menafikan dan  menegakan benang basah SPR tetap dipandang rendah oleh rakyat yang  terlalu cintakan sistem yang bersih dan jauh daripada penipuan.
"Jika  begini sikap SPR siapa pun tidak mempercayai SPR yang dilihat bertindak  menyebelahi BN untuk memastikan BN kekal berkuasa selepas pilihanraya  umum ke 13 nanti, " tegasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas.
Justeru  itu beliau berharap semua Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) khususnya  yang ditandingi PAS membuat penyemakan segera supaya perkara ini boleh  dibantah.
Tambahan lagi SPR cuba memperkenalkan sistem biometrik  yang sudah tentu menyenangkan mereka melakukan penipuan demi penipuan  berbanding celup tangan yang diinginkan oleh Gabungan Pilihanraya Adil  dan Bersih (BERSIH).
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa berlaku peningkatan mendadak pengundi di negeri itu dengan jumlah 32,000 dalam masa 3 bulan.
Sumber: harakahdaily

 
 

 
 
No comments:
Post a Comment