Oleh Jebat Sarawak
Dengan lafaz : LA ILAAHA ILLALLAH,. MUHAMMADDAR RASULULLAH. Tidaklah ada ‘Ilah’ selain Allah SWT dan Muhammad itu adalah Utusan/Rasul Allah SWT.
Dengan lafaz kalimah syahadah ini dimulakan penulisan agar segala niat yang terpancar tidak akan mengkhianati kesucian lafaz islimiah itu. Ternyata keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan majalah The Herald menggunakan nama Allah dalam penerbitan bahasa melayunya menjadi begitu panas sekali. Bagaikan deruan ombak Tsunami yang mengerunkan suatu ketika dahulu, isu ini membadai kesejahteraan dan keharmonian prinsip beragama di negara bertuah dengan kesejahteraan pelbagai agama bernama Malaysia ini.
Sememangnya semangat mempertahankan dan memperjuangkan kesucian Islam ini merupakan salah satu tindakan yang begitu murni sekali. Ya mempertahankan agama dalah satu jihad yang sangat-sangat dituntut dalam Islam. Namun demikian terfikir di benak fikiran saya yang saya akui bukanlah tergolong dalam kumpulan alim atau ahli agama ini mengenai tindak tanduk penentangan yang begitu mendadak di kalangan bangsa melayu yang sejak azali mereka beragama Islam ini dalam isu penggunaan nama Allah ini.
Saya menjadi teruja dan terus terfikir sambil membaca setiap hasil tulisan berkaitan dengan isu keputusan mahkamah ini. Menghayati setiap pandangan yang hujah yang dikemukan oleh golongan penentang atau kecewa dengan keputusan mahkamah ini maka saya cuba menilai erti Islam itu sendiri. Adakah Islam itu terletak pada nama Allah itu sendiri atau Islam itu terletak pada ajaran Allah itu ?
Adakah seseorang itu khasnya bangsa melayu dikatakan Islam seandainya hanya mengakui dan mempertahankan hanya akan nama Allah itu atau adakah ajaran atau amalan yang diturunkan oleh Allah itu dalam ajaran Islam menandakan seseorang bangsa melayu itu benar-benar Islam ?
Kenapa saya mahu mempersoalkan perkara ini ? Saya sekarang ni semacam keliru dengan perjuangan golongan Islam berbangsa melayu dalam isu ini. Melihat, meniliti dan menghayati perjuangan Islam dan penghayatan nilai Islam di dalam negara ini, kini semakin jelas bahawa kehidupan serta kepercayaan masyarakat berbangsa melayu semakin menjauhi ajaran Islam itu sendiri. Malah semakin banyak tindak tanduk yang dilakukan oleh golongan pemerintah, ilmuan agama Islam yang semakin menghancurkan Islam di jiwa rakyat.
Di sini saya sekadar ingin meluahkan pandangan mengenai perjuangan dan tindakan yang benar-benar menegakkan syiar Islam itu sendiri. Walaupun mungkin kita tidak mampu menyebarkan ajaran Islam itu kepada yang belum beragama Islam tetapi sekurang-kurangnya memperbaiki nilai keislaman itu sudah memadai bagi kita. Soalnya adakah tindakan kita selama ini menuruti atau mengikuti ajaran Islam itu sebenar-benarnya ? Cubalah kita hayati beberapa peristiwa yang saya paparkan untuk menilai diri kita dalam memperjuangkan isu penggunaan nama Allah dalam majalah The Herald ini.
Kenapa kita marah dan rasa terancam dengan penggunaan nama Allah dalam majalah The Herald ini sedangkan selama ini mungkin diri kita juga termasuk dalam kumpulan bangsa melayu yang beragama Islam bermatian-matian dan begitu bersungguh-sungguh menentang perlaksanaan Hukum Hudud ( Hukum Islam ) dalam undang-undang negara kita ini. Kenapa kita takut menguatkuasakan undang-undang Islam sedangkan ia merupakan salah satu cara untuk menjaga dan mengekalkan kecuian Islam di bumi bertuah ini ? Cukup Islamkah kita kalau hanya pada nama Allah sedangkan usaha untuk menegakkan undang-undang Allah kita sendiri yang menentangnya. Malah bukan sekadar menentang perlaksanaannya, hinggakan menghina kesan dan akibat perlaksanaan Hukum Allah pun kita mempersetujuinya tanpa pertimbangan IMAN di jiwa kita.
Kenapa kita marah dan rasa terancam dengan penggunaan nama Allah dalam majalah The Herald ini sedangkan selama ini kita sendiri menyokong dan turut serta dalam aktiviti-aktiviti seperti penganjuran konsert liar atau program-program hiburan yang dengan jelas menjejaskan serta memesongkan fahaman Islam dalam masyarakat kita. Lihatlah bagaimana konsert liar menjadikan anak bangsa melayu terlibat dalam pergaulan bebas dan seks bebas serta penyalahgunaan dadah. Adakah semua ini merupakan syariat ajaran Islam atau kita turut menghancurkan generasi Islam kita sendiri ? Lihatlah bagaimana program-program hiburan yang ditayangkan di kaca TV kita yang menghalalkan adegan peluk cium, tidur sekatil, pakaian menjolok mata yang semakin diminati dan diidam-idamkan oleh anak bangsa kita malah golongan ibubapa sendiri merelakan perbuatan tersebut demi kemahsyuran dan kekayaan mereka.
Kenapa kita marah dan rasa terancam dengan penggunaan nama Allah dalam majalah The Herald ini sedangkan selama ini kita membiarkan kedai-kedai penjualan arak , pusat hiburan serta kedai nombor loteri dan perjudian tumbuh melata seperti cendawan tumbuh di persekitaran kita. Hari ini kita lihat bukannya golongan bukan Islam sahaja yang minum arak tapi orang Islam pun suka benar minum arak. Hari ini kita lihat bukan orang Islam sahaja yang berjudi serta membeli tiket nombor ekor malah orang Islam sendiri semakin ramai yang mencuba nasib malah menjadi taik judi membeli nombor ekor. Kalau dulu kita digambarkan dengan anak melayu yang suka pergi ke masjid untuk menuntut serta mempelajari ilmu agama Islam tetapi hari ini masjid atau surau semakin kosong. Di mana anak melayu beragama Islam. Carilah di pusat-pusat hiburan dengan alunan muzik yang membingitkan serta mengasyikkan itu. Lihatlah bagaimana hebatnya tarian dan gerakan badan anak-anak bangsa melayu mengikuti alunan muzik dengan arak dan dadah yang mengawal pemikiran. Adakah ini cara kita menegakkan syiar Islam ?
Kenapa kita marah dan rasa terancam dengan penggunaan nama Allah dalam majalah The Herald ini sedangkan selama ini mungkin kita sendiri menjadi penyokong dan pendukung kuat pemimpin yang jelas menghina kesucian Nabi Muhammad SAW. Tentu kita masih ingat bagaimana seorang Perdana Menteri kita yang Maha Berkuasa telah memperlekehkan isu janggut sehinggakan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak mencukur janggutnya kerana pada zamannya tidak mempunyai Gillete. Pemimpin ini jelas menghina pembawa ajaran Islam dan pesuruh Allah Nabi Muhammad SAW tetapi kita angkat manusia ini menjadi PEJUANG BANGSA YANG UNGGUL. Kita agung-agungkan pemimpin ini kerana mampu membina Menara Berkembar Petronas bangunan tertinggi di dunia ketika itu yang kini TERTEWAS oleh Burj Dudai atau keberkesanan memanipulasi krisis ekonomi 1998 sedangkan penghinaannya terhadap junjungan Allah kita kuburkan begitu sahaja. Apakah kita lupa bahawa Nabi Muhammad SW telah diangkat oleh Allah sebagai penghulu segala nabi. Begitulah sayangnya Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi kita pula mengangkat pemimpin yang menghina Nabi Muhammad SAW ini sebagai pemimpin agung. Tidak cukup dengan kenyataan itu, dikatakan pula akan banyaklah rakyat Malaysia yang akan cacat anggota badan jika hukum Allah dilaksanakan di Malaysia ini. Ternyata jika dibandingkan nama Allah dengan pemimpin bergelar DR MM ni, kita sanggup mengangkat DR MM ni daripada memilih ajaran Allah. Rasa-rasanya penggunaan nama Allah oleh majalah The Herald ini belum lagi terbukti ianya mencemarkan kesucian agama Islam. Yang ada hari ini hanyalah pemahaman kita yang semakin kurang terhadap Allah kita sendiri yang tiada dua dan tiganya. Jika kita yakin Allah kita hanya Allah yang Maha Esa, Allah Yang Satu dan Allah Semensta Allah nescaya kita akan yakin bahawa hanya Allah Islam sahaja yang akan berhadapan dengan kita di padang Mahsyar nanti. Justeru itu bukan nama yang penting tapi tauhid dan ajaran Islam itu yang menguatkan serta memperkukuhkan kedudukan Allah di jiwa kita.
Kepada pejuang-pejuang atau penegak syiar Allah di bumi bertuah ini, muhasabahkanlah diri serta insafilah diri kita dalam memperkatakan isu ini. Islamnya kita bukannya terletak pada nama Allah tetapi ia bergantung kepada keimanan kita untuk melaksanakan serta menegakkan ajaran serta hukum Allah yang diberikan dalam Islam itu.
Seandainya kita mahu dan sanggup meletakkan isu ini sebagai hidayah Allah SWT itu kepada kita maka ingatlah bahawa sesungguhnya Allah SWT itu begi tu Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Jika kita benar-benar sayangkan nama Allah itu maka nilaikanlah KPI kita dalam melaksanakan ajaran dan suruhan Allah SWT kepada diri kita.
Andainya diri kita belum mampu untuk menegakkan syiar Islam Allah, andaikatanya diri kita pernah tersasar jauh dalam mempertahankan ajaran dan suruhan Allah atau andaikata kita termasuk dalam golongan yang menjahanamkan diri kita dekat dengan ajaran dan suruhan Allah SWT maka kembalilah kepada ajaran dan suruhan Allah SWT. Marilah kita sama-sama menegakkan syiar Islam dengan roh dan keimanan kita kepada Allah SWT. Buangkanlah dan singkirkanlah segala bentuk anasir kemungkaran yang berlingkaran di sekeliling kita. Buangkanlah segala bentuk kepimpinan yang menjauhkan kita dengan ajaran Allah. Binalah generasi baru bangsa melayu kita dengan kepimpinan yang taat serta memartabatkan syiar Islam Allah SWT.
Atas segala pertimbangan diri kita dalam isu ini mudah-mudahan kita terhindar daripada GOLONGAN MUNAFIK. Janganlah kita menjadi golongan munafik kerana Allah SWT begitu benci kepada golongan ini. Ingat , sayang kita kepada Allah bukan hanya terletak pada penggunaan nama Allah semata-mata tetapi terletak pada ketinggian iman kita menegakkan ajaran dan syiar Allah SWT pada agama Islamnya.
Sesungguhnya Islam itu ialah Ad-Din dan kita umat umat sewajarnya menunjukkan contoh dan tauladan kepada golongan bukan Islam tentang betapa indah dan syumurnya zat kalimah Allah itu melaui ISLAM. Walau sebanyak mana pun nama Allah itu tetapi yakinlah bahawa Allah kita hanya satu iaitu Allah SWT. Allah SWT telah menurunkan pelbagai agama kepada umat manusia tetapi Allah SWT hanya ada untuk Islam sahaja. Sesungguhnya nama Allah pada agama yang lain selain ajaran Islam. Allah Islam ialah Allah SWT, Allah Yang Satu dan Allah Yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment