Oleh Li Fook Gao
Apakah perasaan ahli-ahli PAS selepas membaca berita-berita mengenai ucapan-ucapan di AGM Perkasa yang diutarakan oleh Datuk Ibrahim Ali (IA) dan Tun Dr Mahathir (TDM)?
Sama ada saudara teruja mahupun tidak, marilah kita sama-sama merenung persoalan-persoalan di bawah supaya kita dapat berfikir sejenak sebelum kita membuat keputusan sama ada ucapan-ucapan yang dibahaskan di AGM Perkasa boleh dipercayai atau tidak?
Adakah saudara sedar bahawa dalam kedua-dua ucapan tokoh yang di”perkasa”kan langsung tidak menyentuh tentang apa penyebab utama keadaan orang Melayu yang masih tidak berubah ke tahap yang memuaskan walaupun setelah 52 tahun UMNO berkuasa di negara kita?
Siapa yang harus dipersalahkan sekiranya IA merasakan bangsa Melayunya sendiri tidak terbela?
Apa yang boleh dilakukan oleh parti-parti politik seperti PAS dan DAP untuk merugikan bangsa Melayu sekiranya selama 52 tahun yang lepas mereka hanyalah dikenali sebagai parti pembangkang yang berkelahi antara satu sama lain?
Betulkah negara kita akan bertambah maju tanpa parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP? Jika ya, mengapa Malaysia merosot dengan begitu ketara sekali apabila keseluruhan rakyat Malaysia hampir membuatkan negara kita sifar pembangkang pada 2004 semasa zaman yang sepatutnya kita mencapai status Gemilang, Terbilang dan Cemerlang?
TDM dengan cepat menghunuskan jarinya kepada Tun Abdullah Badawi sebagai penyebab utama negara tiada pertumbuhan selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri.
Akan tetapi, adakah saudara sedar minda saudara tengah dipermainkan oleh yang dianggap pejuang? TDM langsung tidak menyentuh tentang amalan rasuah (barahnegara) yang diwarisi daripada zamannya sebagai penyebab utama duit-duit rakyat tidak pernah sampai ke tangan rakyat.
Adakah saudara sedar bahawa itulah cara berpolitik TDM selama ini dengan mempersendakan saudara-saudara sebangsanya untuk mencari mangsa lain untuk dipersalahkan bagi menutup kegagalannya sendiri?
IA berkata salah satu matlamat Perkasa ialah menpertahankan Islam. Walaupun matlamat Perkasa tepat dengan intipati pengikutnya yang semuanya Melayu beragama Islam, sasaran matlamatnya mungkin jauh tersasar.
Sebagai contoh, Perkasa harus mempertahankan Islam daripada ancaman siapa?
Dalam ucapan IA seolah-olah segala-galanya yang merosakkan nama baik Islam datangnya daripada DAP. Betul ke?
Gejala bakar gereja yang memburukkan nama Islam, angkara siapa? Perarakan kepala lembu yang secara terus-terang menghina penganut agama Hindu dan menampar nama baik agama Islam, angkara siapa?
Siapa yang menganiaya negeri serambi Mekah sekian lama daripada menerima royalti minyak?
Negara dikenali sebagai negara barahnegara yang merosakkan nama baik Islam, angkara siapa?
Siapa yang sanggup lantik perasuah yang dibuktikan dalam sesebuah parti sebagai Menteri Besar, Pakatan Rakyat ke?
JOM BERCUTI KE PULAU PANGKOR BERSAMA TEMAN
Siapa pula pemimpin bukan Islam yang menjadikan Khalifah Umar Abd Aziz sebagai contoh dalam pemerintahannya sebagai tanda penghormatan kepada tokoh dan ajaran Islam? Adakah Perkasa memujinya atau mengutuknya?
Yang lebih memilukan, adakah ajaran Islam membolehkan akta zalim seperti ISA digunakan pada manusia seperti yang ingin dipertahankan oleh Perkasa?
Siapakah musuh Islam yang sebenarnya? Siapa yang membuat bising di Parlimen atas lesen-lesen judi? Perkasa, UMNO, MCA ataupun PAS, PKR dan DAP? Bolehkah ahli PAS menyokong Islam yang cuba dibawa Perkasa?
Saudara ahli-ahli PAS haruslah bijak membuat penilaian terhadap Perkasa dari sudut tuntutan Islam.
Janganlah mudah terperdaya dengan retorik-retorik mereka yang berkepentingan untuk mengekalkan kuasa. Jangan pula memandang ringan terhadap pengaruh wayang kulit mereka kerana ramai juga yang akan terpedaya kalau kita tidak bersama-sama berusaha untuk menyedarkan persepsi sesama kita.
Renungan terakhir, mengapa proses usaha menanamkan tanggapan di minda Melayu bahawa “Malay is under siege” dan “Islam is under siege” masih diteruskan oleh puak-puak ini? Betul ke Melayu dan Islam yang seolah-olah diserang ataupun intelek cetek saudara is under-siege?
--------------------------------
DetikDaily
No comments:
Post a Comment