Laporan : HALIK ZAMAN
SATU sidang akhbar yang telah diadakan petang tadi berhubung Program Khas Ceramah Perdana yang akan diadakan di Dewan Hongkod pada 2 April 2010, pada jam 8.00 malam akan dihadiri oleh tetamu kehormat, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan dan para jemputan khas.
Beberapa orang perwakilan dari NGO-NGO yang menaja Ceramah Perdana ini, antaranya ialah Presiden USDA, Datuk Kalakau Untol serta beberapa orang lagi yang mewakili Persatuan Blogger Sabah dan beberapa NGO tempatan. Tema Ceramah Perdana yang dipersetujui ialah “MINYAK SABAH UNTUK SIAPA?”
Datuk Kalakau meminta dan mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Sabah dan badan-badan NGO yang lain serta semua lapisan peringkat badan-badan politik untuk mendengar sama ceramah yang bakal disampaikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berharap kerjasama dari semua pihak datang untuk menjayakan ceramah tersebut serta beliau memberi jaminan bahawa tidak ada unsur-unsur politik.
Menjawab satu pertanyaan, Datuk Kalakau menjelaskan, "Sebab utama ceramah ini di adakan adalah kerana rakyat Sabah ingin mendengar sendiri penjelasan yang sejelas-jelasnya dari Tengku Razaleigh, memandangkan beliau merupakan Mantan Pengerusi Petronas dan juga merupakan salah seorang pengasas Petronas agar dapat menghuraikan Perjanjian Petronas dan Negeri Sabah berhubung hasil minyak Sabah."
Kata Datuk Kalakau, "Tengku juga akan menerangkan kedudukan sebenar perjanjian di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai jarak jauh galian minyak dari pantai Sabah; berapa batu nautika menjurus ke Laut China Selatan".
Menurut Datuk Kalakau lagi, ianya adalah amat penting kerana rakyat Sabah sepatutnya diberikan penerangan dan kefahaman mengenai isu minyak di negeri ini.
Katanya, rakyat Sabah harus mendapatkan informasi yang sejelasnya dari aspek undang-undang bagaimana pengagihan hasil minyak itu dilaksanakan yang menjadi teka-teki selama ini.
Penganjur juga telah meminta setiap pertanyaan yang ingin diajukan kepada Tengku Razaleigh hendaklah ditaip dengan jelas dan hendaklah melalui Penasihat Undang-Undang yang telah dilantik, iaitu Haji Ansari Abdullah untuk disemak agar sebarang pertanyaan tidak menyalahi undang-undang dan seterusnya akan dikemukakan kepada Tengku Razaleigh untuk dijawab dan diperjelaskan menurut budibicara beliau.
SabahKini
No comments:
Post a Comment