Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : Masyarakat secara umumnya melihat, tindakan beberapa wakil rakyat Parti
Keadilan Rakyat (KeADILan) yang keluar parti hanyalah sebagai isu peribadi pemimpin tersebut sahaja.
Tegas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa tindakan tersebut tidak secara terus memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat, malah kalangan pengundi di kawasan yang terbabit dengan wakil rakyat yang lompat parti ini sebenarnya marah dengan sikap 'mementingkan diri' wakil rakyat terbabit.
Sebaliknya, mereka kini lebih melihat akan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran negara, ekonomi yang semakin parah dan rasuah yang cukup dahsyat dalam Umno/BN, katanya.
Malah kebanyakan rakyat melihat, mereka yang bertindak keluar parti ini juga dikalangan wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi yang baik di kawasan masing-masing, katanya.
"Ada yang saya dapat tahu mereka ini juga ada masalah sendiri, mungkin dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes tidak 'perform' di kawasan mereka wakili, dan kes dalam parti sendiri," dakwa Mujahid lagi.
Namun, Mujahid juga mengakui sebilangan kecil rakyat akan termakan dengan propaganda yang dijalankan media pro-Umno dengan menggambarkan seolah-olah krisis dalam Pakatan Rakyat begitu parah hingga ada ahli yang bertindak keluar parti.
Malah, lebih parah lagi media-media ini akan menjalankan propaganda untuk memecahbelahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dengan mensensasikan isu siapa layak jadi Ketua Pembangkang berikutan kekuarangan bilangan ahli Parlimen KeADILan di Dewan Rakyat, katanya.
"Saya harap kita tidak terperangkap dengan permainan ini, ini semua sengaja direka untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat, ini usaha Umno/BN untuk memastikan kita berpecah," katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Mujahid melihat penyokong di kalangan bukan Islam akan terus mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 nanti berdasarkan mood yang dilihat hari ini.
Sokongan rakyat semakin menggalakkan, malah terdapat pertambahan bilangan ahli PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang lain mutakhir ini.
Mengulas isu yang sama, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin pula menyifatkan, keluarnya beberapa kerat pemimpin parti itu yang tiada daya juang sebagai satu proses pembersihan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
Badrul Hisham juga menyifatkan Umno kian dirimbuni ratusan sampah sarap dengan kegemaran mereka mengutip sampah yang terbuang dalam KeADILan.
"Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Umno kerana suka mengutip sampah yang terbuang dan saya berpandangan ini suatu proses yang sihat dalam KeADILan, ujarnya..
"Sudah menjadi tabiat Umno mengumpan dan memancing beberapa kerat pemimpin yang tiada daya juang untuk keluar parti dan saya mengucapkan selamatlah pada Umno kerana gemar menyimpan sampah sarap ini,"ujarnya lagi.
Pada 3 Mac lalu seramai 12 ahli Parlimen KeADILan menafikan spekulasi keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas seperti didakwa beberapa ahkbar dan berita dalam blog.
Mereka juga menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.
Mereka yang mengumumkan ikrar taat setia ialah, Dato' Kamarul Baharin Abbas (Teluk Kemang), Ahmad Kassim (Kuala Kedah) Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Aziz Abd Kadir (Ketereh) dan Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).
Turut serta, S Manakavasigam (Kapar), Dato' Rashid Din (Merbok), Amran Abdul Ghani (Tanah Merah) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Utara).
Bagaimanapun, dua lagi Ahli Parlimen PKR, N Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Gwo Burne Loh (Kelana Jaya) tidak hadir kerana berada di luar negara.
Mengulas isu itu, ahli Parlimen Teluk Kemang Umn/BN cuba memecahbelahkan parti dengan menyebarkan desas-desus bahawa lebih ramai wakil KeADILan akan melompat parti.
Umno/BN sebenarnya gusar melihat gelombang kedua sokongan rakyat kepada pemimpin Pakatan Rakyat, terutama berikutan kes fitnah melibatkan Anwar, katanya lagi.
"Kami ingin menekankan bahawa perjuangan kita untuk membela prinsip keadilan. Kami juga ingin menyatakan bahawa sokongan kami untuk Anwar sebagai pemimpin KeADILan tidak berbelah bagi," kata Kamarul.
Menurutnya, kesemua 12 Ahli Parlimen PKR menandatangani kenyataan menjanjikan kesetiaan mereka kepada parti, dan ia suatu langkah yang dibuat secara sukarela.
Ketika ditanya sama ada ahli Parlimen lain dalam parti akan mengadakan sidang akhbar yang serupa dengan sumpah kesetiaan mereka, Kamarul berkata, mereka masih lagi bersama parti.:
sila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274


No comments:
Post a Comment