Oleh Dinsman
Menjelang tarikh Maulidur Rasul tiba-tiba ditimbulkan pula isu “Perarakan Maulidur Rasul” apakah ia dituntut oleh Islam atau tidak. Sebelum itu, seperti kita maklum,
heboh pasal isu kalimah Allah – boleh digunakan oleh orang bukan Islam atau tidak.
Maka apabila Suhaizan Kaiat (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat) dari PAS Kawasan Kempas, Johor Bahru, meminta saya mengisi program ceramah Maulidur Rasul di Pusat Aduan Rakyat Kempas, pada Ahad lalu, saya pun memikir-mikir apa yang hendak saya ucapkan, di samping tentunya akan membaca puisi “Maulidur Rasul” yang saya tulis pada zaman Reformasi 1999. (Kebetulan waktu itu ada perbicaraan kes Anwar Ibrahim, dan sekarang pun sama).
Rahmatan, yakni ‘rahmat’ – apa maksudnya? Kita selalu berdoa mohon rahmat daripada Allah, untuk kita, keluarga kita dan saudara-saudara kita. Apa itu yang kita mohon daripada Allah sebenarnya? Rahmat – sebuah perkataan yang sering benar kita ucapkan/gunakan hingga ia seperti kehilangan kesan maknanya yang sebenar.
Saya memahaminya bermaksud “limpah kurnia dari kasih sayang Allah Tuhan yang maha Pemurah.” Maka apabila Allah sendiri yang menyebutnya “rahmat bagi seluruh alam”, saya memahaminya sebagai sesuatu yang sangat berharga dalam hidup kita, dan tidak ada yang lebih berharga daripada itu. Dengan sendirinya ia juga merangkumi maksud kemajuan, pembangunan, peradaban, tamadun.
Itulah yang dibawa oleh Muhammad sebagai Rasulullah SAW. Rahmatan lil ‘aalameen itu ialah sebuah tamadun yang paling sesuai untuk umat manusia seluruh dunia, pada sepanjang zaman bermula daripada tarikh kerasulan Muhammad SAW. Tetapi, seperti saya tegaskan dalam majlis di Kempas itu: “Kita semua ini, manusia, tak habis-habis dengan perangai buruk kita – alpa, lalai, tak sedar diri, tak mengenang budi, tak pandai bersyukur. Makanya rahmat dan nikmat kurniaan Allah yang begitu besar itu pun tidak kita hargai.”
Dan perangai buruk manusia ini pula, yang saya maksudkan di sini, dilihat dari aspek yang jarang benar kita melihatanya, iaitu dari aspek yang sangat asasi atau fundamental dengan sifat kejadian manusia. Bahawa manusia dibezakan daripada makhluk-makhluk Allah yang lain apabila Allah mengurniakan kita otak untuk berfikir. Inilah yang membezakan manusia daripada malaikat, dan inilah juga yang membezakan manusia daripada binatang. Otaklah yang menjadi faktor manusia lebih mulia daripada malaikat, dan otaklah juga yang menjadi faktor manusia jatuh ke lembah yang hina. (Di samping faktor nafsu. Dan kadang-kadang faktor otak dan faktor nafsu susah nak dibezakan).
Memang Allah kurniakan kelebihan kepada manusia – boleh mencari ilmu, boleh berfikir, boleh mencipta pelbagai alat yang canggih melalui penemuan-penemuan sains dan teknologi. Maka manusia pun, dengan sedikit ilmu dan dengan sedikit kemampuan berfikir yang ada pada kita – kita sudah merasakan terlalu hebat. Kita cepat menjadi sombong dan angkuh. Kita cepat merasakan yang diri kita ini pandai.
Sebab apa? Sebab kita mampu berfikir. Sebab kita mampu memiliki ilmu. Kita percayakan otak kita berfikir ini, lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada al-Quran dan lebih daripada Rasulullah SAW.
“Inilah sikap kita manusia, dan inilah pemikiran kita. Dan di sinilah banyak berlakunya kesilapan manusia.” Jelas saya kepada hadirin di Kempas pada malam itu, yang saya harap mereka dapat memahaminya. Dan seterusnya saya menjelaskan:
Allah kurniakan ilmu kepada manusia ibarat setitik air di lautan cuma. Sedikit sangat ilmu kita dibandingkan dengan ilmu Allah, seperti disebut al-Quran (al-Kahfi: 109: “Sekiranya air lautan itu menjadi dakwat untuk menuliskan kalimat atau ilmu Tuhanku nescaya keringlah air lautan itu sebelum habis ilmu Tuhanku ditulis, walaupun ditambah dakwatnya sebanyak itu lagi.”
Tetapi berapa keratkah manusia yang menyedari akan fakta dan hakikat ini? Menyedarinya dalam kehidupan seharian kita! Sentiasa merujuk kepada fakta tersebut dan insaf akan kehebatan ilmu Allah yang sebahagiannya terakam dalam al-Quran. Sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan terbaik – uswatun hasanah (al-Ahzab: 21), ataupun dalam bahasa hari ini disebut ‘idola’.
Apakah masyarakat kita hari ini berusaha membina suasana yang menjadikan Muhammad sebagai ‘idola’ masyarakat? Atau kenapa kita membina penghibur menjadi idola anak-anak muda? Di situ apakah kita mengikut ilmu yang diajar oleh Rasulullah SAW, ataupun kita meminggirkan ajaran Rasulullah SAW? Kita menggunakan otak dan nafsu, ataupun kita merujuk kepada al-Quran sebagai buku panduan hidup?
Ternyata jawapannya adalah negatif. Itulah akibatnya apabila kita terlalu mengagung-agungkan otak dan kemampuan manusia berfikir. Kita secara tidak sedar telah meminggirkan wahyu atau ilmu Allah. Kita mudah terpedaya dengan fikiran sendiri dan cenderung untuk menilai al-Quran berdasarkan kemampuan otak kita, yang sangat terbatas. Padahal otak al-Quran itu sangat luas, dan tak terbatas ilmunya.
Tetapi berapa orangkah di dunia hari ini yang sedar perkara ini, bahawa al-Quran itulah otak sebenar untuk manusia? Saya mengatakan bahawa sekurang-kurangnya ada seorang manusia yang menyedarinya dan mempraktisnya dalam kehidupan hariannya, dan juga dalam pentadbiran negeri yang dipimpinnya. Orang itu ialah Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz. (Ada orang menyindir saya: Tok Guru Nik Aziz lagi!)
Tak mengapa. Maka sempena Maulidur Rasul ini, cuba kita semak dan periksa semula otak dan fikiran kita masing-masing. Adakah bersesuaian dengan ajaran Rasulullah SAW ataupun tidak? Caranya, antara lain, seperti yang diajar oleh al-Quran sendiri melalui wahyu yang pertama: Iqra’ bismi rabbikal lazi khalaq. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.”
Maksudnya – baca bukan sebarang baca, tapi bacalah dengan nama Allah yang mencipta. Dan ilmu pun bukan sebarang ilmu, tapi ilmu yang dicari, dimiliki dan digunakan dengan nama Allah yang mencipta.
Di situlah tersimpannya Rahmat Allah yang maha agung, dan di situlah terletaknya kekuatan umat Islam, yang telah ditinggalkan sendiri oleh orang-orang Islam disebabkan kelalaian mereka terlalu mengagung-agungkan kemampuan otak, mengikut nilai dari tamadun kebendaan Barat.
sila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274


No comments:
Post a Comment