Oleh Dinsman
26 Mac 2010 genaplah satu tahun teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT) dipentaskan. Walaupun secara rasmi pementasan pertamanya dibuat di hadapan Sultan Kelantan dan Menteri Besar TG Nik Aziz dalam majlis Santapan Diraja sempena keputraan Sultan Kelantan pada 30 Mac 2009, di Kota Darulnaim, Kota Bharu; namun pada 26 Mac 2009 teater lakonan solo Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin ini telahpun menemui penontonnya buat pertama kalinya, di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Memang pementasan 26 Mac itu bukan pementasan yang terbuka untuk tontonan orang ramai. Ia hanya sebuah ‘preview’ atau pementasan percubaan yang dibuat secara tertutup untuk beberapa orang kawan-kawan dan wartawan sahaja. Tetapi rupa-rupanya pementasan percubaan itu telah menghasilkan beberapa kesan yang di luar duga, termasuk beberapa tulisan di akhbar, majalah dan internet.
Maka apabila membuat kiraan jumlah pementasannya saya fikir ia patut bermula dari situ. Dan demikian juga apabila hendak menyambut ulang tahunnya, itulah tarikhnya.
Sejak tarikh itu, hingga 25 Mac 2010 MKDT telah 33 kali dipentaskan. Hanya pementasan di Muzium Negeri Selangor, Shah Alam, dibuat selama lima malam berturut-turut (29 April hingga 3 Mei). Yang lain-lain semuanya dibuat satu malam sahaja pada satu-satu tempat, yang berjumlah 29 tempat semuanya.
IKLAN PERCUTIAN DI PULAU PANGKOR TERIMA KASIH
Pelakon yang menjayakan kesemua pementasan dalam tempoh satu tahun itu, kecuali satu, ialah Sabri Yunus. Satu yang bukan lakonan Sabri itu ialah pada 16 Mei 2009, di Markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur. Ia dilakonkan oleh Saufi Jikan, dan diarah oleh Nasir Jani. Waktu itu ada banyak permintaan, yang kadang-kadang tak sesuai dengan jadual Sabri. Maka saya cuba wujudkan satu team lagi. Tetapi kerana sebab-sebab tertentu, rancangan itu dibatalkan.
Ada satu pementasan yang cukup bersejarah, yang membuka lembaran baru dalam sejarah seni, khasnya teater. Ia berlaku pada pementasan ke-10, iaitu pada 30 Mei 2009. Buat pertama kalinya teater dipentaskan dalam masjid. Bukan dalam dewan kuliah di masjid, tetapi di ruang solat masjid. Dan masjid yang mencipta sejarah tersebut ialah Masjid Batu, Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Mengikut Azizi Abdullah, pementasan di Masjid Batu itu mungkin pementasan teater yang pertama dibuat dalam masjid di dunia. Bukan sahaja pertama kali di Malaysia, tetapi juga mungkin pertama kali di dunia. Dan orang yang bertanggungjawab mencipta rekod ini ialah Pengerusi masjid tersebut, Cikgu Khairuddin.
Maka dalam surat saya kepada Exco Kebudayaan Selangor saya nyatakan: “Ia membawa dimensi baru kepada kesenian di negara ini (bahkan ada orang berpendapat kepada kesenian di dunia), kerana berjaya mengubah persepsi masyarakat Islam terhadap teater, hingga mereka menerimanya dipentaskan di ruang solat di dalam masjid. (Sedangkan sebelum ini ramai orang Islam masih meragui aktiviti teater sebagai halal atau maksiat).”
Teater MKDT juga berjaya menimbulkan minat orang ramai terhadap teater, terutamanya di kalangan belia dan pelajar, yang sekaligus membuka pengetahuan dan minat mereka terhadap Hadis Nabi dan Sirah Rasulullah (SAW) dan para Sahabat, melalui cerita Ka’ab bin Malik dalam teater ini. Buktinya pementasan di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar dan Universiti Sains Malaysia kampus Kota Bharu, masing-masing berjaya menarik 1,300-1,500 penonton untuk satu pementasan, walaupun dikenakan tiket RM5.
Dan agak memeranjatkan saya, dalam pementasan di Sek. Men. Agama Pedas, Negeri Sembilan pada 6 Mac lalu, tiket yang dikenakan kepada pelajar ialah RM10. Itu pun dewan yang boleh mengisi 700 penonton itu penuh. (Ia juga dibuka kepada orang awam di sekitarnya).
Jadi apabila menjelang 26 Mac dan permintaan untuk teater ini masih berterusan, saya pun terfikir untuk membuat sedikit acara sambutan ulang tahun. Dibuat di tempat yang sama di mana ia pertama kali menemui penontonnya, iaitu di Stor Teater DBP, pada Sabtu 27 Mac. Ia tak dapat dibuat tepat pada tarikh 26 Mac kerana pada tarikh tersebut kita mengadakan pementasan di Skudai, Johor, sebagai menyahut permintaan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai.
Tidak ada apa-apa acara istimewa gilang gemilang bagi menyambut kejayaan teater ini. Hanya pementasan seperti biasa, oleh Sabri Yunus dan Sani Sudin, diikuti dengan cakap-cakap atau wacana, dan sambil menikmati jamuan ringan. Sesiapa yang berminat silalah datang. Tak ada tiket. Percuma.
Dan sementara itu, seperti yang saya katakan, permintaan terhadap MKDT masih berterusan. Selepas ulang tahunnya, pada 16 April MKDT akan ke Kota Bharu sekali lagi. Kali ini atas jemputan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, dan ia akan dipersembahkan di pentas terbuka Dataran Stadium.
Selepas pementasan itu pasukan MKDT mungkin akan terus pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga, kerana esoknya 17 April penduduk-penduduk Bandar Baru Bangi sudah menanti. Persembahan di dalam masjid, sebaik sahaja selesai solat maghrib, iaitu di masjid yang dikenali sebagai Surau An-Nur.
Seterusnya ialah pada 8 Mei, di kilang Panasonic, Shah Alam.
Pementasan yang dinanti-nantikan ialah pada 16 Mei, di Auditorium Muzium Selangor, Shah Alam. Sesuatu yang tak pernah diduga. Saya sendiri pun menanti-nantinya dengan penuh harapan dan menganggapnya sebagai suatu penghormatan. Mengapa tidak? Sasterawan Negara A Samad Said sendiri akan melakonkan watak Kaab itu. Ia tentulah sesuatu yang sangat istimewa! Lain dari yang lain, dan lain dari yang kebiasaan.
Lakonan pun mungkin akan mendapat makna dan definisi baru hasil dari inisiatif Samad Said ini. Siapa tahu apa yang akan berlaku? Tak siapa yang tahu. Ia benar-benar akan memberi pengalaman baru kepada teater. Syukur alhamdulillah!
Dinsman
No comments:
Post a Comment