Oleh Penarik Beca
Anda bacalah sendiri bahagian yang saya hitamkan dalam dua berita di bawah dan buatlah ulasan sendiri dalam wilayah keimanan kepada Allah s.w.t. di dalam hati masing-masing. Hanya saya ingin bertanya, tidaklah orang yang berdosa dan bersalah ingin sangat nak masuk Umno Apco untuk melepaskan diri hari hukuman dunia?
Dua exco Perak bebas tuduhan rasuahIPOH (Bernama 23/4/10): Dua bekas anggota Exco kerajaan negeri Perak bersama tiga individu lain dibebaskan daripada tuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Dua bekas anggota Exco terbabit ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu, 59 dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, 54.
Kedua-dua mereka adalah bekas Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi wakil Bebas.
Tiga lagi tertuduh yang dibebaskan ialah bekas Adun Bota, Kapten (B) Usaili Alias, 58, bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 48, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 32.
Kesemua mereka menghadapi 16 tuduhan rasuah berkaitan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh dalam keputusannya berkata keputusan dibuat kerana pihak pendakwa telah gagal membuktikan kes prima facie.
Katanya, semua tertuduh dengan ini dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Mengikut pertuduhan, Jamaluddin bersama Usaili dituduh meminta dan menerima suapan RM5,000 daripada Mohamad Imran Abdullah pada pukul 11.40 pagi, 14 Ogos 2008 di Tingkat 1, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini.
Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan membantu Mohamad Imran mendapatkan projek yang dicadangkan untuk dibangunkan di tanah seluas 36 hektar di pusat bandar Seri Iskandar.
Usaili juga menghadapi empat pertuduhan lain antaranya didakwa meminta RM5,000 daripada Mohamad Imran untuk Jamaluddin pada pukul 5 petang, 12 Ogos 2008 di Medan Istana 2, Bandar Ipoh Raya di sini.
Dia juga dituduh meminta RM5,000 lagi daripada Mohamad Imran untuk Mohd. Osman pada pukul 11.40 pagi, 14 Ogos 2008 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Mohd Osman menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM5,000 daripada Mohamad Imran pada pukul 7.15 malam, 16 Ogos 2008 di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Zul Hassan, 48, pula menghadapi pertuduhan menerima suapan seks daripada Mohamad Imran pada pukul 8.10 malam 14 Ogos 2008 di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa yang merupakan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh-tertuduh pula diwakili oleh peguam-peguam bela, Surjan Singh, Abdul Roni Abdul Rahman, M. Saravanan dan Mohd. Asri Othman.
Seorang lagi yang yang dituduh bersama mereka iaitu juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Ruslan Sahat meninggal dunia tahun lepas.
Mahkamah dipenuhi oleh keluarga dan juga penyokong tertuduh.
Ketika ditemui di luar mahkamah, kesemua tertuduh bersyukur dengan keputusan mahkamah.
Osman yang menahan sebak ketika bercakap dengan pemberita turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya yang sabar menanti "pembebasan" beliau.
Seramai 31 orang saksi termasuk seorang wartawan akhbar telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan berkenaan.
Sementara itu, Jamaluddin berkata keputusan itu membuktikan sistem kehakiman negara "hidup" dan sekali gus menolak sebarang andaian kes itu berunsur penganiayaan dan sebagainya.
Abdul Razak dibantu Ahmad Sazilee Mohd Khairy dan Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Mohd Shahrullah Khan berkata SPRM akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.
Habuan seks: Zul Hassan dipecat
IPOH (Utusan Malaysia 29/09/2008): Kerajaan negeri Perak hari ini memecat serta merta Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan (gambar) yang mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar berkata, arahan melucutkan jawatan Zul yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikeluarkan pada Jumaat lalu.
‘‘Ini adalah keputusan kerajaan negeri setelah dia mengaku mendapat habuan seks wanita China menerusi seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad Imran Abdullah pada 14 Ogos di Batu Feringgi, Pulau Pinang.
‘‘Di samping itu individu yang menawarkan habuan seks itu akan didakwa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan India Muslim Perak di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menyiasat mengikut akta dan enakmen sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil ke atas mereka.
‘‘Kita juga akan mengesyorkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menerima ataupun menawarkan habuan seks dan rasuah.
‘‘Mereka tidak lagi layak untuk menjadi ahli majlis di bawah kerajaan pakatan pembangkang dan kita mahu dia meletakkan jawatan secepat mungkin,” ujar beliau.
Mohammad Nizar berkata, tindakan itu juga merupakan amaran untuk semua ahli majlis yang membuat kesalahan sedemikian dengan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk bertindak.
Bertentangan
‘‘Jika mereka sanggup melakukan perbuatan yang bertentangan dengan adat kesopanan dan kesusilaan, mereka tidak lagi layak untuk mewakili kerajaan pakatan pembangkang dalam mana-mana jawatan sama ada majlis bandaran atau majlis daerah di Perak,” tegas beliau.
Pada 24 Ogos lalu, Zul didakwa menerima rasuah berbentuk habuan seks setelah mengadakan pertemuan dengan pegawai JAIP di sini.
Ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: ‘‘Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar.”
Bagaimanapun, katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.
‘‘Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’’ ujar Zul.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini mendesak kerajaan negeri itu memecat kedua-dua Exco yang kini menghadapi dakwaan di mahkamah berhubung skandal rasuah membabitkan sebuah projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.
Ketua Pemuda UMNO, Zainol Fadzi Paharudin berkata, kedua-dua mereka perlu diambil tindakan seperti yang dilakukan terhadap Zul Hassan.
Katanya, jika kedua-dua Exco berkenaan tidak dipecat ia bertentangan dengan prinsip perjuangan kerajaan pakatan pembangkang itu.
‘‘Kenapa ada perbezaan dalam siasatan membabitkan dua Exco berkenaan setelah Zul Hassan dipecat hari ini,” katanya di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment