KUALA LUMPUR : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tarikh 1 Mei bukan hanya berkisar pada sambutan hari pekerja tetapi ia juga mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan tuntutan terhadap pengagihan kekayaan ekonomi negara yang lebih adil dan seimbang.
Beliau yang juga Ketua Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat memberitahu, limpahan kekayaan ekonomi Malaysia tidak sepatutnya berkisar hanya pada pemerintah dan keluarga mereka sahaja tetapi ianya mestilah berpaksi kepada keadilan untuk semua seperti mana yang termaktub dalam Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat.
“Agenda Ekonomi Malaysia berpaksi di atas keadilan untuk semua dan apa yang disanggah di negara ini adalah kerana limpahan kekayaan ekonomi hanya dinikmati oleh segelintir dan (pada masa yang sama) meminggirkan majorti rakyat terutama golongan pekerja.
Justeru tibanya tarikh 1hb Mei, merupakan peringatan kepada kita untuk mendakap serta meraikan kemanusiaan, keadilan dan tuntas berusaha menjadi yang terbaik.
Kini ianya tidak lagi sekadar berkisar perjuangan para pekerja, bahkan juga seputar tuntutan kemajuan ekonomi seimbang dan adil.
Kekayaan negara menumpuk bukanlah bererti khazanah negara milik pemerintah dan keluarga mereka sahaja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan berhak untuk bersama-sama mengecap peluang hasil kemakmuran ekonomi negara.
“Kita tidak mampu melangkah jauh jika kemiskinan dan ketidakadilan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
Pakatan Rakyat tuntas menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia walau apapun ras dan kepercayaannya berhak untuk bersama-sama mengecap peluang serta membina kembali negara ini dari kelembapan ekonomi yang melanda,” tambahnya di laman blognya sempena sambutan hari pekerja hari ini.
No comments:
Post a Comment