Sahabatku,
Biawak-biawak sadis yang sentiasa mencakar tuannya
Telah dibeli orang, menyusul
katak-katak cilik comel malah ikut berlompatan, dengan
gembira ria dan seronoknya
Tapi, percayalah, akan ada lagi
Penohok kawan seiring
Gunting dalam lipatan, yang sedang
menunggu tawaran tertinggi
Sahabatku,
Begitulah cabaran berjuang di
Gelanggang yang lebih sadis daripada jahiliyyah,
Mereka tidak pernah mendengar, tahu dan faham
Apakah makna bohong, fitnah dan zalim, bahkan
Mereka langsung tak tahu apakah itu dosa
Bagaimana mereka akan faham itu semua, sedangkan
Merekapun tidak tahu apakah itu malu, yang mereka faham
Kemaluan, itulah buah butirnya siang malam, yang
dijaja ke hulu ke hilir merata ceruk.
Sahabatku,
Belajarlah dari sejarah,
Mana ada pejuang
Tidur bercadarkan sutera
Makan bersudukan emas
Semua yang demikian, adalah
Penjual bangsa,
Penggadai maruah
Pengambil rasuah
Sahabatku,
Kalau kau pun bermimpi mahu tidur di mahligai
Sila angkat kaki dari sekarang, kerana
Kau pasti akan kecewa
Gelanggang ini hanyalah untuk
Orang-orang yang darah dagingnya pengorbanan
Kepuasannya pada keseronokan umat
Kebanggaannya pada keselesaan rakyat
BORNEO MENGGUGAT
KOTA KINABALU, 25 APRIL 2010
No comments:
Post a Comment