Oleh Zin Mahmud
"Pengetahuan adalah kuasa" diterjemahkan daripada knowledge is power. Sesiapa yang ada pengetahuan, maka ia memiliki kuasa.
Maka dari situ, manusia berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, kerana dengannya ia akan dapat meraih kuasa. Sementara mereka yang berkuasa pula akan menghalang pesaingnya daripada memiliki pengetahuan.
Begitu juga dalam negara yang autokratik atau kurang demokratik. Bagi menghalang sebahagian daripada rakyatnya muncul sebagai pencabar pihak berkuasa, maka kerajaan yang memerintah akan menghalang pengetahuan tertentu daripada diketahui oleh warganegaranya sendiri. Maka mereka melakukan penapisan atau mengharamkan buku-buku serta menghalang laluan kepada laman-laman web.
Contohnya ialah apa yang dilakukan oleh China. Menghalang pengetahuan daripada rakyat adalah apa yang menjadi amalan negara-negara komunis yang kebanyakannya telah tumbang. Tetapi amalan ini juga dilakukan oleh negara-negara bukan komunis yang masih tidak mempercayai perlunya pengetahuan dimiliki oleh rakyat, bukan saja sebagai hak warganegara tetapi untuk kemajuan negara.
Bagi pihak yang menghalang sesuatu pengetahuan daripada diketahui umum, antara alasannya ialah untuk memelihara ketenteraman. Ini kerana ada kalanya pengetahuan itu mendatangkan bahaya. Akhirnya apa yang dikatakan baik atau buruk adalah penilaian subjektif.
Maka dalam hal ini, knowledge is power berkaitlah pula dengan ignorance is bliss. Maknanya ialah kejahilan itu ketenteraman. Bliss bermaksud kebahagiaan dalam perkahwinan jika dirujuk kepada rumah tangga. Tetapi bliss dalam keadaan jahil juga boleh bermaksud kebahagiaan. Maka lebih tepat lagi ia dimaksudkan sebagai ketenteraman hati. Dengan tidak mengetahui sesuatu perkara, mungkin ia lebih mendatangkan ketenteraman. Lebih-lebih lagi jika tahu pun, seseorang tidak dapat melakukan apa-apa. Lagi sekali perkara ini juga bersifat subjektif.
Kejahilan
Jadi bila masa pengetahuan itu menjadi kuasa, dan masa mana kejahilan itu mendatangkan ketenteraman? Adakah memiliki kuasa itu akan sentiasa mendatangkan ketenteraman hati?
Manusia mahukan kuasa, tetapi pada waktu yang sama, juga mahukan ketenteraman hati. Sementara hakikatnya pula ialah manusia tidak akan dapat memiliki semua pengetahuan. Kemampuan untuk memiliki pengetahuan adalah terhad, walaupun berbeza di antara satu sama lain. Begitu juga tidak ada pula manusia yang jahil mutlak. Semua manusia sedikit sebanyak mesti memiliki sesuatu pengetahuan.
Dalam hal kekuasaan dan ketenteraman, manusia juga akan membuat perkiraan yang serupa. Tidak ada manusia yang boleh memiliki kuasa mutlak, hatta seorang diktator sekalipun. Begitu juga dengan ketenteraman. Sebagai manusia, ada masa mereka akan menikmati ketenteraman, pada waktu lain pula ada juga masa kegelisahan. Otak manusia sudah berfungsi sebegitu rupa.
Akhirnya apa yang dapat dirumuskan ialah keseimbangan. Kita mahu pengetahuan tetapi berpadanan dengan keperluan kita. Ini kerana kuasa yang kita kehendaki dihadkan oleh alam. Begitu juga dengan ketenteraman. Ia juga dihadkan oleh alam.
Akhirnya dalam mendapatkan keseimbangan antara pengetahuan dan kejahilan, maka otak kita sendiri yang menentukan. Kalau terlalu banyak maklumat, otak kita akan terbeban, berasa bosan dan terus tidak ambil peduli.
Inilah yang sebenarnya sedang berlaku apabila manusia terdedah kepada banyak maklumat melalui pelbagai media termasuk Internet. Buat pertama kali dalam sejarah, manusia disogok dengan begitu banyak maklumat dan akses kepada pengetahuan.
Maka dalam keadaan begini, dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa tetapi pada waktu yang sama mahu menikmati ketenteraman, dalam erti kata lain, usaha untuk mendapatkan pengetahuan diseimbangi dengan keinginan untuk kekal jahil dalam sesuatu perkara, maka apa yang diperlukan ialah keupayaan untuk memilih maklumat.
Ada maklumat yang wajar diserapi, tidak kurang pula yang perlu dielak. Terutamanya berita dan iklan yang tidak berkaitan dengan kita, atau lebih buruk lagi mengganggu emosi dan kehidupan.
Justeru seseorang tidaklah perlu melayari laman-laman web, blog atau apa saja dalam Internet yang tidak digemari. Begitu juga seseorang tidaklah perlu membaca buku atau bahan cetak yang tidak bermanfaat kepada dirinya. Kesemua itu membuang masa dan perasaan saja. Begitu juga, elak daripada menonton filem atau televisyen yang akhirnya hanya mendatangkan perasaan negatif.
Ignorance yang diterjemahkan kepada kejahilan mempunyai akar kata ignore, atau tidak mempeduli. Justeru jika ia diterjemahkan untuk menjadi tidak peduli dan bukannya kejahilan, maka ignorance is bliss boleh membawa maksud sikap tidak mempeduli yang membawa ketenteraman.
Justeru di samping pengetahuan, kejahilan dan tidak peduli boleh dirumuskan sebagai tahu, tidak tahu dan tidak mahu tahu.
Maka dalam zaman ledakan maklumat yang membawa terlebih bebanan kepada minda manusia, sikap tidak mahu tahu mempunyai tempat tersendiri dalam zaman ini.
Kalau sesuatu perkara atau isu itu tidak digemari, tidak perlu, tidak relevan dan tidak mendatangkan manfaat kepada seseorang, maka wajar diambil sikap tidak mahu tahu.
No comments:
Post a Comment