Rupa-rupanya tidak semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor selesai dengan tamatnya proses pertarungannya minggu lalu. Meski pun medan politik itu telah ditutup dan siapa yang menang dan tewas telah diumumkan awal malam Ahad (25 April) lalu, implikasi politik, ekonomi dan sosial dihadapi pelbagai pihak yang terbabit dengan pilihan raya itu masih berlanjutan.
Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Ketua Penerangan MIC itu memperolehi 24,997 undi berbanding bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang mengumpul 23,272 undi.
Sementara calon yang menang ghairah memulakan tugas dan tidak kering gusi menyantuni pujian dan ucapan tahniah, di sebalik senyum sengihnya itu tersimpan seribu satu macam gelora dan pertikaian yang sukar diakhiri. Ia bukan sahaja berdentuman dari pihak lawan yang tewas, malah lebih membimbangkan BN ialah apabila suara dan riak pertikaian itu terpacul di kalangan pemimpin parti itu sendiri.
Mewarnai analisa dan perincian kalah-menang di Hulu Selangor itu ialah hakikat keseluruhan di mana tidak semua daerah mengundi menunjukkan corak pengundian sealiran. Sama ada BN mahu pun PR yang diwakili KeADILan, masing-masing ada aspek yang boleh dibanggakan di samping fakta yang membingungkan.
Antaranya, kemenangan BN di Hulu Selangor disertai kegagalannya “mempertahankan” genggaman ke atas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu. Jumlah undi diperolehi calon BN di Dun berkenaan lebih rendah berbanding calon KeADILan.
Di peti-peti undi tertentu BN kalah teruk. Manakala sebahagian lagi menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap BN atau sekurang-kurangnya menampakkan penambahan undi di pihak PR.
Analisa awal menunjukkan sokongan pengundi Cina masih memihak PR. BN bukan saja gagal memperbaiki imej dan reputasinya di kalangan kaum berkenaan, malah peratus sokongan kaum Cina terhadapnya semakin merosot.
Tanpa diduga janji Perdana Menteri menghulurkan bantuan segera kepada sebuah sekolah Cina di Kuala Kubu Baharu sehari sebelum hari mengundi membawa padah kepada BN. Ia bukan saja gagal mengubah pendirian kaum Cina terhadap BN, malah selepas itu berlanjutan menjadi bahan perbalahan antara para pemimpin komponen BN.
Para pemimpin Umno yang ultra-Melayu memang dikenali dengan sikap balas dendam politik. Mereka yang kecewa atas sikap ditunjukkan pengundi Cina yang masih menolak BN lantas mencadangkan agar dikaji semula janji bantuan kepada sekolah tadi.
Bagai diduga, cadangan yang menggambarkan pemikiran politik sempit pemimpin Umno itu ditentang keras pemimpin MCA dan Gerakan. Mereka sebaliknya menempelak pemimpin Umno yang menyuarakan demikian sebagai bersifat perkauman dan bertentangan dengan hasrat BN membela semua kaum.
Di permukaannya isu itu mungkin dianggap selesai apabila Perdana Menteri meneruskan juga hasratnya membantu sekolah berkenaan. Cek bernilai RM3 juta diserahkan kepada sekolah itu tiga hari selepas selesai PRK itu.
Namun, ibarat kata pepatah, “walau pun luka sudah sembuh, namun parutnya tetap ada”. Keceluparan beberapa pemimpin ultra-Melayu mewakili suara Umno mengusik sentimen kaum nyata mendinginkan lagi hubungan sedia suram antara parti-parti komponen BN. Dalam kes ini, MCA dan Gerakan yang sudah sekian lama ada “kudis” dengan Umno tidak akan mudah melupakan ungkitan berbaur perkauman oleh pemimpin Umno tadi.
Senyum sengih Kamalanathan juga tidak berupaya menyembunyikan hubungan keruh antara Umno dan partinya, MIC. Kita percaya hubungan Umno dengan MIC semakin sukar dilunakkan ekoran episod Hulu Selangor. Apa yang dilakukan Umno terhadap MIC sekali lagi menepati persepsi umum bahawa parti itu memang pembuli nombor satu dalam BN.
Umno menolak mentah-mentah Dato’ G. Palanivel, pilihan MIC sebagai calon. Kamalanathan adalah calon kompromi. Itu pun lebih memihak kepada kehendak Umno yang bertegas tidak mahukan Palanivel.
Dari sudut itu, Umno sudah menang pertarungan dalaman dengan MIC. Hakikatnya, walau pun Kamalanathan dari MIC, ia bukan pilihan partinya. Ia bertanding seolah-olah mewakili suara dan hasrat Umno.
Episod Hulu Selangor memburukkan lagi hubungan kedua-dua parti. Apatah lagi Umno berjaya memalukan MIC apabila BN dibuktikan mampu menang tanpa Palanivel.
Di antara Umno dan MIC sudah pun lama ada “kudis”. Umno sebelum ini telah banyak memalukan MIC. Antaranya apabila Presiden Umno memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi BN mengalu-alukan kemunculan parti baru bagi masyarakat India, Makkal Sakti. MIC dilayan macam tidak ada harga diri.
Umum mengetahui betapa tegas dan kerasnya pendirian MIC, khususnya Samy Vellu berhubung kemunculan mana-mana parti yang mahu mewaikili kaum India. Kita tahu nasib menimpa parti Barisan Progresif India (IPF) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang berjuang habisan untuk diterima sebagai komponen BN. Samy Vellu beberapa kali menggunakan kuasa vetonya menidakkan peluang kedua-dua parti itu masuk BN.
Kini Umno semakin berani menidakkan pendirian MIC dan Samy Vellu sendiri. Tidak mungkin gurisan luka itu terubat dengan mudah. Kepanasan Palanivel mungkin berjaya disejukkan dengan lantikan senator. Namun bagaimana dengan Samy Vellu?
No comments:
Post a Comment